“..KAU tahu betapa ku sayang padamu.. hanya bidadari sebagai ganti.. hooo.. hanya takdir menentukan ia.. ooh.. belaian jiwa..” sehelai lagi pakaian aku sidai diampaian.
“Haaa, eloklah tu sidai baju sambil menyanyi. Cepat sikit
hujan timpa bumi.” Laung suara atok dari pintu rumah. Aku tarik muncung. Selalu
potong line tau atok ni. Ada aje modal nak kutuk suara sumbang aku ni.
“Kan
atok dah pesan, jangan menyanyi kat luar. Tak elok anak dara lontar suara macam
tu. Aurat.” Pesan atok. Ya.. ya.. aku ingat pesan atok tu. Mahu tak ingat,
kalau dah ayat itu jugak yang diulang setiap kali aku terrr..menyanyi
kuat-kuat. Nak buat macam mana, kadang-kadang aku pun tak sedar bila aku
tinggikan vokal. Perasan suara sedap. Hahaha
“Mai
bukan apa tok, saja nak hiburkan hati ayam-ayam atok dengan si Harun tu. Kesian
dia orang tak ada hiburan.” Aku sengih lucu dan kembali menyidai pakaian yang
masih tinggal separuh.
“Mulia
sungguh hati kamu Mai. Tapi atok rasa baik tak payahlah. Entah dia orang kutuk
suara kamu tu, siapa tahu kan.” tanganku terhenti seketika dari memerah kain
pelikat atok. Senyum aku hilang. Aku tarik muka. Atok ni, jujur betul.
“Mai,
atok nak ke belakang kejap...”
Aku
pantas paling muka. “Nak ke kebun lagi ke?” tanyaku.
Atok
selamba menyarung kasut getahnya kemudian topi kainnya diletakkan diatas
kepala. “Kalau ya kenapa?” soal atok dengan muka tanpa ekspresinya.
Aku
bercekak pinggang. Helaian rambut yang masih basah ditiup angin pagi aku selak
ke belakang. “Tak payahlah atok, hari ni duduk rumah aje.”
Aku
tengok atok sengih tepi cuma. Ketika itu dia sedang mengasah parangnya
dipangkin pokok mempelam. Jarak antara pangkin tu dengan tempat ampaian baju
hanya beberapa langkah sahaja.
“Kamu
ni, muda-muda dah macam nenek kamu. Membebel aje. Atok nak tampal lubang kat
bilik air tu lah.” Ohh.. aku angguk-angguk biarpun di kutuk atok. Kalau untuk
kebaikan atok aku dikatakan seperti arwah nenek, aku rela tau. Sebab aku
sayangkan atok.
Aku
meneruskan menyidai. “Eloklah tok, dua tiga hari ni makin kerap Mai perasan ada
orang mengintai Mai pagi-pagi.” Ulasku tanpa memandang atok. Aku jadi takut
bila memikirkan setiap pagi aku harus mandi dan menyuci pakaian. Mungkin
mula-mula mengintai, lepas tu apa pulak. Ya Allah, nak fikir pun takut, apatah
lagi jika berlaku betul-betul. Astaghfirulallah..
“Kamu
ni Mai, lain kali kalau ada orang mengintai kamu, jeritlah. Panggil atok. Kalau
jadi apa-apa macam mana. Mai.. Mai..” keluh atok.
Aku
diam, sedar salah sendiri. Bukan aku tak nak panggil atok tapi aku tak nak atok
terkejut. Atok bukannya sihat sangat. Karang kalau jadi apa-apa macam mana?
Kesian kat atok.
“Maaf
tok.” Suaraku perlahan. aku mengepit bakul yang sudah kosong. Aku berjalan
kearah pangkin, mengambil tempat disebelah atok yang sedang membelek parang
lamanya. Atok mengusap kepalaku lembut sebelum menarik aku dalam pelukannya.
“Atok
sayangkan Mai, atok tak nak jadi apa-apa kat Mai. Mai pun tahu, dalam kampung
ni, Mai sorang aje anak dara yang digilakan orang. Atok takut mereka apa-apakan
Mai.” Sebak kedengaran suara atok. Pastilah atok trauma mengenangkan kejadian
beberapa tahun yang lalu. Aku hampir dirogol ketika pulang dari sekolah. Mujur
ada insan yang baik hati menyelamatkan aku.
Aku
peluk pinggang atok. Pipi tua atok aku cium sekilas. “Mai pun sayang atok. Mai
tak nak bagi atok susah hati.” Mai tak ada sesiapa dalam dunia ni selain atok.
Ayat itu aku sambung dalam hati. Atok cukup pantang dengar aku berkata
sebegitu. Pada atok, aku memang tiada sesiapa tetapi aku masih punya Tuhan yang
Maha Pencipta.
Aku
terasa kepalaku digosok-gosok. Aku senyum. “Atok lagi susah hati bila kamu
cakap ada orang mengintai kamu. Entah apa agaknya orang tu nak. Kalau betul nak
kan kamu, datang ajelah masuk minang. Kamu bukan bini orang pun.”
Aku
angkat kepala, pandang atok. “Orang yang mengintai Mai tu yang atok suruh masuk
minang? Ishh.. sumpah Mai tak nak. Entah berapa ramai anak dara dia intai
agaknya.” Aku sebenarnya tak pernah kisah siapa bakal suami aku yang atok mahu
pilihkan. Pada aku, pilihan atoklah yang terbaik. Lagipun, aku manalah ada
kawan lelaki. Atok memang pantang kalau aku berkawan rapat dengan lelaki entah
siapa-siapa.
Atok
gelak, bergegar bahunya. “Agak-agak, Mai nak suami yang macam mana?” soal atok.
Perlahan-lahan aku rungkai pelukan. Aku duduk bersimpuh diatas pangkin.
Pandangn aku halakan ke hadapan. Mula membayangkan ciri-ciri lelaki yang aku
inginkan sebagai suami.
“Mai
nak yang macam atok.” Ujarku, sekaligus membuatkan atok terjerit terkejut. Aku
kalih pada atok dengan dahi berkerut. Apasal atok terkejut sangat ni?
“Kenapa?”
“Kamu
ni biar betul sikit Mai oii.. kamu nak kahwin lelaki tua macam atok ke?”
Aku
jatuh rahang, ternganga. Sesaat berlalu, aku pantas menggeleng. Beriya-iya
menggeleng. “Bukan.. bukan. Maksud Mai, Mai nak suami yang baik macam atok.
Hensem, penyayang. Suka dengar Mai membebel.” Aku menyatakan ciri-ciri yang ada
dalam diri atok yang membuatkan aku sayang sangat kat atok.
Atok
gelak besar. Dia bangkit dari duduknya. Parang tadi disisipkan ke dalam sarung
yang tergantung dipinggang atok. “Baik, hensem dengan penyayang tu betul. Tapi
pasal membebel tu, Mai ajelah yang perasan. Bila masa pulak atok suka Mai
membebel. Bingit tahu.” Ejek atok bersahaja, tetapi aku masih nampak atok
menyembunyikan senyumannya.
Aku
tarik muka. “Atok ni, tak sukalah. Orang puji ikhlas, atok tak nak pun jaga
hati Mai.” Aku peluk tubuh.
“Atok
pun sama. Puji seikhlas hati, bukan sebab nak jaga hati.” atok gosok kepala aku
sambil tergelak. Kemudian dia mula membawa langkah ke belakang rumah pun masih
dengan sisa tawanya.
Aku
tengok atok hingga hilang dari pandangan. Perlahan-lahan aku koyak senyuman.
Atok.. atok.. Mai sayang atok tau.
“Assalamualaikum..”
aku pantas menoleh. Alamak.. aku toleh kiri kanan, mencari apa-apa yang boleh
dibuat menutup rambut dari terus menjadi santapan mata lelaki muda itu. Bakul?
Belasah ajelah. Aku capai bakul, mengangkat bakul tu dihadapan mukaku,
melindungi wajahku dari pandangannya.
“Err..
maaf.. maaf..” lelaki itu nampak serba salah. Aku tengok dia dari celahan
lubang-lubang pada bakul. Kacaknya walaupun dengan pakaian yang sudah lencun tu.
Anak siapa ni? Tak pernah nampak pun. Tak macam orang sini.
“Saya
nak.. err.. err..” lelaki tu toleh belakang. Aku turut mengikut pandangannya.
Kelihatan seorang lagi lelaki yang mungkin seusia dengan lelaki tu serta
seorang lagi gadis yang nampak lebih muda dari yang lain.
Gadis
tu nampak bengang kemudian melangkah kasar kearah kami. Rasanya mereka ni bukan
orang sini. Tengok aje dari gaya pakaian mereka, lagi-lagi yang perempuan
berkulit putih itu. Hanya jeans pendek dan singlet bertali lebar sahaja. Rambut
pun berwarna.
“Syaz
ni kenapa? Tanya ajelah.” Marah gadis tadi. Aku bangkit perlahan dari pangkin
dengan rasa cuak. Siapa mereka ni? Datang dari mana? Nak apa? Aku tengok pula
lelaki dihujung sana yang mula membawa kaki kearah kami. Yang ni pun nampak
macam perempuan tu. Muka bengang aje. Tapi pelik, kenapa mereka bertiga ni
basah lencun? Tak kan aku nyanyi tadi tapi hujannya kat tempat lain?
Lelaki
yang dipanggil Syaz tadi diam tak berkutik dengan mata terhala kearahku. Aku
toleh pada si gadis.
“Maaf,
ada apa ya?” soalku perlahan, masih melindungi wajahku menggunakan bakul tadi.
Si gadis toleh pada si lelaki yang seorang lagi. Mereka mencebik, meluat. Entah
kenapa.
“I
nak tanya, dari sini nak ke rumah arwah tok Kassim macam mana?” tegak saja nada
suara lelaki sombong itu. Langsung tak tahu berbudi bahasa. Berlagak. Ingat ni
kampung, sesuka hati nak tunjuk bagus.
“Terus
aje dari sini. Nanti nampak lorong Haji Latiff sebelah kanan tu, masuklah.
Kampung ni tak besar mana pun, pusing-pusing kat situ jugak.” Sempat aku
menambah, sedikit menyindir. Aku nampak si abang senyum sedikit, aku membalas.
Hanya pada si abang. Dengan dua orang lagi hamba Allah ni, jangan harap. Dahlah
sombong.
“Eh..
eh.. budak kampung ni. Banyak pulak cakapnya.” Marah gadis tadi. Mukanya
bertambah berang.
“Biasalah,
orang kampung.” Tambah lelaki tadi dengan senyuman mengejeknya. Kenapa? Salah
ke kalau aku jadi orang kampung? Sabar Mai, sabar banyak-banyak.
“Kalau
rasa masalah yang korang cari tak cukup lagi, jangan nak tambah lagi dengan
masalah bergaduh dengan orang kat kampung ni pulak. Penat dah aku melayan
korang.” Lelaki bernama Syaz mencelah
bagi mengelakkan berlaku pertikaman lidah. Dia nampak sedikit bengang dengan
tingkah adik-adik mereka.
Mereka
berdua merengus kemudian menjeling sebelum mengangkat kaki dari situ. Aku berpandangan
dengan Syaz pula. “Maaf ya, diaorang memang macam tu. Err.. saya Syazlan. Cucu
arwah tok Kassim.. err..”
“Syaz,
cepat lah. Dah nak tengahari ni.” Laung si gadis dari hujung jalan.
Syazlan
angkat tangan pada mereka, memberi isyarat sekejap. Kemudian dia menoleh pada
ku semula. “Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Ujarnya kemudian mengangkat
kaki, pun masih sempat menghadiahkan aku dengan secebis senyuman lembut.
Kacaknya..
“ATOK, mari makan tengahari.”
Aku menjengah ruang tamu dari pintu dapur. Mencari-cari kelibat atok.
Sebenarnya kalau tak cari pun tak apa, sebab memang sah atok dengar aku laung.
Rumah ni bukanlah sebesar rumah ketua kampung tu sampai panggil tiga empat kali
pun tak dengar.
“Ya.. ya..” suara atok membalas. Aku dengar papan rumah
dipijak menandakan atok sedang berjalan menuju ke dapur.
Aku
bersimpuh diatas tikar mengkuang, atok datang bersila dihadapan. Tudung saji
aku angkat kemudian nasi aku sendukkan ke dalam pinggan. Doa dibaca sebelum
makan. Kacang panjang goreng aku letakkan dalam pinggan. telur dada aku ambil
sedikit. Syukur dengan apa yang ada. Lauk ni pun dah cukup sedap pada aku. yang
penting, mesti ada sambal belacan.
“Lubang
tu semua atok dah tutup dengan papan. Kalau kamu rasa ada orang intai lagi,
bagitau atok. Biar atok pakukan dia dengan papan tu sekali.” Ujar atok sebelum
menyuap nasi ke dalam mulutnya.
Aku
sengih sambil mengunyah perlahan. “Kalau Mai kerjakan senang. Boleh Mai naik
batu aje bilik air tu.” elok ayat itu keluar dari celahan bibir, aku terdiam. Perlahan-lahan
aku kalih mata pada atok yang turut terhenti suapannya. Mata atok aku tentang
takut-takut. nyata aku dah terlepas cakap.
“Maaf
tok, Mai tak ada niat apa-apa pun cakap macam tu.” atok kembali menyambung
suapannya.
“Atok
bukan tak nak kamu kerja, bukan tak nak kamu sambung belajar. Tapi atok
risaukan kamu. Kamu tak selamat kat luar sana. Nanti kalau kamu dah kahwin,
ikut kamulah nak buat apa.”
Aku
menyuap nasi perlahan. aku mengerti perasaan atok kerana itu aku tak pernah
merungut walaupun aku menerima tawaran menyambung pelajaran seperti teman-teman
aku yang lain. Biarlah, aku sendiri mahu berada disisi atok sepanjang masa. Aku
tak mahu tinggalkan atok sendirian.
“Yalah
tok, Mai faham. Mai..” aku menoleh kearah pintu yang memisahkan dapur dengan
ruang tamu yang berada dirumah atas bila terdengar salam.
“Siapa
pulak datang tu?” soal atok pada dirinya sendiri. atok pantas mencuci tangan.
Dia
bangun lalu tangga dapur didaki perlahan. Niatku untuk menyambung makan
terbantut bila terdengar atok mempelawa tetamu naik ke rumah. Tak kan pula
hendak dibiarkan tetamu tak berhidang air. Aku mencuci tangan, cerek diatas
para aku ambil lalu aku isi dengan air. Sementara menunggu air mendidih, aku
menyusun gelas-gelas diatas dulang. Kuih puteri ayu yang aku buat pagi tadi aku
letakkan diatas piring. Tudung putih yang bersangkut ditepi dinding dapur aku
capai.
AKU MELANGKAH perlahan menatang
dulang naik ke ruang tamu. Aku tersenyum pada tetamu-tetamu atok. Ada sepasang
suami isteri yang sudah agak berusia duduk bersila diatas tikar mengkuang
bersama atok. Itu ajelah yang kami ada dirumah ini. janganlah harapkan sofa
lembut mahupun kerusi rotan, semua tak ada.
“Ni dia anak dara arwah Hussin. Wah, dah besar. Makin
cantik.” Puji lelaki dalam lingkungan empat puluhan itu. Disambut dengan tawa
isteri dan atok. Aku senyum kecil. Air aku tuangkan lalu aku hidangkan
dihadapan mereka.
“Minum
pakcik.. makcik.. tok..” pelawaku. Sebelum aku duduk bersimpuh disebelah atok,
aku menyalami tangan mereka terlebih dahulu.
“Mai,
ni pakcik Akram yang atok cerita hari tu. Ingat lagi tak?”
Aku angguk perlahan. Bila dah tengok muka ni,
ingatlah walaupun pakcik Akram nampak makin berusia tetapi masih juga segak.
Bila sebut nama aje hari tu, memang kosong habis. Inilah agaknya isteri barunya
yang yang atok cerita tu. mungkin seusia dengan pakcik Akram, tetapi masih
nampak bergaya dengan rambut sanggulnya.
“Tak
kan tak ingat, dulu pakcik selalu datang sini. Ini isteri baru pakcik, panggil
auntie Su aje.” Sambut pakcik Akram. Aku senyum kecil pada auntie Su. Memang
aku pemalu sikit dengan orang yang aku tak kenal.
“Pakcik
dengan auntie datang berdua aje ke?”
“Nilah
yang tak sedap nak cerita ni. Anak-anak kami ada kat dalam kereta, tak mahu
turun. Puas dipujuk, semua buat tak tahu.” Cerita auntie Su. Dari gaya auntie
Su, aku tahu dia seorang yang baik.
Aku
angguk, faham sangat atas alasan apa anak-anak auntie Su dan pakcik Akram tak
nak naik ke rumah. Takut roboh agaknya. Lagipun rumah kami panas, tak ada kipas
jauh sekali air-cond. Yalah, aku pun tahu mereka ni orang bandar. Mana biasa
dengan suasana kat kampung yang panas ni.
“Ala,
biasalah tu. Ni Ram, bila kendurinya? Lepas Isyak ke?” celah atok. Aku menjadi
pemerhati.
“Ya
pak Rahim, lepas Isyak. Memang niatnya balik ni nak buat kenduri arwah. Jangan
tak datang pulak. Kamu pun Mai.”
Aku
senyum sahaja. Tak pasti dapat datang ke tidak.
“Insya-Allah,
kalau tak ada aral, sampailah aku kat rumah tu.”
Ya,
kalau tak ada aral. Tapi dalam hati dah niat memang tak nak datang. Seriau.
*lagu yang Mai nyanyi smbil sidai bju..hehe
No comments:
Post a Comment