TINGKAP kayu itu aku buka luas, membenarkan cahaya dari sang mentari menerobos masuk ke dalam rumah papan usang milik atok. Hembusan bayu menyapu lembut pipi mulusku. Kicauan burung-burung membuatkan pagi yang hening menjadi riuh. Aku tersenyum, terasa bahagia menikmati anugerah Ilahi ini.
Aku menjengah tatkala terdengar suara atok berbual dengan
ayam-ayamnya. Kelihatan atok duduk di pangkin bawah pokok mempelam di tepi
rumah. Entah bila lelaki berusia lebih enam puluh tahun itu turun ke bawah.
“Atok, mari sarapan dulu.” panggilku agak kuat. Tak boleh
menjerit, atok cukup pantang cucunya tidak menjaga tertib sebagai gadis timur.
Aku menyelitkan helaian rambut panjangku yang berjuntai ditepi telinga.
Atok menoleh. “Kamu makan dulu, atok nak ke kebun kejap.”
Atok ni, panas benar punggung agaknya kalau sehari tak keluar ke kebun. Bukan
tak boleh biarkan aku aje yang turun ke kebun mencari lauk untuk makan, tapi
atok tu degil. Aku tahu atok bukan kuat lagi, dah uzur tapi masih mahu bergerak
aktif lagak seorang teruna gagah. Penat dah aku berleter, tapi tak pernah nak
dengar. Atok.. atok..
“Tak
payah pergi kebunlah tok, sayur pucuk ubi semalam tu ada lagi yang belum Mai
masak.”
Atok
terus bercakap dengan ayam-ayamnya, langsung tak dihiraukan apa yang aku katakan.
Tengok, betul tak? Atok memang tak pernah nak risaukan diri sendiri. Atok bukan
berapa sihat sejak ke belakangan ini. baru aje beberapa hari yang lepas kebah
dari demam panas.
Aku
menggeleng, lalu membawa langkah ke pintu rumah. Aku berdiri di situ melihat
tingkah atok. “Atok, dengar tak Mai cakap?” soalku bila atok masih seperti
tadi.
Atok
pandang aku sekilas sebelum menjatuhkan pandangannya pada ayam-ayam kampung
belaan atok itu.
Aku
melabuhkan duduk diatas anak tangga rumah. Kain batik yang bersarung aku
kemaskan kedudukannya. Inilah pakaian rasmi aku setiap hari, kain batik dan
baju kurung kedah yang nampak benar keusangannya.
“Tok, atok tu bukan sihat sangat. Duduk aje
kat rumah. Kang kalau jadi apa-apa kat kebun tu macam mana? Mai risau tau tok.”
“Atok
lagi risau anak dara membebel pagi-pagi. Takut tak laku.” Balas atok tanpa
melihatku. Gaya macam bercakap dengan ayam tapi aku tahu atok menyindirku.
Aku
tarik muka. aku jugak yang kena balik. “Tok, Mai tak buat lawak tau tok. Mai
bukan suka-suka nak membebel, Mai ni risaukan atok aje. Susah-susah, biar Mai
aje yang ke kebunlah.”
Bukan
sekali dua aku menawarkan diri untuk ke kebun mencari sayur-sayuran tapi atok
tak pernah benarkan. Tempat aku hanya dirumah kata atok. Sejak tamat SPM
setahun yang lepas, tempat aku hanya di rumah ini, menemani dan menjaga atok.
Aku tak dibenarkan bekerja jauh sekali keluar bersuka ria. Tapi aku tak pernah
merungut kerana kasihnya aku pada atok membuatkan aku mahu sentiasa disisi
atok.
Atok
pantas menala mata kearahku. Aku tayang muka tegas, tak mahu berkompromi dengan
atok memandangkan ini adalah untuk kebaikannya juga.
“Kamu
ni, dah sebiji macam nenek kamu jugak. Suka main ugut-ugut. Ingat aku takut
ke?” atok gelak-gelak. Atok ni..
Sekali
lagi aku tarik muka. Tambah lagi bila nampak atok dah berdiri bersama parang
pendek ditangan, sedia untuk ke kebun belakang rumah. Walaupun hanya dibelakang
rumah tapi tetap merisaukan aku. Buatnya atok pengsan di dalam sana, siapa yang
akan sedar? Sudahlah kedudukan rumah atok ni jauh bebenar dari rumah tetangga
yang lain.
“Atok..”
panggilku sedikit merengek. Mengharapkan atok membatalkan niatnya. Atok
berhenti seketika, melihat kearahku. Aku tayang wajah meminta simpati.
“Baik
kamu risaukan Harun tu, asyik keluar malam aje. Takut dia buat maksiat dengan
betina lain.” Atok berlalu dengan muka tak bersalahnya.
Aku
berdecit. Suka tau atok ni buat aku membebel sorang-sorang. Lepas tu cari salah
si Harun pulak. Orang cakap pasal dia. Ishh..
Aku
toleh pada Harun yang duduk diatas simen bawah tangga. Badan kucing berbulu
putih itu aku angkat. Kucing buat maksiat jugak yang atok risaukan. Kesihatan
dia tu tak fikir langsung. Ishh.. atok ni..
AKU himpunkan semua pakaian
kotor didalam satu besen besar yang kelihatan begitu usang. Dengan hanya
berkembankan kain batik, aku menuju ke bilik air yang terletak dibelakang rumah
bersama besen tadi. Kedudukan bilik air dan rumah atok tidaklah begitu jauh,
hanya beberapa langkah dari pintu dapur atok saja. Tiba dibilik air yang hanya
dikelilingi oleh zink-zink karat dan tidak berbumbung, aku meletakkan besen
tadi dilantai.
Sudah
terlalu kerap aku meminta atok menukar dinding bilik air ini, tapi atok begitu
juga. Aku faham atok bukanlah banyak sangat duitnya, hanya mengharapkan duit
pencennya sebagai bekas tentera sahaja untuk menampung hidup kami berdua. Aku
bukan minta atok bina bilik air batu sebesar tanah ni, cukuplah sekadar bilik
air kayu tetapi lengkap dengan bumbung dan terlindung dari orang luar. Yalah,
aku kan ke anak dara. Orang dalam kampung ni pun bukanlah baik semua, ada aje
yang kaki sekodeng.
Sambil
memberus pakaian dilantai, fikiranku jauh melayang. Memikirkan kehidupan yang
telah aku lewati dan bakal aku tempuhi. Mak? Abah? Aku senyum perit. Aku
kehilangan mereka sejak kecil lagi. Allah mengambil abah ketika aku terlalu
mentah lagi, sebelum sempat aku mengenalinya.
Mak
pula? Sudahlah, aku tak mahu menyimpan harapan yang sama lagi. Mak meninggalkan
aku pada atok setelah kematian arwah abah. Tiada siapa yang tahu ke mana dia
pergi. Bertahun aku menunggu kepulangan mak, tapi nyata hampa. Kenyataannya mak
memang tak mahu pulang melihat aku mahu pun atok, bapa mertuanya.
Sejak
dari kecil, inilah duniaku. Dunia yang hanya dikelilingi oleh kebun-kebun dan
pokok-pokok. Membesar dengan didikan atok. Atok terlalu menyayangi aku
memandang aku saja cucu yang dia ada. Atok tak punya anak lain selain arwah
abah.
Nur
Maisarah Alisa binti Ahmad Hussin atau digelar Mai. Aku dikenali sebagai
seorang gadis yang begitu ketimuran. Tutur kata yang lembut, berwajah ayu dan
cukup bersopan-santun. Semua itu hasil didikan atok. Di sekolah dulu, aku
merupakan salah seorang pelajar yang sangat disayangi guru-guru. Tak kurang
juga ada pelajar yang menjauhi aku kerana aku hanya seorang budak miskin yang
terlalu naif dan daif.
Entahlah,
kalau nak dikira dari segi harta, memang aku kurang dari segi tu. Aku bukan
dilahirkan atas duit, juga tidak dilahirkan sebagai anak tauke emas. Aku hanya
gadis kampung miskin yang dibesarkan oleh atok dan tidak mempunyai ibubapa.
Aku
mengelap sedikit peluh yang membasahi dahi sebelum menyambung memberus baju.
Inilah kehidupan aku. Aku tak mengeluh biarpun setiap hari tugasku membasuh
pakaian menggunakan tangan. Aku juga tak merungut biarpun setiap hari kerja aku
memasak didapur untuk atok. Aku tak merengus biarpun aku tak dibenarkan keluar
dari rumah waima hendak ke kedai pun. Aku bersyukur. Jika aku susah, ada orang
lebih susah dari diriku ini.
Kreekk!!
Aku
pantas menoleh, dari celahan lubang zink, aku nampak bayangan orang berlari-lari.
Aku pantas bangun, mengambil tuala menutupi bahuku. Aku menjengah dari lubang
yang ada, orang tadi sudah tiada. Siapa? Orang mengendap lagi?
Aku
melepaskan keluhan. Susahlah kalau hari-hari macam ni.
AKU duduk diatas tangga pintu
rumah, menyertai atok yang sudah melepak disitu sejak selesai menjamu makan
malam sebentar tadi. Secawan kopi pekat aku hulurkan pada atok yang sedang
menghisap rokok daun.
“Lambat
pulak atok balik dari surau tadi? Ada apa-apa ke kat surau?” tanyaku tetapi
mata mengarah ke hadapan, merenung kepekatan malam. Tanpa lampu jalan, hanya
disinari dengan sedikit cahaya dari dalam rumah ini saja. Mahu tak gelap
gelita.
“Ada..
Ada orang sembahyang.” Balas atok bersahaja.
“Eei,
atok ni kan.. Mai tahulah kat surau tu memang ada orang sembahyang. Mai tanya,
kot ada majlis apa-apa sampai atok balik lambat. Atok ni, suka corner tempat
lain bila Mai tanya tau.” Sabar ajelah layan kerenah atok ni. Suka sangat
kenakan aku.
Atok
bersandar pada dinding kayu. “Kamu ingat tak pakcik Akram anak arwah tok Kassim
tu?” atok menjawab dengan pertanyaan pula. Pun aku memerah juga ingatan. Pak
cik Akram? Yang mana satu ya? Anak arwah tok Kassim. Emm.. ala, siapa ni? Macam
tak kenal aje.
“Kalau
dah berkedut-kedut dahi tu, mengalahkan kedut kat muka atok, maknanya tak
ingatlah tu. Hissh, kamu ni. Baru berapa tahun dia tak balik kampung ni, kamu
dah lupa terus.” Bebel atok. Aku senyum sumbing. Maaflah tok, kalau hari-hari
terperuk dalam rumah ni, manalah Mai nak kenal semua orang dalam kampung ni.
Atok
menghirup sedikit kopi panasnya. “Pakcik Akram tu kawan baik arwah abah kamu.
Dia pernah datang sini, jenguk-jenguk kamu. Allah Mai, dia yang selalu datang
jenguk kamu, bawakkan baju baru untuk
kamu masa kecil-kecil dululah. Tak ingat?” atok tenung mukaku. Aku tunduk
seketika, berfikir ni. Bawakkan baju. Ha, rasanya macam dah ingat. Aku toleh
kat atok dengan muka sedikit teruja.
“Pakcik
Akram yang ada kereta besar tu ya tok?” Masya-Allah, macam manalah aku boleh
lupa dengan insan yang selalu datang membantu aku dan atok suatu ketika dulu?
“Yalah,
yang tu. Dia balik sini semalam, dengan keluarga dia. Eh, kamu tahu tak? Dia
bawak isteri baru dia.” cerita atok bersungguh-sugguh. Melihatkan gaya atok
yang dah sebiji macam Mak Bedah kat kampung ni tengah bergosip, buat aku
tergelak lucu. Pandai jugak atok aku ni bergosip.
Atok
pandang aku dengan muka pelik. “Yang kamu gelak beriya-iya ni kenapa pulak? Aku
ada buat lawak ke tadi?”
Eh,
marah pulak. Emosi tak terkawal lah atok ni. Aku sengih tepi. “Dia kahwin baru
ke tok? Isteri dia mana?” sebenarnya, aku sendiri tak kenal isteri pakcik Akram
tu sebab setahu aku lepas pakcik Akram kahwin dengan orang Kuala Lumpur, dah
jarang dia datang mejenguk aku.
“Dah
meninggal lama dah, atok pun baru tahu. Yalah, balik sini pun tak selalu. Ni
dia bawak bini baru dia datang tengok kampung. Dia kahwin dengan janda anak
satu. Anak dara dah anak tiri dia tu. Amboi, makin kaya aku tengok, kereta
makin besar. Anak-anak dia pun dah besar panjang dah.”
“Rezeki
Allah bagi, alhamdulillah.” Sambutku perlahan. Nasib aku ni, entah bila nak
berubah agaknya. Entah bila pondok yang hanya ada dua bilik ni hendak berubah
jadi banglo.
“Memanglah,
macamlah aku cakap kamu yang bagi. Menyampuk aje.” Bebel atok. Aku tergelak
kecil bila tengok atok tarik muka. Jangan tak tahu, atok aku ni pandai merajuk.
Kadang-kadang ayam atok taknak layan atok, berhari jugak atok mogok bagi makan
lambat kat ayam-ayam tu. Atok.. atok..
“Atok ni.. hmmm.. tok..” panggilku, sedikit merengek. Nak minta apa-apa
kenalah bodek sikit. Hehehe..
“Hmm.. apa?” acuh tak acuh aje atok jawab. Muka aku pun dia tak pandang.
“Tok.. tengoklah Mai tok. Please.. please..” aku jengah sikit ke depan,
mencari mata atok. Atok pandang aku dalam keterpaksaan.
“Tok, Mai nak minta tolong sikit ni. Sikit aje. Boleh tak?” aku tayang muka
comelku. Atok buat muka meluat. Tahu sangat perangai atok tu.
“Bagitau pun tak lagi, nak tolong macam mana?” balas atok. Amboi, marah
nampak tok. Aku sengih.
“Mai nak minta tolong atok tutupkan lubang-lubang kat bilik air tu. Dah
banyak kali Mai perasan ada orang mengendap Mai mandi. Mai takutlah tok, rasa
tak selamat.” Biasanya aku minta atok buatkan bilik air baru tetapi
memandangkan mungkin atok tak mempunyai modal, aku hanya minta atok menampalkan
mana-mana dinding zink yang berlubang tu sahaja. Tidaklah aku rasa diri diintai
lagi.
Wajah atok berubah tegang tiba-tiba. “Kamu nampak siapa yang mengendap kamu
tu?” aku pantas menggeleng. Kalau aku tahu, tak perlu tunggu atok, aku sendiri
dengan berani memancung kepala orang tu.
Atok lepaskan keluhan beratnya. Dia tertunduk. “Atok tak tahu nak buat
apalagi Mai supaya kamu sentiasa selamat. Atok dah larang kamu keluar, atok tak
bagi kamu kerja, semua untuk keselamatan kamu. Sebab aku tahu anak-anak muda
dalam kampung ni memang susah nak percaya. Rupanya duduk rumah pun kena kacau jugak. Allah..”
atok geleng kepala. Mungkin terasa payahnya menjaga seorang anak dara dari
dijeling oleh si mata nakal.
No comments:
Post a Comment