Tuesday, May 12, 2020

#RoadToHatiAwak (Bab 8)


Bab 8

BERHENTI sahaja di hadapan sebuah rumah semi-D corner lot, Danish terus keluar dari perut kereta. Kepalanya automatik terdongak, melihat rumah dua tingkat yang agak besar dengan pagar besi berwarna hitam. Laman rumah tu muat untuk parkir dua buah kereta tapi dia pilih untuk parking di luar dulu. Dia nak berpamitan dengan Is sebelum Is gerak balik. 

Tapi Is balik mana malam ni? Danish tertanya sendiri.

“Macam mana? Agak-agak boleh ingat tak jalan nak ke mall esok?” Soal Is sambil merapatkan pintu Viosnya. 

Kereta pergi kerja dengan kereta berlumba, kenalah lain. Baru nampak beza Is waktu kerja dengan Is waktu melepak. Is terus mendapatkan Danish yang masih ralit memerhatikan sekeliling rumah. 

“Ingat. Saya ada tabur kacang hijau tadi masa on the way ke sini.” Balas Danish sekaligus buat Is tergelak lucu. 

“Kalau betul pun awak tabur tadi, silap-silap dah ada yang kutip, esok dia buat bubur.” Sambut Is dan Danish ikut tertawa sama. Is rungkai gugusan kunci keretanya. Tiga batang kunci dihulurkan pada Danish. Danish sambut juga walaupun agak terpinga-pinga.

“Ni kunci rumah. Tu copy saya tau. Sebelum awak balik esok, make sure awak pulangkan dulu kat saya.” Pesan Is setelah kunci bertukar tangan.

“Is..” seru Danish. Dia bersandar pada badan kereta dengan tangan kiri diseluk ke dalam poket. Is menoleh.

“Ha, kenapa?” 

“Maaf pasal tadi. I shouldn’t..”

“Ala, tak ada apalah. Saya okey. Dengan saya, awak boleh cerita dan tanya apa saja. Tapi bila saya mengelak, tu maknanya saya tak nak share benda tu dengan sesiapa. Easy, kan?” Is tayang wajah ceria. 

Danish diam tapi setiap bait bicara Is tu ditanam terus ke dalam memorinya supaya lain kali dia takkan lakukan kesilapan yang sama. Tadi dia agak keras pada Is kerana dia rasakan soalan yang ditanya tu hanya perkara biasa. Dia terlupa batas dia sebagai orang luar pada Is. Dan tekanan tu mengundang kemarahan Is. Bila dia ingat kembali bagaimana wajah Is waktu dia marah, Danish rasa nak maki diri sendiri. 

Come on, Dany. Kau gentleman kot. Apahal main desak-desak macam tu? Buat malu aje. Hilang macho. Ikut lagi emosi tu. Dahlah cemburu pada Felix, kecewa Is dah ada teman istimewa, lepas tu kau boleh ajak Is tu bertekak. Teruk sangat perangai kau depan Is, Dany. Dengan perempuan lain, kau boleh aje control emosi. Hmm.. Hati Danish berbisik menghambur kutukan.

“Ni awak nak duduk kat luar sampai bila? Kata mengantuk? Masuklah dalam.” Tambah Is, hairan. Tadi macam penat sangat sampai nak bercakap pun tak larat. Hmm.. Ataupun memang Danish cemburu dia dengan Felix?

“Awak balik mana malam ni?” Tiba-tiba dia rasa dia dah susahkan Is. Tak pasal-pasal Is terpaksa tidur luar disebabkan dia tidur di situ. Dia pun tak tahu tempat tinggal yang abahnya suruh dia pergi tu, tempat Is duduk. Kalau tahu, baiklah dia tidur hotel saja. Ha’ahlah..

“Apa kata awak tidur aje kat rumah ni, saya tidur kat hotel?” Danish aju pendapat pula sebelum sempat Is beri jawapan.

Is tersenyum. Dalam hati memuji sikap Danish. Prihatin dan hormat privasi orang. Tentu Danish ramai peminat, kan? 

“Saya tahulah awak banyak duit, tapi ni rumah ayah awak. Saya tolong jagakan aje. Dah awak datang ni, takkanlah awak nak tidur hotel. Lagi satu, saya okey. Kluang ni taman permainan saya. Tahulah saya nak tidur mana. Susah-susah, saya tidurlah kat rumah makcik saya.” 

“Betul ni? Saya serius tak nak susahkan awak.”

“Masa saya cakap saya okey tadi pun, saya serius tau. Awak tak nampak ke muka serius saya tadi?” Is cuba berlelucon, berharap Danish akan tertawa ceria seperti awal pertemuan mereka tadi. Tapi sayangnya, Danish hanya senyum segaris saja. Hati Is merundum kembali.

“Dany..” panggil Is perlahan. 

Danish menoleh. Terkesima sedikit tatkala melihat rambut Is beralun ditiup angin malam. Kedudukan rumah abahnya pula dia atas bukit, dah tentulah tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa tu menambahkan lagi effect romantik. 

Danish jungkit kening, bertanya pada Is dalam bahasa isyarat. Dia patah hati, mood pun masih gloomy.

“Boleh tak saya nak masuk sekejap? Saya nak ambil barang saya.” Tuan rumah dah ada depan mata, kan takkan nak main masuk saja. 

Danish bagi senyum segaris lagi. Terus dia buka kunci pada pagar rumah sementara Is mengikutnya di belakang. Selesai bahagian pagar, Danish melangkah masuk ke laman lalu menuju ke rumah mendapatkan pintu utama. Kunci pada pintu gril dibuka sebelum giliran pintu sliding pula. Danish tarik sliding door luas dan mengarahkan Is masuk.

“Masuklah. Saya tunggu kat luar.” Tutur Danish dan sekali lagi buat Is tabik pada lelaki muda tu. Danish bukan tipikal kawan-kawan lelakinya yang suka ambil kesempatan. Mujur selama berkawan dengan mereka semua, Is pandai berjaga dan kawal diri. 

“Okey, kejap.” Berdesup Is masuk ke dalam.

Danish yang melihat, tergelak sayu dalam hati. Is.. Is.. Kenapalah bila dia dah jatuh hati, jatuhnya pada orang yang dah berpunya? Ya, Laila kata Felix tu hanya teman Is, tapi kenapa Is biarkan lelaki tu peluk dia? Kenapa mereka sangat mesra? 

Ya, Is sendiri kata Felix tu kawan dia. Tapi kenapa begitu intim perlakuan mereka? Berbisik, bergurau, bersentuhan, berpeluk bahu di khalayak ramai. Kawan ke tu? Atau Is memang jenis bebas laku? Budak liar?

Danish geleng kepala. Tak mungkin. Is tak nampak macam liar. Dia nampak sempoi, bersahaja dan tenang. Dia juga friendly, tak sombong dan sangat murah dengan senyuman. Dia pun nampak baik. Tapi Felix tu? Dan tadi Felix ada cakap abang-abang angkat Is tu drug dealer. Is kawan dengan drug dealer? Atau Is pun.. Sekali lagi Danish geleng kepala.

Siapa kau sebenarnya, Is? Kenapa kau dengan mudah ketuk pintu hati aku? Macam mana kau berjaya tangkap perhatian aku untuk terus tatap kecantikan kau tu? Kenapa kuat sangat tarikan kau pada aku? Apa yang kau ada tapi tiada pada perempuan lain yang aku kenal selama ni?

“Okey, dah. Terima kasih tolong jaga pintu untuk saya, doc. Jarang ada orang berkawal untuk saya macam ni. Tiba-tiba rasa macam VIP pula.” Ujar Is, masih tak lelah cuba menarik kembali mood Danish. Tolonglah, sebelum dia balik, biarlah dia lihat senyuman ikhlas lelaki tu. Kalau tak, sah malam ni dia tak boleh tidur lena.

“My pleasure. Drive carefully.” Pesan Danish sepatah-sepatah. 

Diam-diam, Is herotkan bibirnya. Tu saja? Tak ada pick up line? Tak pun ucaplah selamat malam. 
Is melangkah melalui laman untuk keluar dari pintu pagar. Danish ikut dari belakang. Cadangnya, lepas berpamitan dengan Is nanti, dia nak parkir BMWnya di dalam laman. Biar selamat sikit sebab berpagar.

“Saya balik dulu. Esok awak datang pagi, kan?” Is soal pada Danish yang menghantarnya hingga ke kereta. Hmm.. Gentleman.

“Saya cuba. Tapi yang pasti sebelum tengahari saya dah ada kat sana.” Balas Danish. 
Is buka pintu kereta, baru dia nak masuk, dia berpaling semula. Danish tika itu dah berjalan menuju ke keretanya.

“Dany..” Is menyeru lembut. 

Serta-merta kaki Danish kaku. Dia berpaling semula pada Is.

“Kenapa? Ada barang nak ambil lagi?” Dalam kepala Danish masa tu, memang tak ada lain. Is panggil macam tu tadi pun sebab dia nak minta kebenaran nak masuk ke dalam rumah. Nak ambil barang.

Is geleng perlahan. Satu renungan redup diberi buat tatapan Danish.  Semoga Danish tak tidur malam teringat renungan matanya.

“Felix tu kawan saya.” Tutur Is, dalam segan tak segan. Risau keyainannya itu akan buat dia malu sendiri.

Terjungkit kening Danish. Kenapa Is cakap macam tu? Is tahu ke yang dia upset sebab Felix tu?

“Kalau tu yang buat awak moody sejak kita makan tadi.” Tambah Is dan terus dia meloloskan diri ke perut kereta. Pintu ditutup rapat. Sebelum bergerak, sempat dia menoleh pada Danish. Lapang dadanya bila Danish dah lukis senyum bergaris-garis.

Danish setia berdiri di situ meskipun kereta Is dah tak nampak bayang lagi. Kawan? Siapa mampu percaya kalau apa dikatakan tak sama seperti apa yang dia lihat. Okey, katalah bagi pihak Is hanya kawan. Tapi bagi Felix yang dilihatnya melayan Is berlebih-lebihan tu? Dengar saja bagaimana lelaki cina tu membebel kerana risaukan Is. Tentu orang yang mendengar dapat mengagak betapa lelaki itu sangat sayangkan Is. Danish hambur keluhan berat. 

Cukup-cukuplah tu, Dany. Mungkin kau patut terima hakikat, orang yang kau suka tu, milik orang lain. Bisik Danish, kecewa.



“KALAU esok rambut I jadi macam bulu penyapu you yang keras kejung tu, you siap.” Amaran berbaur gurauan tu, sedikit pun tak buat Ciara takut. Sebaliknya dia hanya tertawa suka. 

“Okeylah tu, bulu penyapu I rare maa. You mana jumpa tempat lain.” Balas Ciara teman Is  berbangsa cina. 

Jemarinya lincah menyapu bancuhan pewarna pada helaian rambut Is. Tadi dia baru saja selesai bleach rambut Is yang dihighlight merah di bahagian kiri sebelum ni. Disebabkan bahagian tu masih dalam proses neutral, jadi Ciara buat keputusan untuk highlight warna grey pada rambut bahagian kanan. 

“Haip.. Cukup I saja yang rare, rambut tu tak payah nak rare sama. Nanti kalau semua pun rare, dah orang ingat I alien.” 

Ciara tergelak lagi.

“Esok malam you confirm pergi, kan?” Soal Ciara merujuk pada event tertutup mereka esok malam.

“Pergi. Tapi I rasa I tak boleh saing youlah, Erin. I nak settle paper work sikit lagi, takut I lambat.”

Kalau ikutkan tinggal berapa outlet saja lagi, tapi dia risau esok Danish lambat sampai. Bagi pihak Is, bila sibuk sangat, pukul lapan pagi dia dah terpacak dalam ofis tu. Tapi Danish? Selagi Danish tak buat double check dan approve kerja-kerjanya, selagi itulah kerja Is tak selesai lagi. Kalau ikut pengalaman bekerja dengan Haji Darsuki selama bertahun ni, sekejap saja semua dah siap sebab formula akaun tu macam di hujung jari majikannya saja. 

Danish pula? Tengok gaya pun dia tahu lelaki bergelar doctor tu langsung tak berminat dengan dunia kira-kira. Entah-entah datang pun sebab kena paksa dengan ayahnya. Tapi bagusnya Danish tu, walaupun dia tak suka, dia tetap cuba untuk buat yang terbaik. Ada inisiatif dalam diri untuk belajar benda baru.

“Eh? Tak siap lagi? Biasa sebelum 7 hari bulan you dah settle dah. Ada masalah ke?” Pantulan imej Is pada cermin besar di hadapan mereka, Ciara pandang dengan muka tak percaya. Jarang sangat Is buat kerja tak on time. 

“Tak ada masalah pun. Kerja bahagian I dah siap. Tinggal part bos I nak recheck je. Tapi bulan ni bos I tak dapat datang. Dia gantikan dengan anak dia yang doctor tu. So lambat sikitlah sebab dia tak biasa buat akaun tu semua.” Terang Is. 

Dengan Ciara, dia memang tak ada masalah nak bercerita tentang kerjanya. Sementelah mereka kenal pun waktu dua-dua tengah tertekan pasal kerja dan lepak kat rooftop. Ciara tu kerja kat salon di mall yang sama tapi salonnya di tingkat 1. Nak dijadikan cerita, Ciara tu pula kawan dengan salah seorang abang angkatnya, Fird. Dari situlah mereka jadi akrab.

“Doktor buat kerja akauntan. Kalau I jadi dia, I dah terjun ikut rooftop awal-awal.” Is tergelak dengar komen tulus Ciara.

Ya, kalau Is jadi Danish, dia pun mungkin akan terjun bangunan juga. Tapi lelaki tu nampak penyabar. Satu-satu dia belajar. Sikit pun tak merungut. Kalau ada pun, Danish hanya minta Is faham yang dia baru belajar, jadi dia mungkin akan buat kerja Is jadi lambat. Tak mengapa. Is okey saja sebab Is nampak kesungguhan Danish tu. 

Kenapa ya? Semua yang ada dalam diri Danish tu, semuanya menyenangkan dia? Atau sikap Danish memang sentiasa menyenangkan orang di sekelilingnya? Boleh jadi. Kalau tak, tiadalah dia di situ menggantikan tempat ayahnya. Pakej. Memang pakej lengkap. Kacak, bijak, memahami, prihatin, senyum pun manis, ramah, tak sombong, hormat orang lain dan satu sisi Danish yang Is nampak, dia tipikal lelaki romantik. Cuma Is tak pasti dia jenis lelaki berhidung belang seperti ayah Is atau tidak. Hmm.. Harap-harap, tidaklah. Sayang kot, pakej semua dah lengkap tapi kaki perempuan.

“Amoi, you senyum-senyum kenapa?” teguran Ciara buat Is tersentak. Err.. Dia mengelamun ke tadi?

“Sorry. Sorry. So, you pergi esok dengan siapa kalau I lambat?” Cepat saja Is tukar topik. 
Ciara tayang senyum meleret dan nampak sedikit gatal.

“Hmm.. Kalau dah buat muka miang macam tu, mesti Zack datang sini, ambil you.” Tambah Is, dah faham sangat dah. Jarang amoi kecik molek tu nak tayang senyum gatal macam tu kalau bukan sebab Zakry. 

“Pandailah you, Is. Tengok muka I pun you dah boleh teka. Actually, Zack nak jumpa dia punya kawan. Coincidently, tempat sama. So, I tumpang dialah.” Terang Ciara. 

“I kan, sampai sekarang tak faham. You couple dengan Zack, tapi you tak nak kahwin dengan dia. Then..?” Yalah, dari apa yang Is tahu, Ciara dah jadi pasangan Zakry hampir tiga tahun. Tapi bila Is tanya, nak kahwin dengan Zakry tak? Nak convert tak? Sebab Zakry tu islam, Ciara Buddha. Nak tak nak, Ciara mesti kena convert dulu. Tapi jawapan Ciara, dia tak fikir nak kahwin pun. 

“Aiyoo, amoi. Kalau you boleh dapat apa yang you nak without married, why you nak kena kahwin tu semua? I pun tak fikir nak convertlah, amoi.” 
Dan Is terdiam, seakan tergigit lidah sendiri.

“Cuba you fikirkan, Is. Tak kahwin pun, I dengan Zack boleh happy. We’re free to do everything kecuali anak. So, kenapa I nak kena convert? Nak kena kahwin? Zack pun, I tengok life dia tak macam orang melayu. No, I mean Islam. Kan? So, why I nak kena masuk Islam?” 

Ciara dah keluar dengan hujah-hujahnya sambil jemari semakin laju menyudahkan kerja pada rambut Is. Lepas ni, tinggal bagi treatment supaya rambut yang diwarnakan tu tak kering dan rosak. 

“Dia tidur dengan I. Dia minum arak. I makan that meat, dia pun makan. Dia masuk kelab juga, bertukar-tukar perempuan lagi. He did everything yang agama you haramkan. Kalau semua yang I buat pun dia buat, apa beza dia dengan I? So, buat apa I nak kena masuk Islam? Betul tak? You setuju tak dengan pendapat I?” Ciara pandang wajah Is pada cermin. Dia nampak Is tarik senyum, nipis dan nampak sedikit kekok. Apa, dia salah cakap ke? 

“Sorry Is, kalau I salah cakap. Tapi I cakap dari apa yang I nampak. I tak faham. Kenapa agama you letak law macam tu and sampai pada you semua, law tu habis kena break. You tak boleh minum arak, tak boleh sentuh or makan daging pig and dog, you tak boleh buat sex sebelum berkahwin, you tak boleh pegang-pegang dengan orang luar that opposite gender, perempuan pula kena tutup semua dari rambut sampai kaki. Tapi I tengok you langgar saja semua rule tu. So, I peliklah kat situ.”

“Tak, I okey.” Is tayang senyum, tapi yang pasti senyumannya sedikit herot. Ciara hanya sentuh rambutnya saja sejak tadi tapi kenapa dia rasa pipinya pijar? Siapa tampar?

“Okey, siap. You tunggu setengah jam. Nanti I cuci, then I bagi treatment. Esok you dah boleh jadi Chritina Peri versi Malaysia. Mesti wooww..!” Tambah Ciara, nadanya biasa-biasa saja. Tak perasan pun hati temannya itu dah libang-libu dek kerana hujahnya tadi.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post