Bab 3
HARI yang dinantikan. Hari
bertemu keluarga. Sejak masuk ke sekolah awal tahun, belum pernah lagi keluarga
Dara datang melawatnya. Ya, dah dua bulan lebih dia rindu untuk bersua dengan
adik-adiknya. Ayah? Dia juga rindu pada orang tuanya, tapi tidaklah sehebat
rindu pada kedua-dua adik lelakinya. Sejak kecil lagi dia membesar bersama arwah
mamanya di Semporna Sabah, sedang ayah pula berkerja di semenanjung.
Sedang
dia mengikat rambut panjangnya di hadapan cermin lockernya, dia terpandang Aira
yag sedang bersandar pada kepala katil bujang sambil membaca buku rujukan
subjek sejarah. Jadi betullah, subjek kegemaran Aira bukan subjek kira-kira,
tapi subjek membaca. Marissa.. Marissa.. Semangat tak nak kalah pada Zayn
sampai sanggup tonjolkan kebodohan diri sendiri.
Lepas
perbalahan di hadapan Madam Salmah di dalam pejabat dua hari lepas, mereka
berlapan terus menyepikan diri. Bawa diri masing-masing. Entahkan sebab malu
ataupun sebab awkward pada diri masing-masing. Bila dah kena smash dengan Zayn kelmarin,
barulah masing-masing macam boleh berfikir tentang niat sebenar mereka untuk
berkawan. Niat nak kena betul, bukan semata-mata sebab ikut arahan orang lain.
Masa
tu, barulah masing-masing sedar yang selama dua bulan ni, mereka bukan berkawan
sebab ikhlas. Kalau betul nak berkawan, rasa kekok untuk bermesra tu takkan
wujud. Kita akan selesa dengan sendirinya. Tapi mereka tak rasakan tu semua.
Oleh sebab tu, mereka bertindak menyepikan diri. Tak nak paksa diri untuk
sesuatu yang mereka tak ikhlas pun untuk lakukan.
“Ndak
datang keluarga kau, Aira?” Tegur Dara, meringankan mulut. Sepanjang dua bulan
lebih ni, Dara perasan yang Aira tak pernah dilawati oleh keluarganya. Keluarga
Aira jauh ke? Tapi kalau ikut apa yang Zayn bagitau kelmarin, Aira asal dari
semenanjung juga. Dari KL kalau tak silap.
Aira
yang terdengar dirinya disapa, menoleh pada Dara lalu bibirnya dilorek sebuah
senyuman. Seketika, dia menggeleng.
“Famili
aku sibuk.” Jawab Aira ringkas sebelum kembali pada bukunya.
Terhenti
gerak tangan Dara yang sedang mengemaskan bang di dahinya. Matanya menatap
tajam tingkah dan bahasa tubuh Aira. Temannya itu nampak tak selesa untuk
melanjutkan perbualan. Jawapannya tadi bagaikan tanda noktah dengan harapan
Dara takkan bertanya lebih lanjut.
“Aira..”
Perlahan Dara menyeru temannya lalu dengan berani dia duduk di birai katil Aira
yang terletak selang sebuah katil dari katilnya.
Tak
ramai mana yang menghuni dorm Anggerik itu, hanya 12 orang untuk sebuah dorm. 6
orang pelajar tingkatan 4 dan 6 orang lagi untuk pelajar tingkatan 5. Dara
taklah rapat dengan mereka semua, tapi Dara kenal setiap dari mereka. Ada kak
Fara, kak Tasya, kak Alice, kak Mira, kak Yani dan kak Nini untuk pelajar
tingkatan 6. Pelajar yang setingkatan dengannya pula, Aira, Marissa, Rayhana,
Kelly dan Shanita. Sekarang semua dah keluar, tinggal dia dan Aira saja.
Mungkin keluarga masing-maisng dah sampai.
Aira
menoleh pada Dara. Wajahnya lembut seperti selalu.
“Kau
okeykah, bah?”
“Aku
okey. Kau siap-siap ni, nak keluar ke? Famili kau datang, eh? Biasa kalau
famili meet day, kau stay je kat dorm dengan aku.”
“Ya,
bah. Keluargaku datang. Ni kali la baru jumpa sama adik-adikku.” Nak terbelit
lidah Dara bila loghat Sabah bercampur dengan loghat semenanjung. Risau betul dia kalau Aira tak faham apa yang cuba dikatakan. Itu belum dia
cakap guna loghat orang Suluk lagi, mahu putus nafas kawannya nak fahamkan agaknya.
Aira
tersenyum lagi. Sememangnya dia murah dengan senyuman.
“Adik-adik
kau ramai ke? Diorang terbang dari Sabah untuk jumpa kau?”
Pantas
Dara menggeleng.
“Uina!
Ndaklah. Keluargaku tinggal di semenanjung seja.”
“Oh?
Jadi kau memang tinggal di semenanjung dengan keluarga kaulah? Tapi Zayn cakap
hari tu, kau asal Semporna, kan?”
“Na,
iya. Memang aku asal Semporna. Baru jak bah ni aku tinggal di semenanjung dengan dorang adik-adikku, ikut ayahku lepas mamaku meninggal. Ayahku memang
kerjanya di semenanjung.” Dara tersenyum segaris, cuba menyembunyikan rasa
sendu di hati.
Bagaikan
memahami, perlahan Aira menyentuh kekura tangan tangan Dara. Mereka berbalas
senyuman. Nampak sayu.
“Sorry,
Dara. Aku tak tahu.”
“Na.. ndakpapa jugak aku, bah. Kau pula? Kenapa
orang tuamu ndak datang?”
“Mak
ayah aku dah lama meninggal. Aku stay dengan famili makcik aku kat KL tu.”
Terkejut,
mata bundar Dara terbuntang.
“Astaga!
Maaf, Aira. Aku ndak tahu pulak orang tuamu tiada sudah.”
Sebaliknya
Aira hanya tersenyum lebar.
“Tak
apa. Aku okey. Kau..”
Deringan
perlahan dari poket jeans Dara, mematikan ayat Aira. Pantas Dara menarik keluar
telefon bimbit dengan skrin hitam putih miliknya. Melihatkan nama yang tertera,
pantas Dara meminta izin Aira untuk menjawab panggilan. Dara pantas bangkit
dari katil Aira.
“Helo,
auntie.”
“Bila
kau nak turun, ha? Ayah kau dah lama tunggu ni. Tahu panas tak?” Suara garang
lelaki di hujung talian buat Dara sentak. Sedar bukan majikan ayahnya yang
sedang bercakap di talian. Itu suara anak majikannya.
“Kejap.
Mau sudah aku turun ni.”
Dan
talian terus mati.
“Aira,
aku pergi dulu ya.” Pamit Dara, agak kelam-kabut.
Tanpa
menanti balasan Aira, terus Dara membawa kakinya ke pintu utama dorm. Waktu dia
menyarung kasut, muncul Rayhana yang sedang menekap telefon di telinga dengan
muka yang menakutkan. Sempat Dara berpandangan dengan Aira. Gadis itu
menjungkit bahu. Tanda tak tahu apa yang berlaku pada Rayhana.
“Kau
tu yang bodoh! Dah tahu aku tak suka kat jantan tu, yang kau suruh aku turun
juga, apehal? Argh! Bapak tiri je, bukan bapak kandung pun. Lantaklah!” Bentak
Rayhana seraya menghempas punggungnya di atas katilnya, masih bersama
telefonnya.
Masa
tu juga Marissa masuk ke dalam dorm, melepasi Dara dengan wajah muram lalu
duduk di katilnya.
“Oi,
Ray! Kau ni bangang ke apa?! Kalau kau nak hormat dia sangat, kau hormatlah
sorang-sorang. Tak payah sibuk nak ajak aku.” Kemudian telefon terus dihempas
sebelum Rayhana menekap wajahnya pada bantal.
“Arghh!!
Bodoh! Bodoh!Ada abang pun bodoh! Argh!”
“Kau
boleh diam tak? Kau ingat, kau sorang je ke yang ada masalah?” Marissa yang
duduk di sebelah katil Aira, mencelah sebal. Aira yang duduk di antara mereka
berdua, terpinga-pinga.
Rayhana
menjauhkan bantal dari mukanya lalu menentang garang Marissa.
“Ha’ah,
memang aku sorang je yang ada masalah dalam dunia ni. So what?” bentak Rayhana.
Melihatkan
keadaan Aira yang semakin tersepit, pantas Dara memberi isyarat mata.
Mengajaknya keluar. Dia tak nak Aira pula jadi mangsa perbalahan dua teman
mereka tu. Tak sempat nak fikir apa-apa, Aira pantas bangkit dan bersiap.
Sumpah dia takut.
“DARA sihat?” Tegur Saleh sebaik
berdepan dengan anak gadisnya. Salam anaknya disambut lalu rambut anak itu
diusap tatkala gadis itu menunduk mencium tangannya.
“Sihat.
Ayah sihat? Ini kawanku, si Aira namanya.” Perkenal Dara. Lantas Aira menghulurkan
tangan untuk berjabat. Salamnya disambut baik oleh orang tua Dara.
“Alhamdulillah.
Aira, ya. Pakcik ni ayahnya Dara. Kamu sihat? Dah jumpa keluarga kamu?”
“Ayah,
adik-adik mana?” Pantas Dara memotong bicara ayahnya. Dia takut emosi Aira
terganggu. Pun mata Dara melingas juga, mencari kelibat Razmi dan Wardi.
“Adik-adik
pergi toilet sekejap. Tu pergi jumpa auntie sana.” Saleh menolak lembut bahu
anaknya supaya mendekat pada Datin Zaiton, majikannya.
Tak
perlu dipaksa, kaki Dara automatik mendekat pada wanita seusia ayahnya yang
sedang duduk di bangku bawah pohon rendang. Cantik dengan evening dress warna
kuning bercorak abstrak. Rambut keemasan separas bahunya dilepas bebas. Dari
jauh dah boleh terhidu harumannya. Aira dan Saleh mengikut dari belakang. Melihatkan
kedatangan Dara, Datin Zainton lantas bangkit dari duduk.
“Dara,
sayang.” Tubuh tinggi dan langsing anak gadis tu diraih ke dalam pelukan.
“Auntie
sihat?” Tangan wanita itu disalam hormat. Kemudian dengan mesra, wanita itu
mengucup kedua belah pipi Dara. Dara sedikit tersipu bila matanya bertemu
dengan Aira.
“Auntie
sihat, sayang. Awak sihat? Siapa ni? Kawan, ya?”
“Ni
Aira, auntie. Kawan sekelas dan sedorm Dara. Aira, ni Datin Zaiton. Majikan
ayahku.” Perkenal Dara sopan.
Wajah
Datin Zaiton nampak teruja tiba-tiba.
“Sekelas
deng..”
“Mom,
I’m off.” Celah satu suara dari belakang Dara dan Aira.
Serentak
mereka menoleh. Dara lorek senyum sekilas tatkala matanya bertemu dengan mata kebiruan
itu sebelum dia berlari mendapatkan adik-adik lelakinya yang baru tiba bersama
lelaki itu.
Mata
Aira terbuntang melihat lelaki itu dan lebih mengejutkan, lelaki itu menggelar
Datin Zaiton dengan panggilan ‘mom’. Dia anak Datin Zaiton ke?
“Ha,
Zayn. Mommy baru berkenalan dengan kawan sekelas awak ni. Aira kenal dia, kan?
Dia sekelas dengan Dara. Dara pun sekelas dengan Aira, kan?”
Anak?
Mata Aira terkelip-kelip. Betullah. Wajah Datin Zaiton memang nampak kacukkan
macam Zayn tapi Zayn lebih menyerlah sebab mata birunya itu. Okey, jadi selama
ni Dara memang kenal baiklah dengan Zayn? Patutlah Zayn boleh tahu yang usia
sebenar Dara. Tapi kenapa mereka berdua tak nampak mesra?
“Err..
Ya. Ya, auntie.” Serba tak kena Aira nak jawab. Matanya masih tak lepas menatap
Zayn yang sedang melangkah mendapatkan ibunya untuk bersalaman. Wajahnya tak
beremosi.
“Eh,
takkan nak pergi dah. Jom kita keluar, makan sama-sama.” Ajak Datin Zaiton tapi
wajah si teruna nampak tak berminat. Salam anak itu tetap juga disambut.
“Maybe
next time.” Balas lelaki itu seraya berlalu.
Datin
Zaiton melepaskan keluhan. Aira yang melihat, jadi kasihan. Apalah Zayn ni, ada
mak tapi acuh tak acuh saja dilayan. Tak tahu menghargai langsung.
“Dia
mesti tak ada kawan, kan?” Soal Datin Zaiton perlahan. Sedih bunyinya.
Aira
dan Dara yang mendengar, berpandangan seketika.
“Zayn
ada sakitkan hati awak, Dara?” Datin Zaiton kalih pada Dara yang berdiri di
samping adik-adiknya. Salih pula sedang mengeluarkan bekalan makanan untuk
diberikan kepada Dara nanti.
“Ndak
jugak tu, auntie. Aku dengan dia baik-baik seja.”
Entahlah,
Dara pun tak tahu sama ada dia sakit hati atau tak pada Zayn. Sebab Zayn tak
ada usik dia pun. Kacau pun tidak. jadi, untuk apa dia sakit hati? Cuma geram
sikit sajalah dengan perangai dia yang satu tu. Kumpau. Orang semenanjung
cakap, sombong.
Datin Zaiton memeluk tubuh, matanya di hadap terus
ke arah susuk Zayn yang dah semakin menjauh.
“Sebenarnya,
Zayn tu bukan jenis introvert macam tu. Dulu dia ramai kawan kat sekolah lama.
Tapi hujung tahun lepas, dia dapat tahu kawan-kawan dia tak ikhlas berkawan
dengan dia. Kebanyakkannya dekat dengan Zayn sebab nak ambil kesempatan. Sebab
tu dia minta auntie pindahkan dia ke sekolah lain.”
Serentak,
Dara dan Aira berpandangan. Jadi inilah sebab kenapa Zayn pentingkan keikhlasan
dalam menjalinkan persahabatan. Rupanya dia pernah diperguna atas tiket
persahabatan itu sendiri. Dan sekarang dia sangat berhati-hati dalam memilih
kawan.
“Tapi
auntie dengar, salah seorang dari kawan dia tengah buat rayuan untuk masuk ke
sini. Tak pastilah dapat masuk ke tak budak tu.”
Oh?
Siapa kawan Zayn yang tak boleh berpisah dengan Zayn sampai sanggup buat rayuan
tu? Tentu yang ni betul-betul nak berkawan dengan Zayn dan bukan sebab nak
ambil kesempatan pada lelaki kacukan itu.
“Maaf
menyampuk, auntie. Tapi auntie ni..” Serba-salah pula Aira nak lanjutkan
soalan. Takut dikatakan kurang ajar pula.
Datin
Zaiton menarik nafas dalam sebelum dilepaskan. Wajah Dara dan Aira dipandang
semula bersama senyuman.
“Suami
auntie, ayah Zayn tu salah seorang exco kerajaan Johor.”
Aira
jatuh rahang. Johor State Executive Council atau Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri Johor. Wow, hebat! Patutlah ramai yang nak mendampingi Zayn.
Dara
pula pandang Aira, kehairanan. Kenapa?
No comments:
Post a Comment