WALAUPUN tak mahu, tetapi
inilah kewajipan aku. Meski beribu kali aku cuba menidakkan kehadirannya, namun
kebenaran yang satu itu membuatkan aku pasrah. Dia suami aku.
Aku menghulurkan secawan kopi pada pakcik Akram. Pakcik..
terlalu payah hendak aku ubah panggilan itu menjadi abang. Berkali-kali aku
tersasul memanggilnya.
“Mai, sini.. duduk dengan pakcik.” Dia sendiri menggelar
dirinya pakcik.
Aku
menuruti arahannya, mengambil tempat disisi pakcik Akram yang sedang duduk
dimuka pintu rumah. Aku toleh sekilas pada pakcik Akram. Biarpun sudah berusia,
tetapi masih nampak tegap dan tampan. Apa yang aku tahu, pakcik Akram juga
seorang peguam, sama seperti abang Syazlan. Dia mempunyai firmanya sendiri.
“Mai,
tahu tak. Dulu pakcik dengan abah Mai baik sangat. Kami kawan dari kacil lagi.
sampailah pakcik sambung belajar, pakcik mula renggang dengan dia. tahu-tahu
dia dah kahwin dah. Masa abah Mai kahwin, pakcik tak dapat datang sebab masa tu
pakcik tengah exam. Setahun lepas tu, pakcik balik sini, nak jumpa dia. Tapi
atok Mai cakap abah Mai dah meninggal sebab accident.” Pakcik Akram menarik
nafas dalam-dalam.
“Pakcik
sedih sangat masa tu. tak sempat pakcik nak cerita kat dia yang pakcik dah jadi
peguam. Sebab dulu dia yang bagi semangat kat pakcik supaya capai cita-cita
pakcik tu. walau apa pun halangannya, dia nak pakcik jadi peguam. Kerana
kata-kata tulah pakcik berjaya Mai sekarang ni.” Pakcik Akram toleh kiri,
mencari anak mataku. Aku diam, tak berkutik.
“Apa
cita-cita Mai?” soal pakcik Akram, lembut.
Serta-merta
aku menunduk. Cita-cita. Ada lagi ke cita-cita dalam diri aku sedangkan aku
rasa hidup aku sudah punah semuanya lepas kejadian malam aku dirogol itu.
“Mai
tak tahu.” Aku geleng lemah.
“Mai,
tengok sini.” Pakcik Akram mengangkat dagu aku, mengarahkan aku melihatnya. Dia
mempamerkan senyumannya.
“Setiap
orang ada cita-cita Mai, tak mungkin Mai yang dapat straight A’s SPM tak ada
cita-cita.” Aku beliak biji mata, dari mana pakcik Akram tahu?
“Arwah
tok Mai yang cerita. Dengar Mai dapat banyak tawaran tapi atok tak bagi Mai
sambung belajar ya?”
Aku
angguk perlahan. Tapi semua tu tak penting. Apa yang aku mahu dulu hanyalah
duduk disamping atok. Menjaga keperluan atok. Tapi.. aku tarik nafas dalam,
cuba menenangkan diri.
“Ceritalah
kat pakcik, apa cita-cita Mai.” pujuk pakcik Akram. Aku menala pandangan keluar
pintu. Suasana malam gelap seperti biasa.
“Kalau
dulu Mai cuma nak bahagiakan atok aje, tapi sekarang Mai dah ada cita-cita
lain. Satu, Mai nak jadi pereka fesyen. Dua, Mai nak cipta nama sendiri dalam
dunia fesyen. Tiga, Mai nak cari siapa yang rogol Mai.” dalam tak sedar, aku
menyuarakan keinginan aku dengan nada yang berkobar-kobar.
Pakcik
Akram tepuk perlahan bahu aku. Aku kalih mata pada dia. Dia senyum, nampak
bangga dengan apa yang aku katakan tadi.
“Pakcik
akan bantu Mai realisasikan impian tu. Apa pun halangannya, pakcik nak Mai
capai cita-cita tu. Ingat, pakcik dulu pun mula tanpa apa-apa. Apa yang pakcik
ada, hanya semangat yang arwah abah Mai bagi. Itu yang pakcik pegang hingga
sekarang.” Ujarnya, sekaligus memberikan aku semangat untuk bangkit meneruskan
hidup. Pasti dia nampak aku hilang arah tuju setelah kehilangan maruah diri dan
atok yang membela aku sejak kecil.
Aku
senyum. Pakcik Akram menggosok kepalaku. “Mai, demi Allah pakcik tak boleh
terima Mai jadi isteri pakcik. Pakcik anggap Mai macam anak pakcik sendiri Mai.
Ya Allah..” keluhnya berat.
Dia
bersandar tapi matanya masih melekat kat muka aku. “Terus terang aje Mai, apa
yang Mai rasa sekarang?” jelas pakcik Akram mahu mendengar rasa hati aku ketika
ini.
“Pakcik,
Mai.. Mai.. Mai minta maaf. Sebab Mai pakcik dapat susah. Mai dah buat keluarga
pakcik kelam-kabut. Mai tak tahu pakcik.. Mai tak tahu nak buat apa.” tiba-tiba
tangisan hiba aku berlagu. Sejak pelbagai perkara menimpa, inilah pertama kali
aku ditanya tentang isi hati aku. Perasaan aku.
Pakcik
Akram menarik aku dalam pelukannya. Pelukan seorang bapa yang aku rindukan
selama ini. bahu aku diusapnya.memujuk aku dalam diam.
“Pakcik faham Mai, Mai buntu. Mai keliru. Semuanya berlaku
dalam masa yang sama. Tentu Mai terkejut. Pakcik faham kenapa arwah atok Mai
nak Mai kahwin, dia nak ada orang yang jaga Mai. Tapi sayangnya, Raff dengan Syaz
langsung tak nak volunteer. Pakcik jadi buntu. Jodoh kamu bukan dengan orang
tua macam pakcik ni Mai. Auntie kamu pun senang-senang aje terima kamu jadi
madu dia. Entahlah Mai..”
Kalau pakcik sendiri tak mampu menerima aku sebagai
isterinya, aku apatah lagi. sedikit pun aku tak terasa hendak mengaku pakcik
adalah suami aku.
“Macam nilah Mai, kalau Mai setuju, kita balik KL ni kita
uruskan penceraian. Pakcik betul-betul minta maaf sebab pakcik memang tak boleh
terima Mai. Pakcik taknak rosakkan masa depan kau nak.”
Aku duduk menegak. Nyata apa yang dikatakan oleh pakcik
Akram tadi membuatkan aku terkejut. Meski hati terasa senang, tapi terbit juga
rasa gusar sekiranya orang kampung dapat tahu. Pasti berbagai kata hinaan dan
fitnah ditabur.
“Mai
jangan risau. Lepas kita cerai, Mai duduk dengan keluarga pakcik. Cumanya,
pakcik nak kita rahsiakan hal ni dari sesiapa pun termasuk keluarga pakcik.
Kita buat macam biasa aje. Esok atau lusa pakcik daftarkan Mai dekat kolej, Mai
amiklah course yang Mai nak. Setuju?”
Aku
tersenyum mendengar rancangan pakcik Akram untuk masa depanku.
BEBERAPA helai pakaian aku
masukkan dalam beg. Cukuplah bawa apa yang perlu. Barang aku pun bukanlah
banyak mana. Hanya beberapa helai baju kurung dan keperluan lain sahaja.
Aku menjengah bawah almari solek bila terasa ada sesuatu
yang menyilau pandangan. Benda apa pulak yang terperosok bawah tu? plastik
gula-gula agaknya. Aku panjangkan tangan, menggapai barang halus yang
mengeluarkan cahaya putih.
Aku mengangkat tangan, menayang benda tu depan mata.
Rantai? Tengok dari warna rantai tu, macam emas putih. Seingat aku, aku tak
pernah lagi mempunyai rantai semahal ini. Aku memerah ingatan bersama mata
masih terpaku pada rantai tersebut. Loket yang digunakan berbentuk ukiran
huruf. Hanya ada dua huruf iaitu KA. KA? Tak pasti apa maksudnya tapi yang
penting bukan milik aku.
Kejap.. kejap.. macam pernah nampak huruf ni. Kat mana
ya? Mai, fikir Mai. Fikir.. Dan ingatan aku terseret pada kejadian hitam
kelmarin. Dada aku berdebar hebat. Inilah rantai yang perogol tu pakai. Ya, aku
pasti sangat sebab aku memang nampak dengan jelas loket ni sebelum aku pengsan.
Tapi masalahnya, siapa dalam kampung ni yang pakai rantai
emas putih yang dah tentu beribu harganya? Aku pejam mata rapat-rapat. Cuba
memaksa diri mencari klu. Tapi sumpah tak nampak apa.
Nanti.. aku pernah nampak huruf ni kat tempat lain.
Kejap, kat mana ya? Aku bangkit dari duduk. Berjalan ke tepi tingkap yang
terbuka sedikit. Aku berdiri disitu bersama rantai ditangan. Entah bagaimana,
aku terpandang celahan tingkap yang terkuak. Dalam samar-samar cahaya, aku
ternampak kereta pakcik Akram yang terparking ditepi rumah arwah atok ni.
Sesaat kemudian, aku kembali menjatuhkan pandangan pada
loket kat rantai tu. Eh..!! aku tersentak. Aku angkat mata semula, menala
pandangan pada kereta CRV hitam milik pakcik Akram tu. Aku picingkan mata, cuba
memastikan huruf pada nombor plat kereta tu. KA 555. KA?
Aku angkat rantai tadi, loketnya aku pandang silih ganti
dengan plat kereta tu. Kebetulan ke? Tak mungkin. Pakcik orang KL, tak kan
tanpa ada sebab dia beli nombor plat huruf K. Kan plat KL huruf W.
Aku cuba mengaitkan rantai ni dengan plat kereta tu. Tapi
tak jumpa dimana kesinambungannya. Apa yang pasti, lelaki yang merogol aku
bukan orang kampung ni. Ya, aku pasti tentang tu. Aku genggam rantai tu sekuat hati
dengan rasa dendam yang mendalam. Apa pun yang berlaku, rantai ni akan membawa
aku bertemu dengan lelaki yang telah menghancurkan hidup aku.
No comments:
Post a Comment