Sunday, July 5, 2020

Friendship Goals - Bab 5





Bab 5


“MASUK!” Tekan lelaki berbaju hijau. Nadanya cuba dikawal, tak mahu ada orang sekeliling sedar akan situasi yang sedang berlaku.
       
     Badan Rayhan ditolak masuk ke dalam van hitam. Rayhan cuba melawan, pun hanya seketika bila dia terasa kulit pada bahagian pinggangnya ditembusi hujung mata pisau. Perit! Pantas dia masuk dan duduk di bahagian belakang van. Lelaki baju hijau turut masuk dan duduk di sebelah Rayhan, mata pisau terus-terusan diacu pada tubuh remaja lelaki itu.

            “Aku suruh kau hantar barang pada Tam je, yang kau angkut budak-budak ni, apehal?!” Jerkah seorang lelaki bertopi di bahagian pemandu. Lelaki itu menoleh ke belakang dengan muka bengang.

            “Remy tulah, bodoh. Bagi barang sampai kantoi kat budak-budak ni. Kalau budak-budak ni report polis, mati kita!”

            “Kau tu yang bahlul. Aku suruh tunggu Tam kat luar, kau degil. Nak juga masuk dalam. Dasar bangang! Dah, yang kau ni diri apa lagi? Masuklah!” Lelaki berbaju hitam pula menolak tubuh Yusri. Hampir saja budak kurus tu tersungkur di atas lantai van.

Tam pula sekadar memerhati tapi bibirnya tak lekang dari senyuman keji pada Rayhan di dalam van yang sedang memandangnya. Malang nasib juniornya itu. Boleh pula Rayhan dan Yusri nampak waktu Mail dan Remy beri ‘barang’ berupa dadah jenis syabu. Biasa budak-budak gelar dadah berbentuk kaca pecah tu sebagai ‘ais’ atau ‘batu’. Ya, dialah orang yang bertanggungjawab menjual barang terlarang itu di dalam sekolahnya atau digelar sebagai tokan.

Apa boleh buat, permintaan dari kalangan pelajar sekolah sangat luar biasa. Dan dia hanya membantu mereka untuk mendapatkan bekalan disamping tu, dia juga ‘kaki stone’ tegar. Dadah tu sangat membantu dalam dia mengulangkaji pelajaran, malah pengambil mampu berjaga tanpa tidur hampir tiga hari. Sejak tahun lepas lagi dia giat dengan aktiviti haram tu tanpa dapat dikesan oleh pihak sekolah walaupun ada antara pelajar sekolah yang dah terkantoi sendiri. Tapi tahun ni, boleh pula aktivitinya kantoi pada juniornya itu.

            “Hei! Semua tak boleh diharap. Menyusahkan!” bentak pemandu itu lagi. Dia menoleh ke depan dan tika itu matanya terpandang kelibat seorang gadis berambut panjang sedang berlari ke arah vannya.

            “Duh, masalah lagi. Siapa pula budak perempuan tu?!” Tengking si pemandu pada semua yang ada di situ.

            Yusri tak jadi masuk, dia menoleh ke belakang walaupun dia dah terasa kulit pada bahagian belakang pinggangnya tertusuk hujung pisau. Hampir tersembul biji matanya bila ternampak Dara yang sudah menghampirinya. Sempat Yusri bagi isyarat mata supaya jangan datang dekat tapi Dara seakan tak mengerti. Dahinya berkerut, lalu terus mendapatkan Yusri.

            “Korang nak pergi mana? Ni, aku nak pulangkan dompet Ray. Mana dia?”

Dara pandang satu-persatu wajah yang berada di sebelah Yusri, kemudian pada Tam yang berdiri tak jauh darinya. Lalu kepalanya terjengah-jengah ke dalam van. Seorang pemandu dengan muka ketat dan Rayhan berada di tempat duduk paling hujung dan paling belakang van bersama seorang lelaki berbaju hijau yang dia nampak ketika di lobi tadi.

“Ray! Kau..” Dara terdiam bila ternampak Rayhan seakan sedang membari isyarat dengan matanya. Mengarahkan dia supaya beredar dari situ.

“Kenapa..”

“Aku cakap lari! Lari Dara!” Jerit Rayhan tiba-tiba sekaligus menyentak Dara.

Dan tika itulah dia ternampak sebilah pisau dihunus pada tubuh Rayhan. Dara kalih pada Yusri dan dia juga nampak benda yang sama. Panik, Dara mengundur. Sayangnya, semua tu dah terlambat bila Tam bertindak memeluk tubuhnya dari belakang. Dompet Rayhan yang dipegang, jatuh di atas jalan.

“Angkut sekali budak tu. Boleh juga buat ‘lauk’ Black malam ni.” Arah si pemandu.

“Aku tak nak. Lepaskan aku!” Rontaan Dara sebaliknya hanya mengundang padah bila Tam bertindak mengeluarkan pisau yang tersisip pada tubuhnya lalu dihunus pada perut Dara.

“Kalau kau nak pisau ni tembus kat perut kau, melawanlah lagi.” Bisik Tam, tajam.

Bibir Dara terketar-ketar, malah tubuhnya ikut sama menggigil. Dia ketakutan. Kenapa tiba-tiba dia terjebak dengan sesuatu yang bahaya seperti ini? Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Ayah.. Dara takut.

Tubuhnya didorong masuk ke dalam van. Dalam keterpaksaan dan ketakutan, dia duduk jua di sebelah Yusri. Sempat Yusri berbisik meminta maaf padanya. Pasti Yusri menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang berlaku. Dara ketap bibir, menahan tangis. Tak mampu dia nak membalas bisikan Yusri. Sumpah, dia takut.

“Jalanlah! Kau tunggu apa lagi?” Jerkah lelaki berbaju hitam yang duduk di sebelah Dara. Ternaik bahu Dara, terkejut dan ketakutan.

Tatkala van mula bergerak, Dara pandang pondok pengawal dengan mata yang sudah kabur. Dan di situ, dia ternampak kelibat Zayn sedang berlari keluar melepasi pondok pengawal dalam keadaan cemas. Matanya melingas ke kiri dan kanan, seakan mencari sesuatu atau seseorang. Zayn cari dia ke?

“Zayn!! Aku kat sini! Zayn!” Teriak Dara dan pang!! Dara jatuh pada tubuh Yusri. Pantas Yusri menyambut kepala Dara yang sudah terkulai. Pengsan!

“Dara!!” Jerit Rayhan dan Yusri, terkejut dengan aksi ganas lelaki berbaju hitam itu.

“Kalau kau nak dia selamat, jangan buat benda bodoh!” Tengking lelaki itu. Sekaligus mengunci mulut Rayhan dan Yusri.



LARIAN Zayn terhenti di tengah-tengah jalan laluan masuk asrama, tak jauh dari pondok pengawal. Telinganya bagai terdengar suara Dara menjerit memanggil namanya. Tapi mana dia? Mana Dara?

            Matanya mengitari keadaan sekeliling sebelum pandangannya terkunci pada sebuah van hitam yang sedang bergerak laju. Mata dipicingkan, cuba melihat ke dalam van dengan menembusi kaca bertinted gelap itu, tapi pandangannya terhad. Entah kenapa, nalurinya kuat mengatakan Dara, Yusri dan Rayhan ada di dalam van tersebut.

            Zayn cuba mengejar van itu tapi van tu dah bergerak jauh. Sekali lagi kaki Zayn terhenti. Kepala dipaling ke belakang, melihat di mana kemungkinan van itu diparkir sebentar tadi. Dan di hujung sana, di tepi jalan besar dia ternampak benda hitam terdampar. Pantas Zayn berlari ke arah tersebut dan tika itu jugalah Fateh dan Aira muncul.

            “Kau kenapa Zayn? Asal kau cemas tiba-tiba? Dara mana?” Aju Fateh bertubi-tubi sambil menyaingi larian Zayn.

            Zayn diam, tak menjawab. Tak, sebenarnya dia tak berani nak jawab apa-apa, dia takut dia tersilap perkiraan. Dia takut semua tu hanya prank semata-mata. Dan selebihnya, hati dia sedang bertingkah. Menidakkan kejadian itu sebagai satu prank, teman-temannya dalam bahaya.

            “Weh, kau dengar tak? Dara mana? Ray dengan Yus mana? Dia ikut kawan-kawan dia, kan tadi?” Tekan Fateh lagi dan tika itu, Zayn dah berhenti berlari.

Mata Fateh memerhatikan Zayn yang membongkok seketika, memungut sesuatu di atas jalan tar sebelum kembali menegak. Pantas, Fateh merampas dompet hitam dari tangan Zayn. Dompet dibuka, terpampang sekeping i/c biru dengan nama pemiliknya. Mohd Rayhan Anuar. Fateh pandang Zayn dengan mata melototnya.

“Zayn! Jawablah soalan aku! Diorang mana? Ada benda buruk jadi pada diorang ke? Jawablah!” Jerkah Fateh, garang. Bibirnya terketar. Cemas, gusar dan takut, semuanya bersatu.

Aira yang menjadi pemerhati sejak tadi, perlahan menarik dompet dari tangan Fateh. Tangannya sedikit menggeletar. Dia tahu ada benda buruk sedang berlaku bila melihatkan tingkah Zayn sejak berlari keluar dari lobi tadi. Tak, bukan sejak lelaki tu berlari tapi sejak lelaki itu berdiri kaku selepas Yusri dan Rayhan melepasi tubuhnya di lobi. Dia nampak perubahan pada bahasa tubuh lelaki itu. Dan yang menguatkan lagi naluri Aira bila lelaki tu berlari laju mengejar langkah Dara.

“Zayn, beritahulah kitorang apa yang dah jadi sebenarnya. Saya risaukan Dara.” Pinta Aira dengan nada lembutnya. Dompet Rayhan ni sepatutnya ada pada Dara, tapi kenapa sekarang ianya terdampar di atas jalan raya?

Zayn melepaskan rengusan. Marah pada diri sendiri sebab terlalu lambat untuk bertindak. Juga gusar memikirkan keadaan teman-temannya.

“Aku rasa diorang kena culik.”

“What?!” Terjerit Fateh dek kerana terkejut. Aira pula tersentak, matanya merenung dalam wajah Zayn. Tak nampak Zayn sedang bergurau. Ya, Zayn tak bergurau, dia serius.

“Macam mana pula tiba-tiba boleh kena culik? Siapa yang..” Soalan Fateh termati bila mindanya terimbas kejadian di lobi tadi. Yusri dan Rayhan berjalan bersama Tam dan dua orang lelaki yang tak dikenali. Kemudian Dara mengekor jejak kumpulan lelaki tersebut dan..

“Tam? Tam, kan yang jadi punca?” Soal Fateh, meminta kepastian.

“Aku tak pasti tapi kemungkinan besar, ya.” Jawab Zayn. Dia cuba berfikir, mencari jalan untuk mendapatkan teman-temannya tapi bagaimana?

“Argh! Patutnya masa kat lobi tadi lagi kita tegur Ray, tegur Yus. Kalau tak, tak jadi macam ni.” Sumpah, Fateh rasa menyesal. Kalaulah dia tak terlalu fikirkan tentang gap yang wujud antara mereka, tentu di lobi tadi lagi dia dah berjaya tarik Rayhan dan Yusri untuk lari dari Tam dan kawan-kawannya.

Zayn bertinggung sejenak. Apa nak buat? Apa nak buat? Mommy? Yes, mommy!

 “Aku pergi report pada warden, ya.” Beritahu Aira.

“Kejap.” Zayn berdiri semula. Anak mata birunya menatap wajah Aira.

“Korang pergi balik dorm dulu. Aku pergi cari jejak diorang.”

“Apesal pula? Aku nak ikut!” Sanggah Fateh, tak puas hati.

“Bahayalah, Zayn. Aku rasa kita patut bagitau warden je, biar warden settlekan.” Aira memujuk dan dia rasa itu jalan paling rasional yang dia dapat fikirkan.

Zayn menggeleng.

“Aku tak rasa cara tu sesuai. Kau ingat warden senang-senang nak percaya ke diorang kena culik? Kat tempat awam, terang-benderang lagi. Possible ke? Kau tengok, mana ada cctv pun untuk jadi bahan bukti. Dan kalau warden percaya pun, diorang kena tunggu 24 jam untuk buat laporan pada polis sebab kita tak ada bukti yang diorang kena culik. Aku sendiri tak pasti dia kena culik ke tak, so please. Bagi aku pastikan dulu.”

“Aku setuju. Aira, kau naik dorm dulu, tunggu sampai 24 jam. Kalau tak ada apa-apa yang serius dan kitorang dapat cari diorang, kitorang call kau. Tapi kalau lepas 24 jam pun tak ada berita dari kitorang, kau bagitau warden.” Tambah Fateh.

Zayn paling pada Fateh dengan kerutan di dahi. Lebih pula dia ni, bila masa entah Zayn ajak Fateh sekali. Fateh yang sedar ditenung, membalas pandangan Zayn dengan lagaknya.

“Apa? Aku dah cakapkan tadi, aku nak ikut.” Ujar Fateh tanpa rasa bersalah.

“Tapi Hana? Patut tak aku bagitau dia?” Yalah, Rayhana tu kembar Rayhan, kan.

“Jangan. Aku tak nak benda ni kecoh. Dah, kau naik dulu.” Arah Zayn seraya membawa keluar telefon lipatnya.

Tanpa banyak bicara, Aira terus berlari masuk ke perkarangan asrama. Fateh memerhati sehingga tubuh gadis itu hilang ke dalam bangunan aspuri.

“Helo, abang Cak. Aku ni, Zayn. Aku nak minta tolong tapi make sure mommy tak tahu hal ni.” Pesan Zayn siap-siap pada personal assistant merangkap penyiasat peribadi mommy.

Dia tahu mommy dalam diam menyuruh abang Cak menyiasat pergerakan daddy. Mungkin mommy risau daddy ada simpan perempuan kot. Sebelum ni, dia ada minta abang Cak carikan latarbelakang tujuh teman sekumpulannya itu, sebab tu dia mampu jawab soalan Rayhan dengan tepat, waktu di pejabat Madam Salmah.

“Ha, okey. Okey. Nak minta tolong apa?”

“Tolong check nombor plat van BJK 1010. Dan kalau boleh, tolong dapatkan lokasi van tu. Sekarang ya, abang Cak.”

Fateh yang mendengar, dah mula sangsi. Zayn call penyiasat ke? Siapa Zayn sebenarnya ni? Siap ada penyiasat peribadi lagi.

Tamat talian, Zayn menoleh pada Fateh bila tersedar dirinya ditenung.

“Kau memang suka tenung muka aku ke? Apesal? Jatuh cinta dah?” Perli Zayn dan terus berlalu sambil berlari mendapatkan teksi yang kebetulan berhenti tak jauh dari tempat mereka berdiri. Menyedari Fateh masih kaku di tempat dia berdiri, Zayn menoleh.

“Kau nak ikut ke tak?” Laung Zayn.

Fateh buat muka sebelum berlari ke arah teksi tersebut.



SEMENTARA di dalam dorm Anggerik, Marissa terus menatap tajam tingkah Rayhana yang tak tahu menghormati privasi orang lain. Bukan main kuat dia buka lagu di radio. Habis terkekak sebentar tadi, Rayhana terus keluar. Entah ke mana perginya. Bila dia masuk balik ke dalam dorm, terus dia buka radio sekuat-kuatnya. Dasar dengki, tak boleh tengok orang lain aman. Tahulah weekend, hari bebas menggunakan radio dan telefon bimbit, tapi berpada-padalah sikit.
        
    Marissa capai bantalnya lalu diangkat tinggi sebelum dibaling kuat ke arah Rayhana yang sedang bersandar di kepala katil sambil membaca komik. Terkejut dengan balingan tu, Rayhana merengus lalu menjeling pada Marissa.

            “Telinga kau pekak ke? Buka radio pelan-pelan, memang tak boleh dengar, eh?” Ujar Marissa sedikit menjerit. Macam nak tercampak anak tekaknya.

            “Suka hati akulah!” balas Rayhana dan kembali pada komiknya.
           
“Ishh! Menyakitkan hatilah dia ni.” Bebel Marissa sebal lalu bangkit dari katilnya. Kaki di hala pada katil Rayhana lalu butang off pada badan radio kecil itu ditekan kuat, kalau boleh dia nak radio tu berkecai terus. Baru puas hati Marissa.

            “Woii!” Jerit Rayhana sebaik lagu pada radionya mati. Komik dihempas di atas tilam. Muka Marissa dipandang marah.

            “Apa woi, woi? Nama tak ada? Huh!” Bantal miliknya yang dibaling tadi, dicapai semula dan terus berlalu dengan gaya kekwatnya. Kalau Rayhana buka lagi radio tu, Marissa bersumpah akan campak radio tu keluar dari tingkap hostel. Siap!

            Terhenti sejenak langkah Marissa bila matanya terpandang kelibat Aira yang baru masuk ke dalam dorm mereka sebelum dia membuang pandang lalu kembali melangkah menuju ke arah katilnya.

            Aira masuk ke dalam dorm dalam keadaan yang agak longlai bersama plastik-plastik makanan milik Dara dan Zayn. Aira letak plastik-plastik dia atas lantai, di sebelah katil Dara sebelum dia berlalu ke katilnya. Perlahan dia menjatuhkan punggung di atas tilam empuk bersama wajah resah dan sedihnya. Dia mengeluarkan isi dari poket seluar sukannya lalu barang tersebut diletakkan di atas tilam lalu ditenung lama.

Dalam diam, setiap tingkahnya diperhatikan oleh Rayhana dan Marissa dari tempat masing-masing dengan penuh tanda tanya. Kenapa Aira pulang sendiran sedangkan tadi dia keluar bersama Dara? Di mana Dara? Dan kenapa wajah Aira mendung saja? Tu, dompet siapa yang Aira tenung tu?

Pun tanda tanya itu hanya berlegar seketika cuma bila kedua-dua remaja itu terus kembali pada komik dan buku masing-masing tanpa ada rasa mahu bertanya pada empunya diri.

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post