Thursday, September 28, 2017

QAISER (Bab 2)





BAB 2



MELANGKAH masuk di lobi pejabat, seperti biasa aku membalas mesra setiap teguran dari para pekerja. Pesan ayah, macam mana berat pun masalah yang kita hadapi, jangan pernah tunjuk pada pekerja mahupun orang luar. Orang akan menilai kita dari apa yang mereka lihat. Kalau dah asyik buat muka bermasalah aje, nanti orang ingat kita ni memang jiwa serabut. Rosak imej.

“Morning, kid.” Sapa Uncle Ravi, pengurus dari bahagian kewangan. Salah seorang pekerja kepercayaan ayah yang dah berkhidmat di sini hampir lima belas tahun. Usianya pun hampir sama dengan usia ayah. Dengar cerita dari ayah Uncle Ravi nak bersara, tapi kalau boleh janganlah dulu. Susah nak cari orang yang boleh di percayai untuk handle akaun syarikat.

“Morning, uncle. Taken your breakfast?”

Kami melangkah masuk ke ruangan lif sebaik pintu terbuka. Butang nombor 8 aku tekan bagi pihak Uncle Ravi.

“Eat already. And you? You nampak messy sikit pagi ni. Why?” Macam biasa, pak cik seorang ni memang prihatin orangnya. Terlebih prihatin pun ada jugak. Yalah, dia macam boleh baca aje apa yang ada dalam hati aku. Jenuh kot aku sorok perasaan aku yang gundah-gulana ni, pun dia boleh nampak. Betullah orang tua-tua ni banyak makan garam. Nasib uncle seorang ni tak kena darah tinggi.

Aku tersenyum nipis. Macam biasa, cover.

“Let bygone be bygone, young man. Kalau you nak, I pun ada anak perempuan. Deena tu cantik juga, kalah Pretty Zinta. You tak mahu?”

Aku tergelak kecil bila Uncle Ravi dah mula promot anak dara dia tu. Memanglah Pretty Zinta, tapi part hidung ajelah. Part warna kulit tu, lari jauh berbatu dari Pretty Zinta kot.
Ting!! Diam-diam aku tarik nafas lega. Sampai pun tingkat 8. Cepatlah keluar uncle, penat dah aku tampal muka palsu ni.

“Okey.. Okey.. I nak keluarlah ni. By the way, muka tu you kasi tambah plastik lagi. Tak cukup coverlah.” Uncle Ravi keluar dari lif sambil tergelak-gelak. Sabar ajelah aku dengan uncle ni. Jangan nanti dia sampaikan pada ayah sudahlah. Bukan boleh percaya sangat Uncle Ravi tu. Semua benda nak report kat ayah. Agaknya tanpa pengetahuan aku, ayah dah upah Uncle Ravi jadi babysitter aku kot. Tapi okey kot babysitter dari bapa mertua. Ha ha ha

Ting!! Sampai pun.

Sebaik pintu lif terbuka, kaki yang ingin melangkah, terkaku tiba-tiba. Insan di hadapan aku pun tergamam sama. Buat beberapa saat, kami berpandangan tanpa kata. Juga tanpa riak di muka. Awkward kot situasi macam ni.

Normallahkan, bila tiba-tiba kita bertembung dengan orang yang kita cuba elak selama ni. Mana tak terkejut. Awek kat depan ni, aku tak pasti kenapa dia jadi kaku dengan mata terbeliak macam tu. Agaknya sebelum pintu lif terbuka tadi, dia duk wish aku yang ada dalam lif kot. Bila termakbul, tu yang terkejut.

Cepat-cepat aku menahan pintu yang nak tertutup semula. Terus aku keluar. Sempat aku mengangguk pada awek merangkap pekerja dari unit R&D tu. Dia terus masuk lif dengan kepala tertunduk. Malu kot. Aku menggeleng. Pelik.

“Pagi, bos.”

“Good morning, Sir.”

“Nice color, boss.”

“Assalamualaikum, Encik Qaiser.”

Semua teguran aku jawab sebaik mungkin. Di tingkat pengurusan ni, masing-masing dah biasa denganku. Sebelum aku jadi pengarah pun, jawatan aku sebagai General Manager biliknya di sini juga. Aku tak pentingkan sangat protokol mahupun formaliti ni, yang penting ada hormat antara kami dan kerja pun sempurna. Tu pun dah memadai. Aku cuma praktikkan apa yang ayah ajar aje.

Buka saja pintu pejabatku, satu keluhan terhambur bila terlihat ada jambangan di atas mejaku, seperti selalu. Kenapalah dia tak pernah rasa penat, ek? Aku toleh meja Bawang sebelum masuk ke pejabat. Mana ajelah si Bawang ni pergi? Beg dah ada menandakan si PA aku tu dah sampai awal. Tu mesti berjalan cari gosip baru. Betul-betul tipikal seorang PA.

Briefcase aku letak di atas meja, kemudian jambangan bunga lili yang masih segar di atas meja, aku capai. Sekali lagi aku mengeluh. Apa yang awak dapat sebagai balasan untuk semua jambangan bunga yang awak bagi pada saya, Cik Yasmin?

Depan aku, bukan main cover lagi, kan. Ingat aku tak tahu dia yang bagi aku bunga-bunga ni semua sejak dia tahu aku putus tunang dulu. Aku tahu. Mana aku tahu? CCTV kat dalam bangunan ni bersepah kot. Macamlah aku tak boleh request nak tengok siapa yang duk rajin letak jambangan bunga atas meja aku ni setiap pagi kecuali hari sabtu dan ahad. Sebab weekend, ofis tutup.

Siapa Yasmin? Si manis yang tergamam depan aku kat lif tadi tu, lah. Yasmin Nadia nama penuhnya. Pembantu pengurus bahagian Research & Development. Mula-mula aku rasa sesuatu juga sebab
hampir setiap hari aku ternampak Cik Yasmin kat tingkat 10 ni. Bukanlah dia tak boleh naik ke sini, tapi kalau hari-hari, kan ke pelik tu? Sedangkan ofis dia kat tingkat 3. Kan jauh tu beza 10 dengan 3.

Setiap kali aku terserempak dengan dia, bila aku masuk ofis mesti ada jambangan bunga kat situ. Bila aku tanya pada PA aku, dia mesti jawab tak tahu. Dia tak nampak ada orang masuk. Pandai juga Cik Yasmin tu selinap masuk. Masa tu aku dah syak dah tu kerja Cik Yasmin, tapi demi untuk sebuah kebenaran, aku periksalah rakaman CCTV. Dan ternyata betul tekaan aku. Bahagian paling best, bila aku berlagak macam tak tahu apa-apa pasal pemberi bunga tu, sampai sekarang. Nak tengok sejauh mana Cik Yasmin tu boleh berlagak innocent depan aku.

Bukan kata aku menyombong ke apa, tapi kalau dah hati aku letaknya pada Delisha, nak aku apakan lagi? Cik Yasmin tu cukup semua ciri-ciri menantu mithali yang makcik-makcik kat luar sana idamkan. Mana-mana lelaki pun kalau kenal Cik Yasmin ni, mesti berebut nak buat jadi isteri. Aku? Entahlah, aku jadi tawar hati nak bercinta lagi apatah lagi nak bertunang mahupun berkahwin. Memang taklah.

Jambangan lili aku campak di kabinet belakang. Tak sanggup nak bawak balik. Macam biasa, karang aku sedekahlah bunga ni pada sesiapa yang nak. Tubuh aku hempas pada kerusi kulit empuk. Jam aku jengah. Lagi sepuluh minit nak pukul sembilan.
Sekali lagi aku hambur keluhan. Berat. Berat sungguh permintaan DR pagi tadi. Kalau tak ditolong, apa pula kata dia. Karang dia cakap aku tak move on lagi. Karang nampak sangat aku masih simpan perasaan kat isteri dia. Aku picit dahi. Kenapalah mesti aku? Dan kenapalah Delisha mengandung lagi? Kenapa?

Aku terngadah bila pintu terkuak dari luar tanpa diketuk. Tahu dah gerangan siapa. PA merangkap teman dari zaman sekolah.

“Morning, Loser.” Tegur Bawang sambil melangkah masuk bersama buku nota.

Tak lama selepas aku putus tunang dulu, PA aku, Kak Rita pula berhenti kerja. Menurut Kak Rita, disebabkan syarikat akan berpindah setelah bangunan persendirian milik ayah di Bangi siap, Kak Rita tak dapat nak berulang Ampang-Bangi setiap hari. Meskipun waktu Kak Rita berhenti tu, bangunan baru belum pun siap lagi, tapi Kak Rita berhasrat untuk berhenti lebih awal. Dan siapa sangka, rezeki Bawang untuk menggantikan tempat Kak Rita. Hinggalah kami berpindah ke Bangi setahun yang lalu, Bawang masih setia sebagai PA aku.

“Morning, Poyo.” Suis komputer aku hidupkan. Sementara menanti komputer berfungsi, aku selak isi-isi surat dalam tray. Bawang yang sudah duduk di hadapanku, aku buat tak tahu.

Tak sangkakan, dalam ramai-ramai orang yang interview untuk jawatan PA, boleh pula aku terpandang resume mamat ni. Mujurlah aku terpandang background sekolah dia dulu. Sebab kalau aku baca nama aje, memanglah aku tak kenal. Dah semua orang panggil dia Bawang, mana aku nak kenal Azwan bin Isnin tu siapa. Dah tu, sampai sekarang nama Bawang tu melekat kat lidah aku. Staf lain pun naik pelik bila aku panggil si Azwan tu, Bawang. Sampaikan sekarang semua staf pun dah terpanggil dengan nama glamor tu.

“Weh, kau tak payah nak loser sangat muka tu..”

“Kau pun tak payah nak poyo sangat mulut tu.” Aku pantas potong ayat dia. Bawang tergelak aje, macam lucu sangat apa yang aku cakap tadi.

“Ayah kau call aku tadi, dia cakap pembantu pengurus bahagian HR yang baru tu lapor diri pagi ni.”
Aku balas pandangan Bawang dengan dahi berkerut.

“Ayah aku tak cakap apa-apa pun dengan aku?” Bukan tak jumpa pun ayah kat rumah. Malam tadi pun duduk semeja makan bersama, tapi ayah tak sentuh langsung tentang hal syarikat. Memang aku yang suruh ayah tapis sendiri calon untuk jawatan pembantu pengurus HR tu sebab pada aku, ayah memang bijak pilih pekerja.

“Ayah kau ingat kau ni dah jadi ais, beku teruk. Tu dia malas agaknya nak cakap dengan kau.” Berdarah hidung kena perli dengan si Bawang ni.

“Ada tak ayah aku email resume staf tu? Aku nak tahu dia lelaki ke perempuan.”
Bawang pandang aku semacam. Aku buat tak tahu. Faham sangat dengan gaya renungan tu.

“Tak ada pulak. Ayah kau cuma pesan kat aku, suruh kau briefing dia sikit sebelum serahkan dia pada pengurus HR. Tapi.. Tapi soalan last kau tu suspen sikit. Kalau staf tu lelaki kenapa? Kalau perempuan kenapa pulak? Dah terbuka ke pintu hati kau tu untuk perempuan lain?” Kan aku dah kata, mesti jadi isu punya soalan aku tu.

“Kalau perempuan, eloklah aku reject sebelum sejarah berulang kembali.” Sengaja aku menggantung ayat. Baru aje berlaku bulan lepas, takkan si Bawang ni dah lupa kot. Dia kelam seketika sebelum buat muka teruja.

“Ha’ahlah. Karang tak pasal-pasal bini Alif tu datang buat scene catfight macam hari tu. Seram aku. Kritikal sungguh tahap cemburu bini Alif tu.” Komen Bawang, macam biasa gaya komen macam makcik-makcik tengah bergosip.

“Tapi Alif tu kan pengurus HR, kat ofis dia boleh uruskan berpuluh pekerja, takkan kat rumah isteri seorang pun tak boleh nak handle? Muka bersinar-sinar dengan cahaya kesetiaan pun isteri tak percaya. Haii.. masalah betul kalau isteri ni kuat cemburu. Nak kerja pun susah.” Tambah Bawang lagi. Aku jungkit bahu semata. Malas nak cakap apa. Mood baik aku dah ke laut perginya lepas dengar berita Delisha mengandung anak kedua. Pedihnya hati.

“Wehh..!” Pappp!! Bawang tepuk buku nota dia kat lengan aku. Adui makkk.. Perit! Punyalah nak tarik perhatian aku, sampai terlupa yang aku ni bos besar dia.

“Sakitlah, gila.” Aku jeling dia sedas. Perangai..!!

“Kan betul, kau sakit. Aku dah agak dah. Kau demam, eh?” Dia petik jari. Muka teruja habis.

“Demam kau! Dah kau pukul aku, kau ingat tak sakit? Dah.. Dah.. keluar. Semak kepala aku tengok muka kau.”

Aku tak peduli dengan muka tak siap dia tu. Mental aku tengah koyak ni. Serabut.

“Sampai hati kau, Qai. Selama kawan-kawan baik kau abaikan kau, muka nilah yang teman kau siang malam pagi petang, tak kira panas ataupun hujan. Hari ni kau cakap semak tengok muka aku. Sentap aku. Sentap.” Dia dah buat ayat sedih dah.

Yalah, sejak Ken, Aniq, Dura dan... Delisha dah berkeluarga, aku dah mula rasa ada ruang kosong antara kami berlima. Tak mengapalah, aku faham. Nama pun dah berkeluarga, takkan setiap masa dia orang kena berkepit dengan aku. Tapi ada masa senggang, rindu dah menggebu nak berfoya-foya, kami cari juga ruang untuk bertemu. Keakraban tu masih ada, cuma masa sentiasa mencemburui kami. Tak adalah sampai mereka mengabaikan aku terus. Statement si Bawang ni nak win aje.

Aku diam, malas nak layan. Jam di monitor Apple aku pandang. Dah nak sembilan setengah. Mana staf yang nak lapor diri tu? Waktu ofis bukan pukul sembilan ke? Aik, hari pertama kedatangan dah merah.

“Weh, kau ni apasal sebenarnya? Jarang kau buat perangai tak siap macam ni. Err.. sebenarnya selalu juga. Tapi hari ni pagi-pagi dah ribut anginnya, apahal?” Bawang ni, nak tengok dia serius untuk lima minit pun payah.

Aku buat-buat tak dengar. Tangan bermain dengan mouse. Mata fokus pada monitor.

“Hahh!! Aku tahu dah. Ni mesti kes kau dengan bekas tunang kau a.k.a kawan baik kau a.k.a jiran sebelah rumah kau tu, kan? Rileks la Qai, dah nak tiga tahun kot. Kau pun dah belajar ilmu kebalkan hati dari aku kan, biasa kau okey aje. Takkkan hari ni boleh down pulak. Sia-sialah aku jadi sifu kau macam ni.” Aduhai, rasa macam nak plaster aje mulut Bawang ni. Agak mak dia mengandungkan dia dulu, hari-hari makan buntut ayam ke? Bercakap tak tahu nak break.

“Macam nilah sifu, rasanya ilmu yang sifu bagi tu tak cukup lagi. Boleh tak sifu ajar saya satu lagi ilmu kekebalan?” Kami berpandangan. Bawang dah buat muka excited.

“Boleh. Boleh. Nak ilmu kebalkan apa?”

“Kebalkan telinga. Dah naik bingit aku dengar suara kau dari tadi.” Aku bersandar senang di dinding kerusi empuk. Puas hati dapat kenakan si Bawang ni.

“Hampehlah kau, Qai. Dahlah, aku keluar dulu. Kau standby, jangan bagi duckface tu kat staf baru. Spoiled.” Dia dah angkat punggung. Pantas aku capai pen dan aku baling kat badan dia. Bawang terlompat, terkejut.

“Oii Mr.PA. Schedule aku apa hari ni? Bukan main poyo lagi kau, kan?”

“Yalah. Aku terlupa pulak yang aku ni PA kau.” Bawang tergelak sambil menyelak buku notanya.
“Tak busy sangat pun kau hari ni. Pagi ni briefing dengan staf baru tu, pukul sebelas pulak ada wakil dari Zainal Development. Dia orang nak bincang pasal bajet tender kat Temerloh tu. Then pukul tiga kau ada hi-tea dengan Miss Kayla dari..”

“Cancelkan hi-tea tu.” Putusku tanpa teragak-agak.

“Cancel, kan? Weh, kau tahukan Kayla tu cantik. Gorgeous. Seksi. Orang berebut nak breakfast, lunch, dinner dengan dia, yang kau senang-senang aje cancelkan. Ke kau nak tukar hi-tea tu jadi candle light dinner tanpa pengetahuan aku?” Bila dia buat muka suspicious macam tu, aku tahu dah kejap lagi semua benda dia nak korek.

“Kalau kau nak sangat candle light dinner dengan Kayla tu, kau arrangelah sendiri. Tapi jangan nak menggatal guna nama aku pulak. Aku kena jemput orang kat airport lepas meeting dengan Zainal Development tu.” Lagipun Miss Kayla tu dah selalu sangat aku jumpa. Dia, kan anak salah seorang dari share holder syarikat ni.

Dia jungkit kening.

“Jemput orang? Airport? Siapakah?” Dia dah mula nak mencungkil.

Aku tunjuk penumbuk kat dia. Bawang tersengih.

“Nak rasa? Sekali lagi kau buat perangai kepoh tu, aku debik kau tanpa henti. Dah.. pergi sambung kerja. Karang staf baru datang kau jangan buat perangai gedik kau tu. Aku sekeh nanti.”

“Yalah, aku keluarlah.” Dia bangkit dari kerusi. Aku pula capai pen untuk menulis. Dah malas nak hiraukan si Bawang ni.

“Oh ya, bos. Cuba tengok sini kejap.” Pinta Bawang yang sudah berdiri di ambang pintu untuk keluar. Aku terngadah dengan dahi berkerut. Apa lagi Bawang ni?

“So sweet, weh. Kau nampak sangat tampan dengan background sejambak bunga lili kat belakang kau tu. Rasa macam nak snap gambar lepas tu framekan besar-besar aje.”

Tak sempat aku nak baling pen kat dia, dia dah berlari keluar. Siot betul Bawang ni. Ada aku cincang-cincang jadikan bawang goreng karang.

Aku tergelak sendiri. Bawang.. Bawang.. Sebenarnya mujur juga aku ada Bawang ni, at least ada jugak ‘telinga’ nak dengar bila aku bercerita. Waktu sekolah dulu, kami taklah rapat mana pun sebab Bawang ni kelas Sastera. Tapi selalu jumpa sebab sama-sama join kadet yang sama.


AKU berkerut dahi sambil mata terus fokus pada setiap baris ayat yang tertera di atas kertas putih yang dikepilkan di dalam satu fail. Fail ni aku rasa tak adalah urgent sangat sebab Bawang letakkan fail ni dalam tray ‘Rileks’. Biasa kalau dalam tray ‘ASAP’, yang tu memang nak kena periksa as soon as possible. Unik tak tray aku? Tu semua hasil kretiviti PA aku.

Aku tekan butang interkom.
 “Bawang..” Seruku, tapi mata masih meneliti isi fail tu.

“Yes boss?”

“Masuk kejap.” Ujarku dan Bawang hanya membalas ‘okey’ saja. Tak lama menanti, Bawang dah duduk di kerusi di hadapanku. Melihatkan kerutan di wajahku, Bawang jadi pelik.

“Ayah aku ada inform apa-apa tak pasal jawatan GM tu?” Dah kalau jawatan pembantu pengurus HR pun ayah yang buat pemilihan dan pengambilan, dah tentu calon jawatan GM tu pun ayah yang pilih. Kan ayah yang sibuk suruh hold dulu jawatan tu. Mesti ayah ada apa-apa plan.

“Jawatan GM? Aku rasa macam tak ada. Sebab masa dia call tadi pagi, dia cuma cakap pasal jawatan pembantu pengurus HR tu aje. Kenapa? Dah ada calon ke? Tak pun Tuan Arshad dah suruh buka iklan?” Dari soalan Bawang tu, memang nampak sangatlah yang dia tak tahu apa-apa pasal jawatan tu. Tapi yang pasal renovate ni?

“Siapa yang suruh renovate ofis GM?” Aku pandang Bawang, serius. Dahi Bawang jadi makin berlapis-lapis.

“Renovate ofis GM? Aku tak tahu pun?” Ujarnya. Aku hulur fail pada Bawang. Bawang menjengah seketika sebelum aku tarik kembali.

“Serius, aku tak tahu. Engineer dengan ID kita atau luar?” Soal Bawang. Aku selak helaian belakang. Nama jutera dan pereka hiasan dalaman aku teliti.

“Engineer Mister Razali, assist by Mister. Dion. Interior designer Miss Nasuha, assist by Mister Haikal. Dia orang dah sign untuk kerja ni. Tinggal approval aku aje.” Aku bersandar kembali. Semua tu memang staf aku sendiri. Serius aku tak faham. Kenapa perlu diubah suai? Bilik tu, last checked semua elok lagi. Tinggi mana taraf bakal GM tu sampai nak kena buat macam-macam untuk dia?
Aku pandang Bawang sambil berfikir jauh.

“Ayah aku ada datang ofis tak masa aku tak ada? Kejap, siapa yang letak fail ni kat dalam tray aku?” Kalau Bawang yang letak, mesti Bawang tahu dari mana datangnya fail ni. Mungkin ayah aku yang pass pada Bawang kot.

Bawang berkerut, cuba mengingati mungkin.

“Fail ni aku yang letak dalam tray kau. Tapi bukan dari Tuan Arshad. Hmm.. Siapa ya? Ohh..!! Secretary Encik Razalilah yang pass kat aku semalam petang. Baru aku teringat. Dia cakap benda ni tak urgent so aku letak dalam tray ‘Rileks’ aje lah.”

Aku terdiam bersama keluhan. Terus tubuh menyandar pada dinding kerusi empuk. Pun mata masih terhala pada Bawang yang masih menanti sebarang arahan dariku. Pelik! Kenapa mesti nak renovate? Dan kenapa ayah tak ada cakap apa-apa padaku? Padahal selalu saja bertembung hidung kat rumah tu. Persoalan utamanya di sini, siapa bakal GM aku tu?

“Kau nak aku panggilkan dia orang?” Soal Bawang bila aku masih membeku.

Aku berdeham perlahan. “Boleh juga. Kau panggilkan dia orang sekarang.” Sebal pula rasa hati bila aku diketepikan dalam urusan sebesar ni. Ish, kenapa eh kalau pasal GM tu mesti ayah yang nak uruskan tanpa pengetahuan aku? Balik ni aku nak tanya juga pada ayah.

“Sekarang? Okey, aku try call dia orang kejap.” Bawang terus bangkit dari kerusi. Buku nota dia kepit bersama. Hilang saja Bawang, aku menghamburkan keluhan. Ayah ni..

Wednesday, September 27, 2017

QAISER (Bab 1)

Bab 1



TUALA yang melilit di pinggang, aku rungkai setelah siap mengenakan slack dark brown. Lagu dari pemain mp3 memeriahkan ruang kamarku. Pagi-pagi buka lagu techno, mahu tak segar. Kemeja putih lengan panjang yang sudah siap diseterika, aku ambil dari penyangkut lalu aku sarungkan pada tubuh yang sasa.

Sikat di meja solek aku ambil, namun pergerakkanku terhenti bila lagu techno dah bertukar. Sentap. Apasal iphone aku pusing lagu Aiman- Cinta Terakhir ni, ha?




Kau cinta pertamaku,
Kau cinta terakhirku,
Tiada apa yang bisa,
Menafikan kasih kita..
Kau ayu di mataku,
Satu antara seribu,
Tiada tara di dunia..

Aku tenung wajahku yang terpantul dari cermin kaca. Tiga tahun telah berlalu. Dan aku? Aku masih begini. Aku masih lelaki yang sama. Lelaki yang pernah mencintai dan dicintai oleh teman baik sendiri. Dan akulah lelaki yang pernah berkorban segalanya untuk si cinta hati.

Hanya aku yang mampu melakukan pengorbanan sebesar itu. Pengorbanan yang akhirnya membuatkan aku hilang insan yang aku cintai sepenuh hati. Aku cuba reda, demi kebaikkan insan yang aku sayang, aku terima semua ini sebagai takdir hidupku.
Tapi siapa sangka, perginya dia, diheret bersama hatiku sekali. Dan kini, aku tak punya hati untuk mencintai apatah lagi untuk dicintai oleh insan lain. Bukan niatku untuk terus menyimpan rasa pada si dia yang kini sudah bergelar seorang mama, tetapi aku tak sanggup untuk meminta kembali hatiku dari si dia.

Adakah sesiapa sedar kesakitan yang aku lalui hingga ke hari ini? Kesakitan tatkala melihat si dia tertawa bahagia bersama suami dan anaknya. Kesakitan tatkala melihat kemesraan mereka. Adakah sesiapa yang sedar?

Aku tergelak, pedih. Perit. Sakit. Tak ada. Tak ada sesiapa yang tahu sakit yang aku deritai kerana aku sangat ‘kuat’ di hadapan mereka, sedang hakikatnya? Aku tumbuk dada kiriku sendiri. Sakitnya tu, di sini..!

Kau ayu di mataku
Satu antara seribu
Tiada tara di dunia
Mungkin kan terputus di tengah jalan,
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan,
Usah ragu dengan takdir..
Mungkin kita kan berbeza haluan,
Berakhirnya cerita percintaan,
Segalanya ketentuan Tuhan..


AKU melangkah santai menuruni anak-anak tangga. Tiba di pertengahan tangga, telinga dah menangkap keriuahan anak saudaraku yang sibuk menceceh itu ini. Aku melajukan langkah. Tiba di ruangan dapur, aku lihat Ayien yang berusia setahun lebih sedang duduk di kerusinya sambil mata memerhati ibunya memasak.

Ayien atau nama sebenarnya Qazrin, penyeri semula kehidupan keluargaku setelah pemergian arwah ibu tiga tahun yang lalu. Hadirnya membawa sinar, menyuluh hidup ayah, Qaisara dan aku sendiri. Hampir setahun pemergian arwah ibu, ayah memutuskan untuk tidak lagi memanjangkan usia pertunangan Qaisara dengan Saiful. Bukan ayah yang mahukan pertunangan mereka dilanjutkan tetapi atas permintaan Qaisara yang mahu menghormati pemergian arwah ibu.

Ayah selalu pesan pada Qaisara, pemergian arwah ibu adalah ketentuan Ilahi. Bukan salah sesiapa. Bukan salah Delisha. Bukan juga salah Hunter yang mengugut aku. Tapi pada Qaisara, Delisha tetap orang yang menjadi penyebab kematian arwah ibu. Maka kerana itu, hingga kini Qaisara terus memusuhi Delisha.

Entahlah, susah untuk aku katakan. Siapa aku hendak membetulkan semua tanggapan Qaisara itu? Dia punya perasaan, dia buat apa yang dia rasakan betul. Kesakitan dan kesedihan saat kehilangan arwah ibu, kami yang rasa bersama. Biarpun Delisha rapat dengan arwah ibu, tapi Delisha bukan darah daging arwah ibu, jadi dia tak mampu selami kesakitan kami. Namun, aku tetap berharap, satu hari nanti Qaisara akan terima Delisha semula.

“Abang. Termenung apa?” Teguran Qaisara membawa aku kembali ke alam sebenar. Segaris senyuman aku berikan pada satu-satunya adikku. Dia menggeleng melihat sikapku.

“Ayien..” Aku mengagah Ayien yang sedang meramas biskutnya. Dia mengekek ketawa sambil menghentak-hentak biskutnya.

“Biskut ni macam habis kat tangan dia aje, Sara. Macam tak masuk perut pun.” Ujarku sambil terus melihat tingkah Ayien. Habis hancur separuh dari biskut yang dia pegang. Qaisara tergelak.

“Bukan macam lagi, memang habis kat tangan dia pun. Gigit sikit-sikit lepas tu hancur dibuat gendang.” Jawab Qaisara sambil terus ligat menyusun atur hidangan untuk sarapan pagi. Sejak arwah ibu pergi, Qaisara bertanggungjawab menguruskan makan minum kami di rumah. Mujur waktu itu Qaisara sudah tamat pengajiannya. Dan mujur juga Qaisara dah habis menuntut ilmu rumahtangga dari arwah ibu, dapatlah dia manfaatkan ilmu tu semua.

Aku usap kepala Ayien, dia tersenyum suka. Dalam tak sedar, aku turut tersenyum sama. Bahagianya hidup kalau ada anak sendiri. Tak apalah, tumpang anak orang pun okey apa.
Aku jengah pintu dapur. Mana yang lain?

“Sara, Saiful dengan ayah mana? Tak turun sarapan ke?” Aku jengah jam di tangan pula. Aik, pelik ni. Biasa masa macam inilah kami akan bersarapan bersama.

“Ayah dah keluar pagi-pagi lagi. Sarapan dengan kawan dia. Saiful pula ada meeting dengan ketua dia pagi ni. Tu yang keluar awal.” Qaisara jawab sambil meletakkan teko kopi di hujung meja. Dia terus mengambil tempat duduk dihadapanku.

“Laaaa.. Dah tu, abang breakfast seoranglah ni?”

“Mana pula breakfast seorang. Sara dengan Ayien, kan ada ni teman abang.” Qaisara tersengih bila aku mencebik bibir. Qaisara menuangkan air ke dalam cawanku. Sopan saja tingkahnya. Sama macam arwah ibu. Memang menurun sungguh sikap arwah kepada Qaisara.

“Sara ingatkan, kalau Ayien dah besar sikit, Sara nak kerja dengan abanglah.”
Aku yang sedang menghirup kopi, membeliakkan biji mata. Cepat-cepat cawan aku letakkan pada piringnya. Muka Qaisara aku pandang, mencari kepastian.

“Serius ke Sara? Saiful dah tahu ke?”

Qaisara dengan sopan menyapu jem pada kepingan roti. Air mukanya nampak keruh sedikit.

“Dah tanya, tapi Saiful tak bagi. Dia nak Sara besarkan Ayien. Dia takut kalau Sara hantar Ayien ke nursery.”

“Haa.. betullah tu. Kalau abang pun akan cakap macam tu juga. Tugas seorang ibu tu, kan mendidik anak-anak. Suami pula keluar cari rezeki untuk isteri dan anak-anak.” Sokongku pada pendapat Saiful, suami kepada Qaisara.

Qaisara tarik muka lagi.

“Memanglah, itu Sara tahu. Tapi Sara rasa nak pegang duit sendirilah, bang. Tak sedaplah mengharap duit dari suami. Setidak-tidaknya, Sara tak membebankan Saiful.”

Aku capai donat gula didalam piring. Ngap..! Memang sedap air tangan adik aku sorang ni. Tapi ada satu lauk yang dia buat tak kena dengan tekak aku. Kerabu mangga. Rasa akulah, berpuluh kali juga dia try. Tapi rasanya tetap tak sama macam ‘orang sebelah’ buat. Pernah sekali dia buat kerabu mangga letak tauhu telur. Uhh..! Memang taklah aku nak telan. Tauhu telur atau tauhu jepun tu aje buat aku geli-geleman. Lembik semacam.

“Tak cukup ke nafkah yang Saiful bagi kat Sara tiap bulan?”
Qaisara melepaskan keluhan. Sedih pulak aku tengok muka dia ni.

“Cukup.” Jawab Qaisara antara dengar tak dengar.

“Dah kalau cukup, buat apa nak kerja lagi. Duduk aje rumah, jaga Ayien, temankan ayah. At least, bila Sara ada kat rumah, ayah ada juga teman. Taklah ayah tu terasa sangat arwah ibu tak ada.”
Aku cuit pipi Ayien. Dia terkekek ketawa.

“Kan Ayien, kan? Kesian Ayien kalau ibu kerja, kan? Nanti Ayien kurang kasih sayang. Atuk pula sunyi bila Ayien tak ada kat rumah. Kan, Ayien kan?” Soalku pada Ayien. Dia yang tak tahu apa-apa, terus ketawa dan ketawa.

“Peliklah, Ayien ni asyik ketawa aje. Menangis pun serangkap dua, lepas tu sengih memanjang. Masa Sara mengandungkan dia dulu, Sara selalu tengok Maharaja Lawak Mega ke?” Sumpah, aku memang curious gila. Susah benar nak dengar budak kecil ni menangis. Asyiklah senyum, sengih dan ketawa.
Qaisara tergelak mengekek.

“Bukan sebab Sara tengok MLM la, bang. Tu sebab ikut baka. Tengoklah ibunya, ceria selalu. Tu yang Ayien pun ceria orangnya.”

Ahh, dia dah mula dah nak masuk lif tekan butang sendiri. Malas pula aku nak dengar. Perasan sungguh. Agak dia lupa masa dia mengandung dulu macam mana sebeknya muka dia tu hari-hari? Asyik nak nangis aje tiap kali teringat arwah ibu. Ceria konon.

“Lagi satu, baguslah Ayien ni tak kuat meragam. Taklah susah kalau Sara tinggalkan dia kalau Sara kerja nanti.” Tambah Qaisara lagi.

Aku dah mula tak sedap hati. Kopi aku hirup perlahan. Wajah penuh mengharap Qaisara aku pandang dengan rasa serba tak kena. Kenapa ya, Sara beria nak kerja? Sedangkan kerja Saiful dah cukup untuk menjamin kehidupan mereka anak-beranak. Tinggal pun di rumah ayah, bukan perlukan apa-apa pembiayaan pun. Something fishy here. Ke aku yang terlebih fikir?

Bukan aku nak bolot semua aset ayah kat syarikat tu, tapi aku kenal Qaisara. Dia persis seperti arwah ibu. Sentiasa mendahulukan keluarga. Sebagaimana arwah ibu sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga kami semua, begitulah Qaisara.

Aku tersentak bila tangan Ayien menghentak meja kecilnya. Aku lihat Qaisara sedang leka mengagah Ayien. Jam di dinding aku perhati. Okay, let’s go to work.

Aku hirup kopi hingga habis sebelum briefcase aku bimbit. Dahi Ayien aku cium sekilas. Aku tersenyum bila dia tergelak.

“Pak long pergi kerja dulu, ya.” Aku usap kepalanya sebelum melangkah dari ruang dapur.

“Tengahari balik makan tak, bang?” soal Qaisara sedikit berteriak dari tempatnya memandangkan aku sudah menghampiri pintu rumah.

“Balik, itupun kalau Sara tak masak tauhu jepun lagilah.” Teriakku pula. Sayup-sayup aku terdengar Qaisara tertawa.

Sambil menyarung stokin, aku tersenyum kecil. Sara.. Sara.. Sejak dia tahu tauhu jepun juga dikenali dengan nama tauhu telur tu mampu mencantikkan kulit, hari-hari dia masak lauk tu. Yang peliknya, pandai pula dia variasikan menunya. Tajuk utama haruslah tauhu jepun. Cara masakan? Kejap tauhu jepun masak kicap, tak pun tauhu jepun masak taucu, paling malas pun Qaisara akan masak tauhu jepun masak sup. Aduhaiii.. Kembang tekak. Dahlah lembik. Nak pegang pun aku geli.

Padahal, bukan Qaisara tak tahu resepi membuat tauhu jepun tu berasaskan air kacang soya dan telur saja. Kalau setakat nak cantikkan kulit, boleh aje dia minum air soya tu 3 tangki sehari, aku boleh taja. Tapi entah apa yang Qaisara tu dengki sangat agaknya, sampai satu rumah kena makan tauhu lembik tu.

Tatkala kaki melangkah mendapatkan Hyundai Santa FE Special Edition putih hitamku, aku terpaku seketika melihat pemandangan di rumah sebelah.

Luka yang tak pernah sembuh, terus mengalirkan darahnya. Ya Tuhan, sakitnya melihat kebahagian mereka. Aku tahu niat mereka bukan untuk menunjuk, dah memang hakikatnya mereka bahagia. Cuma aku saja yang masih tak mampu menerima semua ini. Betul, aku bahagia melihat Delisha bahagia, tapi disatu sudut kecil hati ni, terbit jua rasa iri.

Setiap kali melihat dia mengucup tangan suaminya, hati aku menangis. Setiap kali melihat sang suami mengucup dahi isterinya, hati aku tercalar. Setiap kali melihat sang suami mengucup pipi puteri kesayangan mereka, hati aku terluka. Dan setiap kali mereka tertawa ceria, hati aku berkecai.. lagi.

Bahagiamu, deritaku…

Aku berpaling untuk masuk ke dalam kereta, namun pergerakanku terhenti bila namaku diseru. Kembali aku menoleh ke rumah sebelah.

Aku lihat Delisha tersenyum nipis bersama Izz Dania Delaila di dalam dukungannya. Anak kecil yang hampir seusia dengan Ayien.

“Qai, I’m off to Bandung for a few days. Really need your favour. Do you mind?” Bicara DR yang sangat jarang aku dengar lenggoknya. Sentiasa tegak, terserlah kredibilitinya sebagai ketua. Terus terang aku cakap, aku memang admire cara DR menguruskan empire dan pekerjanya. Tegas dan nampak sempurna. Aku lihat dia melangkah ke rumahku, aku menanti dia di tempat aku berdiri.

“Tolong macam mana?” soalku saat kami sudah bersua muka. Tak mungkin dia nak suruh aku tolong tengokkan isteri dia. Tu namanya sengaja nak ‘mengakal’ aku. Macamlah dia tak tahu aku masih tak boleh lupakan isteri dia tu. Memanglah aku tak pernah cakap secara terangan, tapi ikut logiklah, kan. 

Bertahun kot kita orang berkawan, isteri dia tu cinta pertama aku tau. Takkanlah semudah tu aku nak lupakan dia. Kan? Kalau aku senang nak lupakan dia, tak adalah aku membujang sampai sekarang.
Sekali lagi aku tekankan, bukan aku tak reda dengan apa yang berlaku selama ni. Bukan juga aku tak ikhlas melepaskan Delisha pergi. Tapi bila bercakap tentang cinta, hati dan perasaan, semuanya jadi subjektif. Jatuh cinta bukan pilihan aku. Putus cinta juga bukan kehendak aku. Semuanya dah tertulis. Tapi untuk melupakan cinta yang dah pergi tu, biarlah masa yang menentukan.

“My lil’ brother on his way nak ke Malaysia. Should be land before lunch hour. Aku nak minta tolong kau ambilkan dia kat airport. Boleh ke? Nak ikutkan memang sempat kalau nak pick up dia, tapi pagi ni aku ada board meeting.”

Aku berkerut dahi. Mata aku larikan ke luar pagar. Tu.. kat seberang jalan tu bukan kereta pengawal peribadi dia ke? Apahal aku pula yang kena jadi driver adik dia? Der, aku banyak kerja kot. Tahulah empire kau lagi besar dari syarikat ayah aku, asset kau lagi banyak dari asset ayah aku, pengaruh kau lagi meluas dari pengaruh ayah aku, tapi takkan sampai nak meng‘kuli’kan aku sekali.
Sedar ke mana arah anak mataku, DR tersenyum nipis.

“Hans dengan Mok ada hal lain nak settle. Kau tak free ke?”

Aduhai.. Aku ni memang boleh ngam dengan DR, tapi disebabkan mood aku pagi ni tak sampai lagi, tambah pula pagi-pagi dah sakit hati tengok insan tersayang sedang berbahagia, memanglah aku malas nak bertanya itu ini dengan DR.

Sekilas, aku tertoleh ke rumah sebelah. Delisha masih disitu melihat gelagat kami. Dia senyum. Aku kenal senyum tu. Senyum serba salah.

Untuk kali keduanya DR perasan ke mana anak mataku pergi, dia menepuk bahuku perlahan. Membawa kembali aku kepadanya.

“She can’t drive at this moment, Qai. Aku tak benarkan.” Ujar DR.
Aku berkerut dahi sekali lagi.

“Apahal? Takkan dia race lagi kot.” Cuak, macam mana pun aku tetap prihatin terhadap Delisha. Diakan darling aku, dulu, kini dan selamanya.

DR tergelak kecil. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket. Dia berdiri santai.

“Laila nak dapat adik.”

Zappp..!!

Terhenti seketika degupan jantungku. Laila nak dapat adik. Laila nak dapat adik. Bila Laila nak dapat adik, maknanya mama Laila sekarang sedang mengandung. Delisha tengah mengandung. Anak kedua. Ya Allah.. Sekali lagi anak yang Delisha kandungkan bukan anakku.

Come on Qai, get up!! Dah tentu DR suami Delisha, siapa lagi yang patut jadi ayah kepada anak yang Delisha kandungkan tu? Face the fact lah, Qai!!

Aku hembus nafas dalam. Kenyataan itu memang sesuatu yang menyakitkan.
Aku kalih mata pada jam di tangan.

“I’m off. Just call me half an hour before your brother landed. I’ll pick him up. Aku gerak dulu.” Sebelum terkesan sebarang riak yang kurang menyenangkan diwajahku, baik aku mengundur diri dulu.

Sebelum aku masuk ke dalam kereta, sempat aku toleh ke rumah sebelah. Riak diwajah Delisha mula mendung.

Maaf Del, ada ketikanya kau takkan mampu faham apa itu derita cinta. Dan ada ketikanya kau takkan mampu menyelami isi hati aku. Kau tahu aku kuat, tapi kau tak pernah tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Bila kau terus mengecap bahagia, sedikit demi sedikit kekuatan aku hilang. Kerana apa? Kerana kaulah kekuatan aku selama ni.

Tuesday, September 26, 2017

QAISER (Prolog)

Alhamdulillah. Lepas beberapa tahun dengan projek SEQUEL DIA PUNCHING BAGKU ni, akhirnya muncul juga QAISER versi cetak ni..


Disebabkan tamparan hebat yg diterima oleh Qaiser dari Dia Punching Bagku, lahirlah QAISER ni.. Jadi, pada yg nak tahu apa yg jd kat abang Qaiser kita ni, bolehlah dapatkan nover QAISER versi cetak dari saya sendiri. boleh direct PM sy di FB http://www.facebook.com/miss.amaryllis.1990

Untuk yang nak tahu bab-bab awal QAISER, boleh baca di blog ni ya..
Saya akan update hingga bab 10 :)




PROLOG




“IS, mintak tolong awak update kat saya pasal Del ya. Saya nak ke bilik mayat sekejap. Uruskan jenazah Zuria. Malam ni juga nak kena terbangkan ke Brunei. Boleh ke?” Aku diam mendengar bicara antara DR dan Is.

“Boleh. Apa-apa nanti saya bagitau, ya. Awak uruskanlah apa yang perlu. Lagipun ramai kat sini yang boleh tunggu Del.”

Ya, memang ramai. Ternyata, insan yang berada di dalam dewan bedah tatkala ini sangat disayangi oleh ramai orang. Keluarganya, suaminya juga teman-teman baiknya. Dari petang tadi sejak Delisha dikejarkan ke wad kecemasan sampai hari dah pun menjelang subuh, kami masih lagi di sini menunggu tanpa lelah.

“Kalau macam tu, saya gerak dulu.”

“Qai..” Panggil DR. Aku menoleh perlahan. Dia menepuk lembut bahuku.

“Kita doakan yang terbaik untuk Del, ya? Aku tahu kau kuat. Jangan down macam ni.” Pesan DR. Aku diam saja. Kenapa? Sebab DR tak tahu perasaan aku berkecamuk tika ini. Bila aku tetap membatukan diri, DR terus mengatur langkah berlalu.

“Stay strong, Qai.” Pujuk Ken bila aku terus-terusan menyepi.

“Aku takut Del pergi jauh..” Apa khabar Delisha di dalam bilik pembedahan tu? Semoga kau kuat, Del. Maafkan aku sebab tak sempat nak lindungi kau dari Hunter tu. Maafkan aku..

“InsyaAllah, Del okey. Kau jangan macam ni. Risau kita orang tengok.” tambah Dura dengan sendu yang cuba dikawal.

“Kau dari petang semalam tunggu Del, Qai. Jangan kata makan, minum pun kau tak nak. Kau tak lapar ke?” soal Aniq mencelah. Aku diam. Lapar? Aku langsung tak terfikir nak makan. Sikit pun aku tak rasa lapar. Aku terus menyandar lesu di kerusi yang sama sejak petang semalam. Aku risau bila dia masih belum melepasi tahap kritikal lagi.

“Qai..” panggil Is. Aku mengalihkan mata pada huluran tangannya. Ada sepucuk surat bersampul kemas. Teragak-agak aku mencapai surat tersebut. Teman-teman yang berada di sisiku, mula merapat.

“Aku jumpa kat dalam beg Del tadi. Kat sampul tu ada nama kau. Aku rasa kau patut baca. Mungkin ada benda dia nak sampaikan.”

Dengan lafaz Bismillah, aku keluarkan sepucuk surat dari sampulnya.


Buat insan bernama Qaiser,

Utk pertama dan terakhirnya, aku hanya nak ucapkan TERIMA KASIH. Terima kasih atas segala-galanya yang pernah kita lalui bersama. Rasanya tak mampu utk aku kira satu-persatu tetapi yang masih segar dalam ingatan aku adalah:



Saat aku malas nak belajar padahal esok aku tahu ada exam. Sebab dalam kepala aku, kau mesti boleh jawab, jd kau kena bagi jawapan kat aku. Dan ya, kau takkan pernah biarkan kertas soalan aku kosong tanpa jawapan sampaikan kadang2 kau boleh ambil kertas soalan aku dan kau yang jawab kan utk aku sebab kau cakap aku salin jawapan lambat macam kura-kura. Terima kasih Qai, kalau tak mesti result percubaan PMR aku drop.

Dan saat aku kena marah dengan Damy sebab aku suka melawan cakap abah dan mama. Kenapa aku terima kasih kat kau? Sebab kau yang ketuk kepala aku masa tu sebab masa tu aku terfikir nak terjun kat tasik, konon nak bunuh diri. Tapi percaya atau tak, itu adalah saat paling aku tak boleh lupakan. Muka kau marah buat aku nak nangis dalam masa yang sama aku rasa terharu sebab aku tahu kau marah aku sebab kau sayang aku. Terima kasih sebab sedarkan aku yang bunuh diri tu haram dalam Islam, kalau tak entah-entah aku dah tak ada sekarang ni.

Dan lagi, saat aku kena kejar dengan Ejoi. Budak nerd yang kononnya nerd padahal gila seks. Aku ingat lagi, aku tampar muka dia sebab dia pegang pinggang aku. Bila cikgu marah aku, kau aje yang percaya apa yang aku cakap padahal orang lain tuduh aku nak cari publisiti. Dan aku ucapkan terima kasih sebab kau sudi follow aku dari jauh lepas kita balik dari tuisyen SPM, kalau tak aku pun tak tahu sama ada aku kena rogol dengan Ejoi atau Ejoi mati kena Tae Kwan Do dengan aku.

Sebenarnya, terlalu banyak terima kasih yang perlu aku ucapkan tetapi biarlah aku ringkaskan sepadat yang mampu. Qai, terima kaish kerana sentiasa memahami keadaan aku. Memahami aku dari sekecil-kecil perkara hingga yang besar-besar belaka. Terima kasih untuk semua pengorbanan kau pada aku. pengorbanan yang pada mulanya aku anggap sesuatu yang bodoh hinggalah pemergian arwah ibu, baru aku tahu betapa besarnya pengorbanan kau itu.


Terima kasih kerana sentiasa ada bersama aku, tak kira apa waktu pun. Kau tak pernah miss setiap kali aku perlukan kau. Qai, aku tak pernah mengharapkan kita terpisah begini kerana apa yang aku bayangkan, kita akan mengharungi semua dugaan dan cabaran ini hingga ke akhir usia tetapi siapa sangka percaturan dan perancangan Allah yang mengambil alih setiap rancangan kita? Aku tahu kau juga sakit, kau juga jatuh, tetapi aku juga tahu kau kuat. Dan aku akan terus berdoa supaya Allah akan terus bekalkan kekuatan padakau.

Qai, sampai ke hari ni, aku tetap takkan lupa apa yang kau pernah buat untuk aku. Terlalu banyak. YA Tuhan, andai aku mampu luahkan semuanya. Aku rindu saat kita berbuaian bersama, saat kita bermandi hujan hingga lupa dunia, saat kita bergelak ketawa hingga lupa semua masalah yang melanda, dan saat kita berduka hingga mengalirkan airmata. Banyak, terlalu banyak.

Qai, saat coretan ini dicoret, ketahuilah bahawa aku akan melepaskan semua perasaan kasih aku pada kau sebagai seorang kekasih juga sebagai bekas tunanganku. Bukan kerana aku tak menghargai perasaan ini tetapi aku tahu DR lebih berhak memilikinya dan aku rasa cukuplah aku mencurangi DR dengan mengingati setiap memori saat kita berkasih.

Apa yang aku harapkan agar persahabatan kita takkan berakhir sampai disini. Kita tak pernah mencipta pertalian persahabatan kerana ianya datang tanpa disedari. Biarpun kita bergaduh, kita bertekak kita bertumbuk, tapi sudah suratan kita menjadi sahabat. Begitu juga dengan ikatan kasih sayang, tak pernah kita sengaja mencipta tetapi mungkin kerana usia yang semakin meningkat membuatkan kita sedar tiada persahabatan yang suci antara lelaki dan perempuan. Tentu akan dicemari dengan perasaan cinta. Itulah kita.



Qai, ketahuilah bahwa aku tak pernah menyesal kerana pernah menyayangi kau kerana menyintai kau adalah sesuatu yang indah dan itulah yang akan bakal bidadari kau rasa suatu hari nanti. Buat Qaiser Khaizuran, mulai hari ini, aku lepaskan kau pergi dari hati aku. Andai cinta kita suci, aku akan terus berdoa supaya kita dipertemukan di Syurga Allah kelak.

Salam kasih, Nurul Delisha Armani Darsuki.


Aku genggam erat warkah dari insan yang aku terlalu kasihi. Tubir mata yang memberat membuatkan aku sedar betapa sakitnya pengorbanan yang aku sedang lalui. Del..

“Arghhh..!!” Aku menjerit, tak hiraukan jururawat dan kakitangan hospital yang lalu-lalang. Sakitnya, Ya Allah. Kenapa duga aku macam ni? Kenapa aku? Kenapa?

“Qai.. Astaghfirullahalazim.. Istighfar Qai. Bawa mengucap.” Nyata Is dan teman-temanku terkejut dengan tingkahku yang tiba-tiba itu.

Memang aku yang sanggup buat pengorbanan ni semua, tapi kenapa bila surat ni sampai pada aku, aku jadi menyesal? Memang aku nak beri yang terbaik pada Delisha, tapi kenapa sekarang aku tak redha? Kenapa aku tukar tempat aku dengan DR? Ya Allah, ikhlaskanlah hati ini.

“Kenapa aku? Kenapa Allah uji aku macam ni? Aku dah hilang ibu aku, sekarang Del pula. Aku tak kuat, Is. Aku nak Del.” Dan di situ, buat pertama kalinya aku meraung di hadapan teman-temanku. Kutuklah aku lelaki lemah, katalah aku bacul sekalipun, aku tak peduli. Hakikatnya, tak siapa mampu mengerti apa yang aku alami ini.

Sepi. Sepi buat seketika hinggalah aku terdengar Dura mula mengongoi kuat. Ken pula mengeluh kesal. Aniq menahan tangis.


“Qai..” Dura terus mendapatkan aku bersama tangisannya. Kepalanya dijatuhkan pada bahuku. Tersedu di situ.

“Apa kita dah buat pada Del, Qai? Aku takut Del pergi..” Dura mengongoi sayu. Bicaranya menambahkan kesal dihatiku. Ya Allah..

Aniq yang menyandar di dinding sejak tadi, terus melorotkan badannya hingga terduduk lemah di situ. Dia meraup kasar rambutnya.

“Kita yang salah. Kita tak patut biarkan Del hadap benda ni sendiri. Ya Allah, kenapa kita kejam sangat pada Del?”

“Jangan macam ni, guys. Jangan jadi lemah macam ni. Del perlukan sokongan kita. Berhenti salahkan diri kau orang sendiri. Ujian. Semua ni ujian. Allah tengah uji kita semua. Sabarlah.”

Is yang masih positif terus memberikan kata-kata semangatnya. Kau takkan faham perasaan aku, Is. Malah takkan ada yang faham perasaan aku sekarang ni. Rasa kecewa, sedih, sebak dan menyesal bila baca surat dari Delisha tu. Dan aku rasa bersalah sebab aku tak mampu nak selamatkan Delisha macam selalu. Sebunya hati aku. Senaknya perasaan aku. 

Aku menggeleng lemah.
“Aku ingatkan aku dah ikhlas, dah reda dengan semua yang berlaku ni. Rupanya tak. Bila baca surat ni, buat aku rasa akulah lelaki paling bodoh yang sanggup serahkan tunang sendiri pada orang lain. Lelaki jenis apa aku ni?” Aku raup wajah. Sekilas, aku terbayang wajah Delisha sedang tersenyum. Allah, aku rindukan dia.

“Qai.. Sabarlah.” Is menambah lagi.

“Aku tak nak kehilangan dia, Is. Aku takut. Ya Allah.. Aku tak cukup kuat nak hadapi satu lagi kehilangan. Del..” Aku tersandar lemah.

Ya Allah, berikanlah Delisha kekuatan melawan kesakitannya Ya Allah. Kau selamatkan dia YA Allah. Aku tak sanggup kehilangan dia buat selamanya Ya Allah. Cukuplah aku kehilangan dia sebagai permaisuri hidupku, jangan Kau ambil dia dari kami semua Ya Allah. Sesungguhnya, aku sayangkan dia Ya Allah.

Aku sayangkan kau, Del. Biarlah aku sakit melihat kau bahagia bersama DR, aku terima. Asal saja kau terus ada di antara kami semua. Asal saja kau terus tersenyum bersama kami. Kuatlah untuk kami, Del. Untuk kami semua.

Ya Allah, ikhlaskan hati aku Ya Allah. Jadikan aku insan yang reda dengan ketentuanMu Ya Allah. Jangan biarkan aku alpa dengan dugaan yang Kau berikan ini Ya Allah. Andai aku tak mampu ikhlaskan hati ni, Kau berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.

Kami semua tersentak tatkala pintu dewan bedah dibuka dari dalam. Sepantas kilat kami menyerbu ke arah doktor tersebut. Kebetulan mama dan abah pun tiba setelah kembali dari kafe.

“Macam mana dengan anak kami, doktor?” soal abah.

“Alhamdulillah, pendarahan di kepala pesakit dah berhenti. Pesakit kehilangan banyak darah tapi syukur Allah permudahkan, abang kepada pesakit rela hati dermakan darah untuk pesakit. Mujur juga doktor Danish ada tadi. Cumanya, lepas pembedahan ni pesakit mungkin akan sedar selepas 48 jam paling lambat. Tapi ikut semangat pesakit juga, insyaAllah kalau kita kat sekeliling pesakit tak berhenti bagi semangat, cepatlah pesakit sedar.”

“Macam mana dengan luka yang lain, doktor? Dan anak-anak kami yang derma darah tu tak ada apa-apa, kan?” soal mama pula. Doktor bertudung itu manis melemparkan senyuman.

“Luka-luka yang lain tu tak ada yang teruk. InsyaAllah, a few days ni eloklah luka dan lebam tu. Nasib baik juga tak ada anggota yang patah. Macam mana pun, kita tunggu perkembangan pesakit dalam masa 48 jam ni. Kejap lagi kami akan hantar pesakit di wad ICU untuk pemantauan hingga pesakit sedar, ya. Oh ya, anak-anak puan yang lain semua okey. Dia orang tengah rehat sebab agak banyak juga darah yang kami ambil. Mujur juga darah abang-abang pesakit sesuai. ”

Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih kerana mendengar dan memakbulkan permintaan hamba-hambaMu ini.


BUAT kesekian kalinya, wajah lesu itu aku tatap lagi tanpa jemu. Setiap hari, tak pernah sekali pun aku terlupa untuk melawat insan yang aku sayangi ini. Meski dia tak mampu membalas senyumanku, tak mengapa. Asal saja aku tahu dia masih mampu mendengar bisikanku. Dan asal saja dia masih mahu bertarung untuk meneruskan hidupnya.

Hari ini, masuk sudah minggu kedua Delisha koma. Ya, dia koma selepas 48 jam masih tidak sedarkan diri. Menurut kata doktor, pesakit sepatutnya sudah sedar memandangkan degupan jantungnya normal dan pendarahan di kepalanya sudah semakin pulih. Tapi hingga kini Delisha masih tak mahu membuka matanya.

Tambah doktor lagi, Delisha masih belum kuat untuk sedar mungkin akibat trauma atas apa yang berlaku sebelum dia kemalangan. Kami dinasihatkan untuk terus membisikkan kata-kata semangat kepadanya. Dan itulah yang aku lakukan setiap hari.

Sementelah, DR sendiri mengizinkan aku untuk melawat Delisha kerana menurut DR, aku adalah pemangkin semangat buat Delisha dari zaman kanak-kanak hinggalah sekarang. Alhamdulillah, mujur juga DR tak halang aku untuk bertemu dengan Delisha.

Entah kenapa, sejak beberapa hari ni, semangat aku kian merundum. Setiap kali aku menatap Delisha, tubir mata aku mula memberat. Tatkala air mata ingin mengalir, pantas saja aku membawa langkah kaki keluar dari wad. Aku tak mahu menangis di hadapan Delisha. Aku mahu terus kuat untuk Delisha dan untuk mereka di sekelilingku.

“Qai..” Tepukan di bahu kiriku membawa aku kembali ke alam realiti. DR di sisi aku toleh. Dia tersenyum nipis. Nampak sayu.

“Tak salah kalau kau tunjukkan airmata kau tu. Bukan sebab kau kalah,tapi sebab kau luahkan apa yang ada dalam hati kau.” Pujuk DR.

Aku tarik nafas dalam. Aku akan menangis, tapi mungkin bukan hari ni.


LANGKAH aku lajukan bila aku yang baru tiba di lobi hospital ternampak mama dan abah berjalan cemas menuju ke wad Delisha. Kenapa? Apa dah jadi pada Delisha? Delisha okey, kan? Dia tak apa-apa, kan? Laju langkahku, laju lagi degupan jantungku. Hati tak berhenti berdoa, mengharapkan Delisha baik-baik saja walaupun terdetik ada perkara buruk telah berlaku.

“Qai..!!” Teriak Danish dari arah lain. Dia berlari mendapatkan aku yang sudah berdiri di hadapan pintu wad.

“Apa dah jadi? Kenapa mama dengan abah kelam-kabut? Del okey, kan? Cakaplah Dany, apa dah jadi dengan Del?” Tolonglah.. Tolonglah.. Aku tak nak dengar yang Delisha dah tiada. Aku tak nak dengar yang dia dah meninggal. Aku tak nak kehilangan dia. Tolonglah..

“Del dah sedar.”

Aku terkaku seketika sebelum aku terduduk di atas lantai bersama tangisan kegembiraan yang terhambur.

“Ya Allah.. Ya Allah.. Syukur Ya Allah. Terima kasih Ya Allah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..” Tanpa aku sedar, air mata yang aku simpan selama ni adalah untuk aku luahkan di saat aku mendapat berita gembira. Tanpa segan-silu, aku menangis di hadapan Danish dan DR yang baru juga tiba. Kegembiraan yang tak mampu aku luahkan dengan kata-kata.

Sempat aku melakukan sujud syukur sebelum aku melawat Delisha. Tatkala aku bertatapan mata dengan Delisha, tertumpah jua air mata kami. Banyak yang ingin kami luahkan tapi hanya renungan mata saja yang mampu berbicara.

Terima kasih YA Allah kerana Kau kembalikan cahaya kegembiraan buat kami. Aku sayang kau Del, sampai bila-bila. Kau tetap Del Darling aku selamanya walaupun kau bukan milik aku.

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post