Wednesday, May 27, 2020

Friendship Goals (Bab 2)




Bab 2



“KAU nak pergi mana, Zayn?” Suara Fateh kedengaran melaung. Kedudukannya yang paling belakang di dalam kelompok mereka bertujuh, membuatkan dia terpaksa melaung. Tak peduli pada Marissa dan Aira yang bertindak menutup telinga, juga pada jelingan Rayhana yang setajam pisau tu.

            Zayn yang dah semakin ke depan dengan langkah yang agak laju tu, sikit pun tak mahu menoleh. Dara yang melihat, mencebik dalam diam. Ikut kepala dia aje.

            “Weh, kau pekak ke? Woii, Zayn!” Rayhana yang terkenal dengan gaya brutalnya, melaung kuat. Lebih kuat dari suara Fateh tadi. Lengan baju kurung putihnya disinsing, gaya macam nak pergi serang Zayn tu.

            “Ray, Mar. Panggillah malaun tu. Korang, kan pengawas. Kotlah dia nak dengar cakap korang.” Aju Fateh pada Marissa dan Rayhan yang kini dah memegang jawatan sebagai pengawas.

            “Macamlah dia pernah dengar cakap orang selama ni.” Gumam Rayhana, membebel sebal dengan sikap Zayn tu.

            Tak sempat Rayhan dan Marissa nak panggil budak rambut perang tu, dia dah hilang di sebalik corner bangunan pengurusan. Lepas tu, maisng-masing merungut. Dara tergeleng, tak faham dengan sikap Zayn.

            Zayn tu okey. Betul dia okey. Dia tak kacau orang, dia tak menyusahkan orang dan dia tak bergantung pada orang. Tapi dalam Zayn tak sedar, sikap itulah yang buat ahli kumpulan mereka tertekan. Paling tak, mereka bertujuh nak juga belajar berkawan tapi Zayn? Dia tak pernah bercerita tentang diri dia pada sesiapa, dia belajar juga sendiri, ke mana pun dia nak pergi dia akan pergi sendiri. Pendek kata, apa dia nak buat, dia ikut kepala dia aje. Sedangkan mereka berlapan sepatutnya sentiasa bersatu, bersama.


            Dah dua bulan kumpulan mereka dibentuk dan dah hampir lima kali kumpulan mereka dipanggil menghadap Madam Salmah dan pengetua. Ya, pengetua. Semua gara-gara mereka tak ikut arahan Madam Salmah untuk bergerak bersama-sama. Bila Madam Salmah tegur, masih juga tak menunjukkan perubahan, terus mereka dibawa menghadap pengetua.

            Kalau nak diikutkan, masalah interaksi antara pelajar sekelas ni bukanlah besar mana isunya tapi disebabkan sekolah tersebut merupakan sekolah elit, pengetua tak nak disebabkan masalah komunikasi, peratus kecemerlangan sekolah menurun. Dan sekarang, kumpulan mereka dah jadi terkenal. Ya, terima kasih pada Zayn untuk populariti murahan itu sebab dia yang paling tak beri apa-apa kerjasama dalam kumpulan. Dia yang selalu hilang tiba-tiba, meninggalkan kumpulan. Waktu prep pun kadang tak muncul.

            Mereka bertujuh masih meneruskan langkah, menuju ke kelas yang terletak di bangunan paling belakang. Loceng tanda tamatnya waktu rehat, baru saja berdering sewaktu mereka selesai menikmati makanan di kantin. Dara beriringan dengan Aira. Marissa dan Rayhana pula di belakang mereka berdua. Rayhan, Fateh dan Yusri beriringan bertiga dibarisan paling belakang.

“Zayn tu, apa masalah dia sebenarnya?” Marissa menyoal, nada jelas tak puas hati.

Marissa, kalau dilihat dari gayanya yang suka berpeluk tubuh dan wajah yang selalu ketat itu, siapa pun boleh agak karakternya. Ya, dia tegas. Dia tak garang, cuma tegas. Contoh seorang pemimpin yang berkaliber dan nampak sangat yakin pada diri sendiri. Tak pernah lagi mereka nampak Marissa senyum atau ketawa. Itu juga antara sebab kenapa mereka takut nak cakap banyak.

“Spoiled brat.” Cemuh Rayhana.

Rayhana bukan saja brutal dengan gayanya, tapi mulut pun boleh tahan lantang. Dia akan cakap apa saja yang dia mahu tanpa berfikir tentang perasaan orang. Bahasanya kadang agak kasar. Kalau dia tak suka, dia cakap terus. Macam waktu makan di kantin awal persekolahan hari tu, selamba aje dia marah mak cik kantin sebab letak tauge dalam mee goreng dia. Tapi dia akan senyap bila tak ada benda yang nak dimaki atau dicarutkan. Sangat kontra dengan abang kembarnya.

            “Dara, kau dah lama kenal Zayn, kan?” Fateh mencelah dan tiba-tiba semua macam tercengang. Dara menoleh pada teman-temannya dengan muka serba tak kena.

Antara mereka berlapan, Fateh paling ringan mulut. Ada saja benda yang nak diceritakan pada teman sekumpulan walaupun ceritanya langsung tak dilayan. Nasib juga Dara dan Aira rajin mendengar walaupun tak ada respond, itupun dah buat Fateh makin bersemangat untuk bercerita. Dia juga antara yang paling happy go lucky, apa pun boleh jadi bahan lawak pada dia.

            “Aku? Ndaklah. Baru seja aku kenal dia di sini.”

            Dara pula bukan pendiam orangnya cuma dia agak kekok dengan slang Sabah dan bahasanya yang agak baku tu. Selalu dia perasan, setiap kali dia bercakap, dahi kawan-kawannya pasti akan berkerut. Try hard kot nak faham apa yang dia cuba sampaikan. Boleh kalau Dara nak berslang semenanjung sebenarnya sebab ayahnya yang memang asal dari Kuala Selangor. Ayah pun guna slang semenanjung dengan dia dan adik-adik cumanya, dia belum biasa lagi.

            Fateh dari belakang tiba-tiba berlari ke depan Dara. Wajah Dara dipandang dekat-dekat. Terhenti sekejap langkah Dara bila laluannya dihadang.

            “Err.. Kenapa?” Cuak Dara bertanya. Sempat dia menoleh pada Aira di sebelah, tapi Aira hanya fokus pada Fateh dengan muka peliknya.

            Aira, si lembut dan paling berat mulut. Hanya akan bercakap bila ada keperluan dan cakap-cakapnya tentulah bukan cakap kosong semata. Sejenis yang suka memerhati, mungkin itu cara dia mengenali orang-orang di sekelilingnya. Tapi dia tak sombong, murah dengan senyuman, seperti Dara. Aira antara orang yang paling Fateh suka usik selain Dara.

            “Ye ke baru kenal? Sebab masa mula-mula masuk sekolah hari tu, aku selalu perasan kau pandang dia.” Tekan Fateh. Betul, dia selalu nampak Dara pandang Zayn dan mengharap Zayn juga turut memandangnya.

            “Lah, pandang pun jadi isu ke?” Rayhana mencelah.

            “Tak, bukan pandang macam aku pandang kau. Aku selalu perasan Dara bagi isyarat mata kat Zayn, tapi Zayn tak pernah balas. Takkan baru jumpa dah boleh main mata kot.” Sela Fateh, menguatkan lagi bukti.

            “Mungkin Dara dah bertemu dengan Udanya.” Celah Yusri.

            Yusri pula karekternya macam yang selalu dilihat dalam filem-filem antarabangsa. Tak, bukan watak hero tapi watak budak skema yang ke hulu ke hilirnya bersama buku dan setiap kali bercakap, hanyalah fakta yang dipetik dari buku rujukan saja yang keluar dari mulutnya. Dia paling minat dengan subjek sastera dan setiap kali dia berfalsafah, satu kumpulan terus angkat kaki. Watak skema sebegini memang akan menjadi mangsa buli, dan itulah yang mereka lihat setiap hari. Ada saja makhluk yang datang nak membuli Yusri tu.

            Masing-masing toleh pada Yusri dengan pandangan geli. Tak payah nak uda dan dara sangatlah, SPM pun belum lepas.

            “Tidak. Se.. Sebe.”

            “Sorry menambah, tapi aku pun ada bukti lain. Semalam lepas prefect meeting kat ofis, aku nampak Dara tengah cakap kat telefon. Lepas tu tak lama, aku nampak Dara pass telefon tu pada Zayn. Bukankah tu bermakna yang korang bercakap dengan orang yang sama?” Rayhan yang sejak tadi mendengar, turut mencelah dengan buktinya pula.

            Rayhan, tak ubah macam klon pada Marissa. Cuma jantina saja yang membezakan mereka berdua. Tegas, serius dan tak banyak cakap. Tak peliklah kalau dia dilantik jadi pengawas. Tapi tegas-tegas dia pun, tetap juga tak mampu nak ‘mendidik’ Zayn.

            Tap! Fateh petik jari depan muka Dara. Muka bersinar terang.

            “Korang dah lama couple, eh?” Tebak Fateh.

            “Teori tu macam agak mustahil sebab Dara baru pindah dari Sabah. Zayn pula asal semenanjung. Tahu tak berapa jarak Sabah dengan semenanjung Malaysia? Kalau dikira mengi.. kut.. err..” Jari-jemari yang baru nak dikembangkan untuk mengira jarak Sabah dan Semenanjung kembali kuncup bila Yusri baru sedar teman-temannya semua dah bertebaran berlari meninggalkannya. Kenapa? Dia salah cakap lagi ke?




FIGURA lapan orang pelajar di hadapannya dipandang satu-persatu. Hairan Madam Salmah, gaya mereka berlapan ni, macam tak terkesan langsung. Macam tak takut kena menghadap guru kelas. Muka tenang aje. Cuma ada sesekali dia terperasan pelajar-pelajarnya tu menjeling pada Zayn yang terus santai menyeluk saku.

            Hari ini sekali lagi dia terpaksa memanggil kelapan-lapan pelajar tersebut bila dia lihat tiada perubahan dari segi komunikasi mereka sekumpulan. Pelik, satu lagi kumpulan dah dilihat semakin akrab dan semakin aktif di dalam kelas. Tapi kumpulan yang satu ni.. Apa sebenarnya masalah mereka?

            “Cuba awak semua bagitau saya, awak ada apa-apa masalah untuk berkawan atau berkomunikasi ke?” Dia sendiri tak pasti, soalan tu dah diaju berapa kali hingga ke hari ini.

            Sepi.

            “Rayhan, ada apa-apa yang awak nak beritahu pada saya?” Madam Salmah kalih pada Rayhan yang berdiri di sebelah Zayn.

            Rayhan pandang gurunya sesaat sebelum dia menoleh pada Zayn dengan renungan tajamnya. Zayn sebaliknya hanya merenung kaki sendiri yang sedang menguis bulu karpet.

            “Zayn?” Madam Salmah menyeru pula pada Zayn, nalurinya kuat mengatakan masalah tersebut berpunca dari pelajar kacukan melayu-rusia itu.

            Zayn angkat muka, pandang gurunya.

            “Apa masalah awak?”

            “Cikgu nampak saya macam ada masalah ke?” balas Zayn, tak mengerti. Kenapa nama dia yang diseru pula? Sebab teman-teman yang lain menjeling pada dia, jadi Madam Salmah anggap dia yang menjadi punca masalah. Macam tu?

            Madam Salmah bangkit dari duduknya. Kaki melangkah ke tengah ruang pejabat sebelum dia bersandar pada hujung meja kerjanya, merenung wajah kacuk melayu-rusia itu dengan lebih dekat. Anak mata kebiruan itu memukau.

            “Awak ada bagi masalah pada kawan-kawan kumpulan awak?” Madam Salmah balas dengan soalan.

            Zayn picing mata. Tak puas hati gayanya.

            “Seingat saya, saya tak pernah bagi masalah pada diorang ataupun pada sesiapa. Saya belajar guna akal saya, berjalan guna kaki saya, makan guna mulut saya, studi sampai lewat malam guna mata saya, tak pergi prep tu atas kehendak saya. Jadi kat mana cikgu rasa yang saya ada bagi masalah pada diorang?” Buat pertama kalinya Zayn mampu berkata lebih dari sekadar tiga perkatan selain dari waktu pembelajaran. Mendalam bunyinya.


            Sentak, teman-teman yang lain pantas menoleh pada Zayn di hujung barisan. Begitu juga dengan Madam Salmah. Impressive. Selama ni mereka fikir, Zayn tak fasih berbahasa melayu. Yalah, muka level antarabangsa. Sekali cakap panjang lebar, ha.. Masing-masing ternganga.

            “Eh, kau tak payah bagi masalahlah, Zayn. Kau duduk dalam kumpulan ni je pun kitorang dah cukup bermasalah.” Bentak Rayhana. Lama sangat dah dia simpan rasa tak puas hati pada Zayn tu. Harap muka kacak, tapi spoiled.

            Buat pertama kalinya Zayn menentang tajam renungan Rayhana. Wajah lelaki itu beku tak beremosi, tapi entah kenapa Dara yang melihat seakan dapat mengagak lelaki itu sedang marah.

            “Aku yang nak sangat masuk dalam grup ni ke?” balas Zayn. Nadanya perlahan tapi rahangnya nampak saling bergeseran.

            “Kita semua tak nak masuk dalam grup ni, tapi kita semua tahu madam buat macam ni bersebab. Aku, kau dan kita semua patutnya bersama-sama, break the ice. Bukan buat benda ikut kepala kau je.” Marisa pula mencelah dengan nada tegasnya.

            Seketika, Zayn tersenyum herot. Sinis dan mengejek.

            “Break the ice? Like.. seriously? Okey, aku nak tanya korang. Dua bulan korang duduk dalam grup ni, berapa banyak yang kau kenal pasal member dalam grup ni?”

            Sepi. Masing-masing saling bertingkah mata. Tak pasti siapa yang mampu jawab soalan Zayn tadi.

            “Tak payah banyaklah, aku nak tanya satu soalan aje. Fatt.” Nama Fateh diseru Zayn.

            Sentak, Fateh terus menoleh pada Zayn. Terpinga-pinga. Kenapa mesti nama dia yang kena petik?

            “Kau paling banyak bercakap dan bertanya dalam grup ni. Aku nak tanya satu je soalan, boleh?”

            “Selain dari soalan sejarah, rasanya aku boleh jawab.” Dalam gubra, sempat juga dia melawak. Tapi sayang, tak ada yang sudi nak gelak pun.

            “Berapa umur Dara?” Wajah dan nada Zayn sama-sama serius.

            Buat seketika, Rayhan, Fateh, Yusri, Marissa dan Rayhana saling berpandangan sebelum seketika mereka tergelak. Soalan apa ni? Umur Dara? Dah tentu mereka dalam satu tingkatan yang sama, dah tentulah sebaya. Aira pula menoleh pada Dara yang hanya diam menunduk. Betul ke mereka sebaya?

            “Aku tak tahu pula budak umur 7 tahun boleh masuk tingkatan empat.” Balas Fateh bersama sisa-sisa tawanya.

            “Aku anggap jawapan kau dan yang lain-lain, 16.”

            “Dah tentu. Kenapa, kau ada jawapan lain ke?” Rayhan menjawab sinis.

            Bersama smirk face, Zayn pandang gurunya. Sempatlah dia mengerling si Dara yang sedang menatapnya.

            “Maaf madam, saya tak rasa diorang betul-betul ikhlas nak berkawan. Kalau betul diorang ikhlas, mesti diorang akan cari tahu tentang latarbelakang kawan-kawan diorang. Tapi tak ada. Saya tak nampak pun benda tu dalam diri diorang. Diorang Cuma berkawan sebab arahan madam dan saya tak sukakan benda yang terpaksa. Sebab tu saya tak boleh masuk dengan diorang.”

            Madam Salmah terkelu. Tak sangka begitu dalam penilaian Zayn dalam sebuah persahabatan. Ikhlas. Ya, Madam Salmah terlupa tentang satu perkara tu. Setiap apa yang kita harapkan untuk berjaya, tentulah kena ada keikhlasan.

            “Apa pasal pula? Selain dari kau, kitorang tahulah semua pasal diri masing-masing. Ray dengan Hana kembar. Hana ni gengster tapi dia suka baca novel cinta. Yusri pula kat sekolah lama selalu kena pulau sebab skema sangat. Aira suka subjek kira-kira sebab tu masa PMR dia skor math. Fateh paling ramai kawan kat sekolah lama sebab peramah, tak macam kau. Dara pula asal Sabah.”

            Zayn tergelak. Tak, bukan sebab lucu. Tapi sebab Marissa dengan yakin menunjukkan kebodohan sendiri. Tambahan pula, teman-teman yang disebut namanya tadi menoleh pada Marissa dengan muka tak puas hati.

            “Kau nampak mana aku baca novel cinta?” Serang Rayhana.

            “Kat sekolah nilah pertama kali aku kena pulau dan kena buli. Kat sekolah lama, semua orang sayang aku.” Beritahu Yusri, sedih nadanya.

            “Kat sekolah lama dulu, aku yang selalu kena pulau sebab suka buat lawak bodoh.” Ayat Fateh buat Marissa nampak semakin bodoh.

            “Sorry, Mar. Math aku masa PMR kantoi sebab aku suka subjek membaca.”

            “See? Kau tak pernah tahu pun pasal diorang dan yang kau sebut tadi tu, dari kesimpulan kau sendiri je, bukan fakta. Break the ice konon.” Ejek Zayn.

            “Alah, kau dengan kitorang pun tak ada bezalah, Zayn. Macamlah kau tahu sangat pasal kitorang. Semabng dengan kitorang pun tak pernah. At least kitorang ada juga cuba nak bertegur-sapa. Kau?” Sela Rayhana berani.

            “Try me.” Cabar Zayn santai. Tubuh dipusingkan menghadap Rayhana.

            “Kitorang asal dari mana?” Rayhan mencelah tak puas hati.

            Zayn tersenyum, nipis.

            “Ray dan Hana, Taiping Perak. Marissa, Bukit Beruang Melaka. Yusri, Pedas Negeri Sembilan. Aira, Puchong Selangor. Fateh, Damansara KL. Dara, Semporna Sabah.”

            Buat seketika, mereka sedikit ternganga. Macam mana Zayn boleh tahu semua tu? Dara pula mengemam bibir sendiri. Nampaknya, Zayn dah maju bertapak-tapak dari mereka yang lain.

            “Satu lagi.” Yusri yang sejak tadi sepi, mula bersuara. Ada sesuatu yang buat dia curious.

            Zayn jungkit kening sebelah pada Yusri.

            “Berapa umur Dara?”

            Sekali lagi bibir Zayn terherot. Lucu bercampur sinis. Dia kalih pada Dara yang tak lelah menatap wajahnya sejak tadi. Sejak pertama kali anak mata mereka bertemu, hati Zayn pasti jadi libang-libu. Sebab tu setiap kali Dara merenungnya, dia terus kalih mata ke arah lain. Mata tu memukau.


            “Do you mind, Dara?” Benda tu dikira peribadi jadi eloklah kalau Zayn minta izin tuan badan sebelum menjawab. Dara dilihat tersenyum segaris sebelum menggeleng, terus Zayn pandang teman-teman yang lain.

            “Umur dia 18 tahun.” Ujar Zayn.

“Whaaaattt..?”

Terus semua jatuh rahang, terkelip-kelip pandang Dara yang sedang tersenyum pada mereka.

#RoadToHatiAwak (Bab 11)





BAB 11

“CHEERS!!”

Ting!! Gelas saling berlaga. Air kuning berbuih-buih itu bergelombang malah ada yang terlompat keluar dari gelas. Ada yang meneguk sambil badan mengikut rentak lagu, ada yang meneguk saling berangkulan. Malah ada yang meneguk bersulamkan dengan ciuman ghairah. Masing-masing dengan gelagat tersendiri.

            Di lantai dansa pula, masing-masing dah sampai ke ‘bulan’ bahana pil khayal. Pergaulan, seks bebas dan dadah menjadi agenda utama. Semuanya merosakkan. Konon nak buat parti seks di apartment Erin, rupanya kat sini masing-masing dah tunjuk perangai. Di satu sudut, Is menjadi pemerhati biarpun kepalanya sudah terasa sedikit berpusing. Cukup. Dia akan berhenti minum sebelum akal warasnya hanyut bersama tegukkan demi tegukkan.

            “Still sober?” soal Yoyo seraya duduk di sebelah Is.

            “Yes, I am.” Balas Is. Hanya dua teguk, dia dah pening-pening lalat. Agaknya macam manalah kalau dia cuba ambil seteguk lagi? Tentu dah ke ‘bintang’ perginya. Dah kalau semua pun high, siapa pula nak kutip budak-budak yang dah sampai ke ‘bulan’ tu pergi hotel? Harapkan bonzer? Hmm.. Ada yang tidur tepi laut tu karang.

            “Aku tengok kau dari tadi lepak sini. Jomlah, dance.” 

Yoyo telan liur melihat penampilan Is. Dari hujung rambut ke hujung kaki. Semua orang tahu, Is bukan seperti gadis lain. Tiada siapa yang mampu menjinakkan gadis itu. Setakat menari dan berpelukkan, Is memang tak kisah. Tapi bila diajak hingga ke kamar, pantas saja gadis itu mengelak. Susah nak percaya, masuk kelab, kaki parti tapi tak layan seks bebas.

            “Kejap lagi kot. Mood tak sampai lagi.” Mood dah sampai mana? Dah ikut doktor mata tu kot.

            “Dance tak guna mood, babe. Guna kaki ni je.” Selamba jemari Yoyo bermain di atas peha Is.



Is tergelak lucu. Memang dia masih waras tapi dua teguk Heineken tadi sedikit sebanyak berjaya mengaburi akal sedarnya. Benda tak kelakar pun dia boleh ketawa. Nasib baik dia ambil Heineken je, kalau ambil pil?

            “Jomlah. Jomlah.” Is mengalah juga. Dia bangun, menarik tangan Yoyo. Diheretnya lelaki itu ke lantai dansa. Menyertai yang lain.

            “Bilalah aku dapat rasa badan montok kau ni, Is.” gumam Yoyo, terliur melihat tubuh tinggi dan berisi itu terliuk-lentok.

            Buat seketika, mereka menari sepuas-puasnya. Dari kedudukan berjarak, hingga sudah saling berpelukan. Sentuhan tangan Yoyo yang semakin meliar, Is cuba tolak dalam diam. Tak mahu Yoyo sedar penolakkan darinya. Namun semakin dia menolak, semakin Yoyo cuba mencari peluang. Is give up. Bukan menyerah diri tapi mengundurkan diri dari lantai dansa.

            “Is..” Yoyo tarik tangan kanan Is, membuatkan Is berpusing lalu menghadapnya.

            “Aku suka kat kau.” Ujar Yoyo, mata Is ditatapnya. Tapi Is tayang muka biasa-biasa saja. Siap senyum comel pula tu. Yoyo tertanya sendiri, betul ke Is tu masih sedar? Ke dah high?

            “Okey.” Is balas bersahaja.

Bila masuk kelab, banyak rule kena tahu. Salah satunya, jangan percaya bila ada lelaki cakap dia suka atau puji penampilan kau. Dah sah-sah tu hanya ayat nak perangkap kau untuk jadi partner dia sampai ke bilik.

            “Is..” Yoyo terus rangkul belakang kepala Is. Sumpah, dia dah lama mengidam nakkan bibir pink tu.

            Is cuba menolak sebelum mereka ditegur sekaligus menghentikan perlakuan Yoyo.

            “Ijam supply bukan main ramai lagi awek, yang ni juga kau kacau. Apasal?” Dalam keadaan mabuk pun Amin cuba untuk jaga keselamatan adik angkatnya.

Is terus berlalu, duduk kembali di tempatnya.  Malas nak ambil tahu. Pandailah Amin selaku abang angkatnya, selesaikan si Yoyo tu.

            “Aku..”

            “Eh.. Aku tak pedulilah kau nak cakap apa pun.. Hmm.. Yang penting jangan kacau Is. Tu adik aku. Kalau kau kacau juga, ni haa.. Gelas ni tembus kat otak kau.” Terhuyung-hayang Amin unjuk gelas pada Yoyo.

“Overlah kau.” Marah Yoyo.

“Over. Aku memang over. Dah, ambilkan coke untuk Is.” Arah Amin seraya berlalu pergi dalam keadaan terhuyung-hayang. Mencari perempuan yang boleh melayaninya.

Seperti yang diarahkan, Yoyo pergi ke bar untuk mendapatkan segelas coke buat Is. Walaupun dalam hati duk mengutuk Amin yang sangat protective pada Is, dia turutkan juga arahan lelaki tu. Amin tu, jangan cuba-cuba nak cari pasal dengan dia. Memang mati kataklah jawabnya kena belasah nanti.

Is kembali bersandar pada kerusinya. Malam tu sungguh dia tak punya nafsu untuk bersuka-ria. Semua salah Danish. Lelaki tu yang buat mood dia hilang. Erghh..!

“Air kau.” Gelas diletakkan di depan Is sedikit kasar. Kemudian Yoyo terus berlalu, risau mata-mata Amin sedang memerhati.

Setelah pasti air di dalam gelas tu hanya air coca-cola dan bukan bir, Is terus meneguk perlahan-lahan hingga tidak bersisa. Lega!




HAVOC macam mana pun keadaan di dalam Avenue tika itu, tetap takkan mampu menarik minat Danish. Jangan kata lagu, awek-awek yang melintas depan dia siap selisih bahu lagi, dia buat tak reti aje. Dia syak mood dia dah terikut Is masuk ke 3AM. Tak pun, dah terbang ikut angin Stulang Laut tu.

            “Dany, betulkan aku kalau aku salah teka.”

Apa lagilah si Zakry tu. Kat tempat bising macam ni jugalah dia ajak main teka-teki bagai. Danish jeling aje temannya sekilas sebelum meneguk lagi air coke. Setakat ni, walaupun dia jejak kelab-kelab macam tu, tak pernah lagilah dia teguk air syaitan tu. Entahlah, tengok Zakry teguk pun dia rasa macam tekak dia yang menahan peritnya. Dengan baunya lagi. Rela Danish teguk antibiotic sepuluh botol kot dari minum air tu.

“Sebenarnya kau kenal, kan Is tu?” Santai Zakry bertanya sambil jemari kanannya bermain dengan gelas yang berisi air kuning berbuih. Hasil analisanya, dia yakin Danish dan Is saling mengenali. Tapi cara mereka berdua yang kelihatan awkward itu yang buat Zakry hairan.

            Danish jungkit bahu, tak rasa nak ulas apa-apa. Mengiyakan, tidak. Menafikan pun tidak. Baguslah kalau Zakry boleh teka dengan tepat, jadi tak perlulah dia nak berselindung.

             “Lama mana kau kenal dia?” Serius, Zakry nak tahu. Dan tersangat nak tahu, apa hubungan mereka hinggakan lepas pertemuan tadi, Danish terus hilang nafsu untuk berfoya-foya.

            “Baru je kenal semalam. Dia pekerja abah aku.” Balas Danish, tanpa rasa dan lenggok. Kepala tunduk saja, tenung air coke yang sedikit berkocak bila muzik bass berdentum.

            “Nyaris-nyaris aku syak kau salah seorang dari ex dia.” Zakry menanti reaksi dari Danish, tetapi doktor muda tu hanya diam tanpa respond. Jangan kata menafikan, gelak pun tidak. Paling tak pun Danish mesti akan sambut bicaranya dengan lawak sinikal atau mungkin memakinya. Tapi..

            “Kiranya D’s Lay Park tu, ayah kau punyalah? Aku selalu lepak situ kot kalau pergi jumpa Ciara. Salon Ciara pun kat dalam mall tu.”

Kenyataan Zakry, Danish ambil dan hadam. Kiranya, Ciaralah kawan Is yang tolong warnakan rambut Is tu. Rumah Ciaralah yang Is tumpang tidur semalam. Kecil betul dunia. Pusing-pusing, semuanya saling berkait.

“Selama ni bila aku tanya, ayah kau bisnes apa selain construction sampai banyak cawangan. Kau asyik jawab, warung kecil-kecil aje. Hmm.. Warunglah sangat. Tertipu aku.” Tambah Zakry lagi. Kalau tak sebab Is tadi, sampai ke sudah dia tak tahu D’s Lay Park tu milik ayah temannya.

            “Dia tu.. Memang liar ke?” Soalan Danish melencong dari topik Zakry.

            “Siapa? Is?” Zakry tergelak lucu. Minuman keras diteguk lagi. Dah agak, Is masih bermain di minda Danish.

            “Kau.. Soalan tak pakai tapis-tapis. Main tiup aje. Weh, Is tu tak liarlah. Cuma sporting aje.”

            “Sporting?” Danish tergelak sekerat. Berpeluk dengan macam-macam lelaki tu namanya sporting ke? Pakai baju sendat singkat macam tu, sporting juga ke?

            “Yalah, sporting. Kau tahu tak, Is antara perempuan paling famous kat The Fun Zone ni. Bukan kat sini aje, aku rasa dalam Johor ni, nama dia memang ramailah orang kenal…”

            “Sebab dia liar, kan.” Potong Danish sedikit ngilu di dada. Makin dia cuba untuk nyahkan Is dari kepalanya, semakin sakit pula hatinya. Tambah-tambah lagi saat teringat momen manis mereka berdua. Bercampur-aduk pula dengan bayangan Is dipeluk oleh teman-teman gadis itu. Argh!

            “Tak. Bukan sebab dia liar. Tapi sebab dia ni jenis yang boleh click dengan sesiapa pun. Tak kisahlah lelaki ke perempuan. Dia berkawan tak pernah pilih bulu. Asal semua okey dengan dia, dia pun okey. ”


            Bibir Danish terjungkit sinis.

            “Okey. Dia boleh click dengan sesiapa pun. Tapi memang semua lelaki boleh suka-suka peluk dia ke? ” Sinis soalan Danish.

            Dan memang patut pun Danish pandang Is dengan satu pandangan menghina, waktu di ofis tadi petang. Dia fikirkan Is sekadar bebas berkawan rupanya bebas dalam pergaulan dan gaya hidup juga. Tengoklah fesyen dia. My God.. Serius tak macam orang melayu. Reject terus nak buat jadi bakal isteri.

            “Bu..”

            “Okey, dia sporting. Aku lupa.” Caras Danish.

Zakry menggeleng dengan tingkah temannya. Sah, ada benda yang Danish tak puas hati pada Is. Takkan Danish cemburu sebab lelaki peluk dia? Danish siapa pada Is? Ataupun, Danish dah jatuh hati pada Is dalam diam?

            “Sebenarnya apa yang buat kau marah sangat pada Is tu? Kalau ikut logiklah, kan. Ikut logik eh, bukan ikut hukum. Suka hati Islah nak peluk dengan siapa pun, kau bukan suami dia pun sampai nak cop dia perempuan liar tu semua. DIa nak pakai apa, biarlah. Badan dia.” Provok sikit, tengok Danish tercuit tak.

 “Dia tu pekerja abah aku. Tak sepatutnya dia keluar dengan imej macam tu.” Balas Danish, cuba menutup kebenaran. Berharap Zakry tak terhidu sesuatu.

Tak semena, Zakry tergelak besar. Seriously?

“Weh, agaklah. Sekarang ni bukan waktu kerja kot, suka dialah nak bawa imej apa pun. Lagipun kalau nak kira imej, kau tu anak pak haji dengan mak hajah tau. Kau lagi tak patut ada kat tempat macam ni.”

Untuk ayat berani nak mati Zakry tu, Danish hanya mampu bagi sedas jelingan maut saja. Harap esok pharmacist tu mati terkujat.

Okey, ya. Danish mengaku. Memang tempat dia tak sepatutnya di situ. Tapi mama dengan abahnya tak pernah larang pun dia lepak di kelab selama ni. Lagipun, dia bukan datang kelab nak buat benda tak senonoh. Cuma nak release tension. Stress kot dari zaman studi kena hadap ‘benda’ yang dipanggil medik.

            “Kau suka kat Is, eh?” Tembak Zakry.

Danish terbejat sekejap sebelum kembali dengan akal warasnya.

            “Aku? Aku suka kat Is? Zack, agaklah sikit. Perempuan macam Is tu kau ingat layak ke untuk aku? Hell, no..! Buat jadi Touch n’ Go layaklah kot.” Cemuh Danish, meninggi ego.

            Pap! Zakry tepuk belakang badan Danish dengan renungan tak puas hatinya.

            “Cakap tu bertapis sikit, Dany. Jangan duk meriah mengutuk orang. Karang berbalik pada diri sendiri, baru kau tahu penangan Is tu sehebat mana.”

Danish tolak tangan Zakry yang masih landing pada belakang badannya.

            “Penangan dia? Penangan perempuan murah, kau kata hebat? Huh..!” Selamba Danish capai gelas milik Zakry dan diteguk biarpun dengan muka berkerut-kerut.

            “Oii, air aku tu. Kau mana minum vodka. Ka..” Zakry terdiam bila temannya sudah meletakkan kembali gelas yang sudah kosong. Dia pandang Danish dengan riak tak percaya bercampur takjub. Hebat penangan Is, ya.

            “Aku, Ahmad Danish Arman takkan suka perempuan murah dan liar macam Is tu. Ever..!” Tekan Danish pada Zakry dan selebihnya dia berharap ayat itu mampu ‘menyekolahkan’ hati dan perasaannya sendiri supaya buang semua rasa tentang Is. Dia takkan suka perempuan kotor macam tu.

            “Bro, give me more.” Pinta Danish pada pelayan seraya mengunjuk gelas yang sudah kosong itu.

            “Dany, kau okey tak ni?” Zakry dah mula gusar. Buang tabiat sangat dah Danish tu.

            “Dia tak layak untuk aku.” Danish teguk lagi segelas yang baru dihantar. Dunianya rasa seakan berpusing dengan meriah. Badan mula hangat dengan satu semangat luar biasa. Malam tu, Danish nekad untuk lupakan Is. Sampai bila-bila. Dia takkan jadi bodoh lagi untuk jatuh suka pada perempuan macam tu. Never!

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post