Sunday, April 8, 2018

Lili (Bab 6)




Bab 6
AKU terus pandang ke hadapan. Bukan pemandangan indah Odori Park yang menjadi tarikkanku, sebaliknya aku rasa itu saja cara untukku mengelak dari memandang Rei yang baru saja duduk di sebelahku.
            "Dyra nak duduk sini sampai bila? Tak sejuk ke?"
            Aku diam.
            Terdengar Rei menarik nafas dalam sebelum dihembus keluar. Dari ekor mata, aku lihat dia menyeluk poket jaketnya dan sebatang rokok dibawa keluar. Kazuya yang sejak tadi setia berdiri di sebelah kiri Rei dengan pantas menyalakan lighter untuk tuan mudanya. Aku mengerling di sekitar kawasan. Sejak aku berteleku di sini pagi tadi, orang-orang Rei tetap setia mengawasiku.
            Percaya atau tak, rupanya selama ni, setiap kali kakiku melangkah keluar dari kawasan rumah Eidlan, aku diawasi oleh konco-konco Rei. Kenapa hari ni baru perasan? Sebab selama ni aku tak pernah rasa nak ambil tahu tentang kelibat-kelibat manusia yang berada disekelilingku. Tetapi sejak aku tahu tentang hakikat yang aku adalah buruan manusia kejam di luar sana, aku jadi alert dengan keadaan sekeliling.
            "Dari pagi sampai ke petang Dyra duduk sini. Tadi I datang ajak makan, Dyra tolak. Lepas tu, Eid ajak balik Dyra tolak. Dyra tak lapar ke? Tak penat ke?" Dia cuba mencari anak mataku dengan menjengah di hadapan wajahku, aku terus kakukan diri. Buat masa ni, aku hanya boleh berinteraksi dengan daddy saja. Malah Tetsuya dan Casandra yang tak henti-henti menelefonku pun, aku tak hiraukan. Aku rasa semua orang disekelilingku telah menipuku. Mereka menyembunyikan kebenaran tentang kisah silamku. Dan itu digelar satu penipuan.
            Rei mencapai jemariku yang bersarung dengan sarung tangan. Jemariku disulam dengan jemarinya. Aku diam. Terus membeku. Aku tak mahu percayakan Rei mahupun Eidlan. Mereka semua sepakat menipuku. Memperbodohkanku.
            "Dyra.. I tak tahu macam mana nak pujuk Dyra. I tak tahu macam mana nak yakinkan Dyra. I tak macam daddy, yang pandai tunjuk kasih dia pada Dyra. I hanya seorang yakuza yang selalu selesaikan masalah dengan kekerasan dan keganasan. Tapi satu yang Dyra kena tahu, apa yang I cakap, itu yang datang dari hati I."
            Ya, aku kenal Rei. Apa yang dia cakap, sememangnya itu yang lahir dari hatinya. Jadi yang keluar dari mulut Rei, adalah kebenaran. Pada Rei, dari dia menipu lebih baik dia merahsiakan. Dan mungkin kerana prinsipnya itu, dia lebih selesa mendiamkan kebenaran itu dariku selama ni. Entah kenapa, prinsipnya yang satu itu kini membuatkan aku terasa diri sedang dipersendakan.
            "Dyra, I'm trully sorry. I tak tahu apa yang Dyra tengah fikirkan tentang I, tapi I dapat agak semua yang Dyra fikirkan, tak ada satu pun yang baik-baik. Kan? Pandangan Dyra pada I mungkin dah berubah. Dan I rasa sekarang ni Dyra dah mula hilang kepercayaan pada I." Dia hisap rokoknya yang sejak tadi dibiar berasap. Seketika, dia lepaskan asap yang berkepul, agak jauh dari wajahku. Dia tahu, aku tak suka dia merokok di hadapanku.
            "Dyra tahu tak, 17 tahun dulu, I cuma ada Sandra sebagai adik I. I ada Uya tapi Uya tak serasi tinggal kat sini dan daddy hantar Uya kat Malaysia. I sayang adik-adik I tapi waktu pertama kali daddy bawa Dyra datang ke rumah oji-san, I happy. Happy yang tak dapat I nak cakap macam mana. Sejak baby lagi, Dyra seorang yang ceria. Dan Dyra suka buat orang sekeliling Dyra tersenyum dengan gelagat Dyra."
            "Siapa sangkakan, baby yang I dan Eid jaga 17 tahun yang lalu, hari ni dia dah dewasa. Dah pandai, dah cantik, dah comel. You tahu tak Dyra, bila Dyra merajuk macam ni, I teringat waktu Dyra umur 4 tahun. Dyra nak makan bubur yang nenek masak, tapi I bawa lari bubur tu. Dyra menangis sungguh-sungguh sampai oji-san datang dan marah I. Bila I pulangkan balik bubur tu pada Dyra, Dyra tak nak. Sampai ke malam Dyra tak nak makan apa-apa. Nasib baiklah daddy ada, kalau tak, entah sampai bila agaknya Dyra tak nak makan." Dia tergelak kecil.  Tapi bunyinya agak sumbang di telingaku.
            Aku sepi. Namun entah kenapa, pandangan mataku mula dikaburi dengan air. Memoriku sejak kecil seakan terpanggil tika ini. Bagai terlihat bebayang diriku sewaktu kecil yang sangat dimanjakan oleh Eidlan, Rei, daddy dan oji-san. Aku hanya sempat merasa kasih sayang nenek untuk seketika saja sebelum nenek pergi meninggalkan dunia. Namun, tiada siapa dapat menyangkal kasih mereka buatku. Casandra yang turut membesar bersamaku sendiri tak dimanja sebegitu.
            "Waktu I umur 15 tahun, daddy dan oji-san ceritakan semua tentang Dyra pada I. Dan waktu itu, oji-san dah letakkan harapan dia untuk I jadi ketua yakuza, mewarisi dia. Dan tugas pertama yang I perlu galas adalah jaga Dyra. Sembunyikan Dyra. Selamatkan Dyra. I, Eid, Noah, daddy, oji-san. Kami semua berusaha sebaik mungkin supaya tak ada siapa dapat kesan Dyra. Supaya Dyra selamat dari sebarang ancaman."
             Tepat jangkaanku, Noah juga tahu tentang semua yang berlaku padaku selama ni. Patut pun waktu aku hampir diculik dulu, Noah tiba-tiba munculkan diri dan selamatkan aku.
            "Sampailah satu hari, I tanya pada daddy, I tanya pada oji-san, I tanya pada Eid. Sampai bila kita akan sorokkan Dyra? Sampai bila kita nak protect Dyra dalam senyap? Sampai bila kita nak rahsiakan kebenaran dari pengetahuan Dyra? Daddy tak dapat jawab. Oji-san senyap. Cuma Eid saja yang dapat bagi I jawapan masa tu. Kata Eid, dia akan ceritakan semuanya pada Dyra bila dia yakin yang Dyra dah cukup matang untuk berdepan dengan hakikat sebenar."
            Rei mengait lagi jemariku. Cuba menarik perhatianku yang kini semakin tak mampu membendung airmata yang kian memenuhi empangan. Aku cuba bertahan untuk tak mengerdipkan kelopak mata. Aku tak mahu menangis. Di hadapan Rei.
            "Mungkin Dyra rasa Eid terpaksa cerita semua tu sebab Dyra provok dia. Tapi pada I, tak. Eid ada pilihan untuk terus menipu Dyra malam tu, tapi dia tak pilih untuk menipu. Dyra tahu kenapa?"
            Kaku.
            "Antara Eid dan I, Eid lebih dekat dengan Dyra. Eid lebih faham diri Dyra. I sayangkan Dyra, tapi sayang Eid pada Dyra lebih dari segalanya. Dia tahu Dyra akan upset dan down macam ni bila dia ceritakan semuanya pada Dyra tapi dia tahu Dyra ada sesuatu dalam diri yang akan buat Dyra bangkit untuk berdepan dengan semua ni. Dan sebab tu dia pilih untuk tak terus sembunyikan kebenaran dari Dyra."
            Ya, kasih Eidlan padaku tak mampu untuk aku kira. Lebih dari segalanya. Dia sanggup sediakan apa saja yang aku perlukan. Apa saja bebelan dan rungutanku, dia dengarkan saja. Usia remaja Eidlan lebih banyak dihabiskan bersamaku. Waktu Eidlan sambung studi dulu pun, dia pilih universiti berdekatan saja. Dia tak nak berjauhan dariku. Temannya hanyalah Rei hinggalah dia berkenalan dengan Noah ketika tahun kedua di universiti. Aku tahu, apa saja yang Eidlan buat sepanjang hidupnya hingga ke hari ini, hanyalah untukku.
            "Dyra, kalau Dyra nak marah I dan Noah, marahlah. I terima. Noah pun tak ambil peduli, I rasa. Tapi jangan buat Eid macam tu. Dia sayangkan Dyra. Dia sedih bila Dyra ignore dia macam ni." Pujuk Rei. Aku diam lagi.
            Aku sedar, sejak kejadian malam tu, aku terus meletakkan tembok antara Eidlan denganku. Aku tak mahu pandang muka dia, bercakap dengan dia apatah lagi. Aku bertindak menjauhi dirinya. Setiap pelawaannya untuk berbincang, aku tolak mentah-mentah. Aku tak peduli dengan wajah terkilannya setiap kali aku abaikan perhatian yang dia cuba berikan.
            Airmata yang kutahan sejak tadi, dah mengalir, mengikut lekuk pipi sebelum menitis jatuh di pehaku. Perlahan Rei senuh pipiku yang basah dengan jarinya. Sikit piun aku tak mahu mencari matanya. Aku tak mahu nampak lemah di hadapannya.
            "I ada meeting kejap lagi. Dyra ambillah berapa banyak masa yang Dyra perlukan untuk bersendiri. I harap Dyra tak kisah I tinggalkan orang-orang I kat sini. By the way, kalau Dyra perlukan apa-apa, panggil Kauto ya. Dia ada kat belakang Dyra dari Dyra duduk sini pagi tadi lagi. Dan I tak terkejut kalau Dyra tak perasan." ujarnya panjang lebar.
            Rei menepuk lembut jemariku yang pegangnya sejak tadi sebelum diletakkan diatas pehaku kembali. Dia cuba menjengah, mencari anak mataku. Aku mengelak. Menoleh ke kanan. Terdengar Rei tergelak perlahan. Kecewa bunyinya.
            "Kalau Dyra rasa dengan melindungi Dyra selama ni adalah satu kesalahan besar, Dyra bukan saja buat Eid terkilan, I pun akan rasa sama." Ujar Rei sebelum bangkit dari duduknya.
            "Kalau.." Aku cuba kuat untuk menuturkan sepotong ayat buat Rei. Rei berdiri di hadapanku. Aku menarik nafas dalam, aku balas renungan matanya yang sejak tadi tak lelah menatapku.
            "Kalau betul Rei sayangkan Dyra, tolong Dyra.. Tolong Dyra dapatkan gambar mama dan papa Dyra." Aku tak peduli dengan airmata yang terus mengalir deras. Rei membalas renunganku dengan satu renungan sayu. Matanya memerah.
            "Dyra.. Dyra nak tahu muka Dyra ikut mama atau papa Dyra. Dyra.. Dyra nak tahu, antara Dyra dengan mama, siapa lagi cantik. Dyra.. Dyra rindu mama. Rindu papa.." Dan aku teresak buat kesekian kalinya. Pantas aku tutup wajahku dengan kedua tapak tangan. Aku tak mahu Rei lihat tangisanku. Tetapi tangisanku makin menjadi-jadi bila Rei menyentuh bahu kiriku. Perlahan, Rei menarik tanganku. Dia lap lembut pipiku yang basah. Aku cuba menahan diri dari teresak kuat. Rei tersenyum.
            "Untuk Dyra, I akan buat apa saja. I akan cuba cari gambar parents Dyra tapi dengan syarat, ni hanya antara kita berdua aje. Jangan cerita pada sesiapa termasuk daddy atau Eid. Boleh?" Aku angguk saja. Rei tekap kedua tapak tangannya yang bersarung tangan pada kedua belah pipiku. Kami bertatapan. Wajah bengisnya langsung tak kelihatan setiap kali bersamaku.
            "Dan satu lagi, I nak Dyra janji yang Dyra takkan sedih-sedih lagi. Tak nak menangis lagi. I nak Dyra kuat. I nak Dyra berdepan dengan masa depan Dyra dengan berani. Boleh?" Dia menanti jawapanku bila aku sekadar menyepikan diri.
            "Untuk arwah  mama dan papa Dyra, Dyra kena kuat. Kan?"
            Aku sepi, namun kepalaku ligat berfikir. Menimbang baik buruk dan apa yang sepatutnya aku perlu lakukan untuk berdepan dengan masa depanku. Sampai bila aku perlu menyembunyikan diri seperti ini? Sampai bila aku harus jadi buruan musuh di luar sana? Sampai bila aku perlu penasaran tentang asbab arwah mama dan papaku dibunuh?
            Kematian arwah mama dan papa perlukan keadilan. Dan kalau bukan aku yang perlu lakukan sesuatu, siapa lagi? Dan untuk lakukan semua tu, aku sendiri yang perlu kuat. Demi arwah mama dan papa, aku bakal korbankan dunia remajaku dan menggalas beban besar di pundakku.
            "Dyra cuba." tuturku perlahan. Masih ragu-ragu.
            Rei tersenyum, lebar. Dia menggosok kepalaku. Aku biarkan rambutku yang sedikit berselerak.
            "Macam tulah kesayangan I. Okey, I kena pergi dulu. Jumpa Dyra kat rumah ya. Jangan duduk sini lama sangat." Pesan Rei. Sempat dia mencuit hujung hidungku sebelum melangkah pergi, diiikuti oleh Kazuya.  Aku menarik nafas dalam, berpeluk tubuh. Mata aku fokus ke hadapan, lagi. Merenung kosong.

PENAT duduk berjam-jam di Odori Park, aku mengatur langkah tanpa hala tuju. ENtah ke mana kaki membawaku, aku biarkan saja. Selagi tak penat, selagi masih mampu berjalan, aku terus berjalan. Sedikit pun aku tak beri perhatian pada keadaan sekelilingku. Renunganku kosong namun di dalam kepalaku, macam-macam perkara yang bermain tapi tiada satu pun yang aku fokuskan. Bercelaru.
            Entah berapa kali aku terlanggar bahu orang, aku sendiri tak sedar. Dan entah berapa kali aku hampir tersungkur bila tubuh dirempuh dari belakang. Beberapa kali juga aku dihon bila melintas tanpa memandang kiri kanan. Ah, aku tak peduli semua tu. Kalau dah ajal aku, di mana pun aku boleh mati. Dan seandainya saat ini musuh datang menyerangku, aku tak rasa nak melawan. Mungkin.. Mungkin aku akan serah diri dengan rela.
            Dyra, baru tadi kau janji dengan Rei nak jadi kuat. Tapi, tak sampai dua jam pun lagi kau berjanji, sekarang kau dah down semula? Selama bertahun-tahun, mereka bermati-matian menyelamatkan kau, sekarang dengan mudah kau nak menyerah diri? Jadi untuk apa usaha oji-san, daddy, Rei dan Eidlan lindungi kau selama ni? Dyra, nampaknya mereka lebih sayangkan nyawa kau berbanding diri kau sendiri.
            Aku tergelak. Pahit. Perit. Pedih. Sejujurnya, aku buntu. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Rei dan daddy nak aku jadi kuat? Kuat yang macam mana? Eidlan nak aku berubah? Berubah jadi apa? Semua tu bukan perkara mudah. Cakap hari ni, esok dah jadi. Yang mereka mahukan itu, sesuatu yang tiada dalam diri aku. Dan untuk mencari kekuatan tu, untuk melakukan perubahan tu, ambil masa. Mungkin bertahun.
            Bertahun? Ya, bertahun. Apa yang ada dalam diriku hari ni, adalah diri aku. Aku yang kalut, aku yang bersahaja, aku yang cuai, aku yang manja, aku yang sentiasa bergantung pada orang sekeliling, aku yang lemah, aku hanya tahu bersuka ria, aku yang buat apa-apa tanpa mahu berfikir. Dan semua yang tak sempurna ada dalam diri aku sejak kecil lagi.
            Macam ni ke nak berdepan dengan musuh?
            Aku duduk di bahu jalan. Tak peduli dengan mata yang memandang. Aku tunduk, merenung jalan bertar yang diselaputi salji. Kenderaan yang lalu lalang di hadapanku, sedikit pun tak mengganggu duniaku. Rambut panjang yang entah macam mana rupa, aku tak hiraukan. Jangan kata ikat, sikat pun asal boleh saja. Aku dah tak pedulikan dengan penjagaan diri.  Sejak beberapa hari yang lalu.
            Lemah sangat kau, Dyra. Kau lemah sangat. Kau lemah dengan perasaan kau. Kau hilang dalam kesedihan kau. Kau larut dengan emosi kau. Kau kalah dengan amarah kau. Kau hilang pertimbangan dengan dugaan yang datang. Kau lemah bila diuji. Dan layakkah kau untuk menuntut keadilan atas kematian arwah mama dan papa kau? Layakkah kau, Dyra?
            Aku lipat kaki yang sedikit melunjur sejak tadi. Lutut aku rapatkan ke dada. Dagu aku sangkut pada lutut. Mata mula bergenang. Lemah. Longlai. Ya, aku lemah. Aku bukan sesiapa yang punya kekuatan untuk berdepan dengan masa depanku. Aku hanyalah budak manja yang hanya tahu bergantung harap pada insan-insan disekelilingku. Jadi, kenapa beri aku beban sebesar ni? Kenapa tak bagi pada orang lain? Kenapa?
            Aku tersentak bila tiba-tiba terasa tangan kiriku dipegang dan seketika ditarik. Aku terngadah. Fikirkan musuh yang datang cuba untuk membunuhku, rupanya si gay. Aku tarik semula tanganku, tak mahu disentuh. Noah tak mahu lepaskan sebaliknya dia terus menarikku hingga aku terpaksa bangun.
            "Cukup-cukuplah dengan layan emosi kau tu. Aku dah tak boleh tahan tengok muka sebek kau ni, tahu tak?" suara si hati beku tu mula melancarkan serangan. Aku diam saja, terus menunduk. Tak mahu layan.
            "Oh my God, kau betul-betul dah rosakkan pemandangan dalam dunia ni dengan tayang muka tak siap kau tu. Oh my.. Sakitnya mata aku." Rengus Noah tanpa memepedulikan keadaanku. Dasar gay tak berhati. Tak berperasaan.  Bila aku terus sepi, tak melayan provokasinya, dia terus menarikku ke arah keretanya. Pintu sebelah penumpang di buka kasar kemudian tubuhku ditolak. Aku terduduk. Terus pintu ditutup. Seketika, Noah turut masuk dibahagian pemandu.
            Dan aku baru terfikir, sejak bila kereta Noah terparkir di tepi jalan ni? Betul-betul di tempatku berteleku tadi. Lama dah ke dia di situ? Dia ikut aku ke? Hmm.. Tak mungkin. Bukankah Rei dah hantar Kauto untuk mengawasiku? Aku pandang Noah di sebelah kiri, dia sedang bertelefon.
            "Eid. Ya. Aku dengan dialah ni. Tadi Rei dah call aku. Hmm.. Ya.. Ya.. Aku tahulah. Kau settlekan dulu bahagian production tu. Tadi aku nak check mesin tu, Rei call. Aku terus keluar. Kejap lagi aku singgah kilang. Hmm.. Fine. Sayang konon. Simpanlah sayang kau tu."
            Aku tercebik dalam tak sengaja. Eidlan dengan Noah bercakap siap bersayang-sayang. Tolonglah. Geli kot. Bila agaknya Eidlan tu nak cari kekasih yang berjantina perempuan agaknya.
            Mati saja talian, Noah terus campak telefonnya di atas dashboard. Dia beri lampu isyarat kanan, pasti tiada kereta baru dia mulakan pemanduan.
            "Kalau tak menyusahkan orang, tak boleh ke? Kau ingat aku tak ada kerja lain ke selain nak melayan kerenah kau?" Apa tu? Rungutan ke?
            "Berhentikan kereta ni." Arahku, dan ianya bukan gurauan.
            "Tak sempat. Aku nak cepat. Tapi kalau kau nak turun juga, kau lompat ikut tingkap." Noah tekan butang suis power window, tingkap sebelahku dibuka.
            "Pergilah." Arahnya. Tiada nada senda, tiada juga gaya bergurau. Dia mencabar. Dia maksudkan apa yang dia katakan. Aku menjengah kepala, melihat keluar melalui tingkap. Dengan kelajuan yang Noah pandu, kenderaan di luar yang bertali arus, aku jadi kecut perut. Aku telan liur. Kembali bersandar pada kerusi.
            Aku toleh Noah. Dari sisi, aku nampak dia menarik senyum sinis sebelum butang auto ditekan lagi, dan tingkap naik semula.
            "Kalau dah tahu penakut, jangan buat-buat berani." Tekan Noah. Bersahaja.
            "Yang awak nak marah-marah kenapa? Ada Dyra suruh awak datang ambil Dyra? Ada? Tak ada, kan? Awak yang menyusahkan diri sendiri, kenapa nak kata Dyra pula yang menyusahkan awak?" soalku, berani.
Noah hentak stereng keretanya. Ternaik bahuku dek kerana terkejut. Kenapa Noah marah-marah macam ni? Hilang dah memori Noah yang romantik semalam. Diganti dengan Noah yang sedang mengamuk mengalahkan Incredible Hulk. Nasib tak bertukar hijau saja.
            "Sebab kau suka buat orang risau..! Rei risau. Eid risau. Daddy kau risau. Oji-san risau. Kau keluar dari pagi, merayap entah ke mana-mana. Berjalan tak ada hala tuju. Duduk kat tepi jalan, menangis. Rambut serabai. Diri tak terurus. Telefon kau, kan aku dah pulangkan. Apasal kau tak bawa? Ni, dompet pun tak bawa. Eh, budak. Kau letak kat mana otak kau, ha?  Kau ingat dalam dunia ni, kau seorang aje ke yang ada masalah? Apa yang kau cuba tunjukkan bila buat perangai macam ni, ha?" Si 'dingin' yang selama ni jarang menunjukkan emosinya, hari ni berubah serta-merta. Kerana apa? Kerana aku dah menyusahkan dia. Sedangkan aku tak minta pun perhatian dari dia.
            "Susah sangat ke kau nak terima hakikat yang kau sedang diuji? Kau sedang diduga? Just face the facts and fight for your future. That's it..! Kau tak perlu pun nak meratap mendayu-dayu sampai berhari-hari macam  ni. Kau tak perlu nak seksa diri kau sendiri. Itu pun susah ke?!" Dengan kasar Noah memberikan 'nasihat'nya. Aku tekup telingaku dengan tangan. Aku tak mahu dengar.
            "Diam! Diam!"
            "Damn it, Dyra..! Tolong berhenti buat aku sakit hati dengan perangai tak matang kau ni, boleh tak?!" Noah membentak tiba-tiba. Terkejut. Buat julung kalinya, si ais dari kutub utara tu mampu membentak. Aku pejam mata rapat-rapat namun aku dapat rasa airmataku kembali mengalir.
            "Stop crying, will you?!" tengking Noah lagi.
            Peliknya, lagi dipaksa berhenti menangis, semakin kuat pula esakkanku. Bukan kerana sedih ditengking sebegitu oleh Noah, tapi aku marah pada diriku sendiri kerana aku tak mampu mengawal emosi. Marah pada diri sendiri kerana terlalu lemah dihadapan Noah. Marah pada diri sendiri kerana tak mampu menepis setiap tengkingan Noah tadi. Dan aku menangis, lagi, lagi dan lagi.



Lili (Bab 5)




Bab 5
AKU bersila sambil berpeluk tubuh. Isyarat aku tak mahu berlembut mahupun dipujuk. Aku nak dengar penjelasan dari mereka berdua. Mungkin dari Noah yang baru masuk juga. Memandangkan mereka bertiga sangat akrab, maka aku sangat pasti ada sesuatu yang cuba mereka rahsiakan dariku.
            "Tak nak cerita?" soalku sedikit sinis. Aku pandang mereka seorang demi seorang. Dari Eidlan yang bersila paling kanan, diikuti oleh Rei dan kemudian pada Noah yang lebih selesa berdiri sambil bersandar sendeng. Santai saja dengan kedua belah tangan disimpan di dalam poket jeansnya.
            "Tolonglah usu, terangkan pada Dyra. Dyra nak tahu, kenapa selama ni usu kongkong hidup Dyra? Apa salah Dyra?"
            Eidlan tarik nafas dan dihembus keluar. Matanya merenungku, tapi seakan tembus entah ke mana. Jauh menungnya.
            "Okey, tak apa. Kalau usu, Rei dengan si gay ni tak nak cerita, tak apa. Dyra tak kisah. Esok juga Dyra pergi buat date dengan lelaki yang ada kat luar sana. Selagi usu tak cerita apa sebab usu buat Dyra macam ni, selagi tu Dyra akan ajak mana-mana lelaki keluar dengan Dyra." Tekanku. Memprovok.
            "Tak boleh." Balas Eidlan, tegas. Wajahnya serius. Rei hanya menunduk, merenung lantai tatami.
            "Kenapa tak boleh?" Cabarku. Aku balas dengan berani renungan bapa saudaraku.
            "Kalau usu cakap tak boleh, maksudnya tak boleh!" Tekan Eidlan sedikit meninggi. Matanya dijegil garang. Belum pernah lagi Eidlan meninggi suara sebegini pada aku, satu-satunya anak saudara yang dia ada. Jangankan tengking, nak marah aku pun selama ni Eidlan akan fikir berpuluh kali. Tapi malam ni.. Kenapa? Kenapa Eidlan jadi macam ni?
            "Eid, cool down." Celah Rei, cuba meredakan kemarahan Eidlan. Eidlan marah kerana aku mencabar kesabarannya. Aku tahu Eidlan bukan jenis orang yang boleh bersabar bila dicabar atau ditentang.
            "Dyra, Dyra pergi masuk bilik dulu. I.."
            "Dyra tak nak. Dyra nak dengar penjelasan dari usu dulu. Kalau tak, Dyra takkan berganjak ke mana-mana." Pintasku pada bicara Rei namun mataku sedikit pun tak beralih dari membalas renungan tajam Eidlan.
            Demi sebuah kebenaran, apa nak jadi pun, jadilah. Aku tetap nak tahu kenapa  Eidlan terlalu mengawasiku selama ni tanpa pengetahuanku. Kenapa pergaulanku disekat? Kenapa aku tak dibenarkan berkawan dengan sesiapa? Kenapa?
            "Tak ada apa yang perlu usu jelaskan. Apa yang Dyra kena tahu, mulai saat ini, usu tak nak lagi Dyra kenal atau berkawan dengan orang luar. Full stop!" Tekan Eidlan. Tak mahu berkompromi.
            "Tapi kenapa? Kenapa Dyra tak boleh hidup macam orang lain? Dyra ni bukan orang ke? Kenapa perlu protect Dyra sampaikan Dyra nak berkawan pun tak boleh? Usu, Dyra nak bebas!" Sedikit meninggi suaraku.
            "Usu tak pernah kurung Dyra. Dyra nak ke mana selama ni, pernah ke usu halang? Kebebasan apa lagi yang Dyra perlukan?"
            "Kebebasan? Kebebasan apa yang usu bagi pada Dyra? Dyra nak berkawan pun usu tak bagi. Kebebasan ke tu? Tadi, Dyra dengar dah semuanya. Selama ni usu yang suruh Rei rosakkan semua date Dyra dengan kawan-kawan Dyra. Apa ni, usu? Dyra bukan budak-budak lagi, usu tahu tak? Dyra dah 17 tahun. Dyra ada life Dyra sendiri. Dan usu tak ada hak nak rampas kebebasan hidup Dyra!" Bukan niat aku nak menjerkah Eidlan, tapi aku tak mampu hendak mengawal amarahku.
            "Dyra..!" Jerit Eidlan dengan wajah berangnya. Melihatkan wajahnya, aku tahu Eidlan marah. Marah dengan sikapku yang sudah berlaku biadap. Tapi melihatkan matanya, aku nampak Eidlan kecewa. Kecewa dengan sikapku yang jelas sudah melampaui batas. Aku membuang pandang, melarikan mata dari renungan Eidlan.
            "Eid.. sabar dulu." Celah Rei yang sejak tadi jadi pemerhati pertelingkahan kami berdua. Sekilas, aku terpandang Rei dan Noah. Rei lempar pandangan belasnya padaku. Aku biarkan sepi. Noah? Hanya menjadi pemerhati tanpa sebarang riak di wajahnya.
            Eidlan melepaskan keluhan kasar. Dia bersandar namun matanya terus merenungku.
            "Dyra, I don't know how to explain everything to you. Dan usu tak tahu apa reaksi Dyra kalau usu tell the truth. But one thing you should know, Dyra adalah amanah yang arwah mama dengan papa serahkan pada usu. Tugas usu adalah menjaga keselamatan awak dari sebarang ancaman..."
            "Tapi Neiko bukan ancaman. Izumi pun bukan ancaman. Keito pun. Dia orang cuma nak kawan rapat dengan Dyra aje." Pintasku.
            "Kita tak tahu siapa yang akan jadi ancaman pada diri kita, Lili Eldyra. Musuh ada di mana-mana. Dan tak ada malang yang berbau. Jadi usu perlu sentiasa alert supaya awak selamat." Tekan Eidlan.
            "Nak selamatkan Dyra dari apa? Dari siapa? Musuh? Musuh apa? Kalau ada yang serang Dyra pun, tu semua musuh Rei. Tak ada kaitan dengan Dyra. Stoplah, usu. Jangan bodohkan Dyra boleh tak?"
            "You ada musuh, Dyra!" tengking Eidlan semakin hilang sabar. Dan buat seketika, aku terdiam. Membalas renungan mata Eidlan yang terjegil. Dapat aku rasakan bibirku bergetar, cuba menutur bicara namun gagal. Aku ada musuh?
            "Eid, I don't think this is the right time." celah Rei, cuba meredakan kemarahan Eidlan.
            "Budak degil." Tambah Noah, dingin.
            "Let her be. Dia yang nak sangat tahu." balas Eidlan. Dia mengengsot sedikit, merapatiku. Jemariku dicapai dan digenggam. Kami berpandangan.
            "Macam yang Rei cakap, ini bukan masanya untuk usu ceritakan. Tapi Dyra yang paksa usu. Ingat, lepas usu cerita semua ni, usu nak Dyra berubah. No more the mellow Lili Eldyra. I want you to be Eldyra yang keras hati, heartless, fearless, berani dan gah."
            Aku picingkan mata. Tak faham. Kenapa aku perlu berubah?
            "Sebelum usu cerita, usu nak Dyra tahu, Dyra tak ada pilihan lain selain berubah dan keep moving forward. Dyra rasa, Dyra dah sedia nak dengar semua ni?"
            Raut wajah Eidlan yang kelihatan serius membuatkan aku mula bertingkah dengan perasaan sendiri. Bersediakah aku untuk mendengar penjelasan Eidlan? Dapatkah aku terima semua itu nanti?
            Dyra, kau yang nak sangat tahu kenapa selama ni kau dilayan seperti seorang pesalah di dalam penjara. Kau terkurung biarpun kau nampak macam bebas untuk ke mana saja. Setiap pergerakkan kau diintai dan diekori. Kau tak dibenarkan menjalinkan persahabatan dengan sesiapa malah Eidlan cuba menghalang setiap kali kau cuba rapat dengan seseorang.
            Jadi Dyra, bersediakah kau untuk dengar semua penjelasan Eidlan?
            Aku menarik nafas sedalamnya, cuba meraih kekuatan kerana aku tahu, apa yang bakal Eidlan katakan mungkin sesuatu yang aku tak mampu untuk terima begitu saja. Aku pejamkan mata seketika sebelum kembali kubuka dan wajah Eidlan aku cari. Dia menanti butir bicara dariku.
            "Dyra, you tak perlu paksa diri you." celah Rei, memujuk nadanya. aku menggeleng. It's either now or never.
            "Shoot." Ujarku pada Eidlan. Kami bertatapan. Dalam.
            "Selama ni usu sembunyikan Dyra dari orang yang buru Dyra. Orang yang sama yang dah bunuh arwah mama dan papa Dyra."
            Aku picingkan mata. Mencari kebenaran dalam setiap butir bicara Eidlan tadi. Mama? Papa? Bunuh? Bukankah mama dan papa..
            "Ya, usu tipu Dyra. Usu cakap mama dan papa Dyra meninggal sebab kemalangan. Sebenarnya, tak. Kemalangan papa dan mama Dyra dirancang, dan mereka meninggal di tempat kejadian. Waktu tu, mama Dyra masih bernyawa dan dia cuba bertarung untuk lahirkan Dyra. Usu cuba dapatkan bantuan dan kebetulan daddy lalu kat kawasan tu. Masa tu kami tak ada pilihan lain selain sambut kelahiran Dyra kat tempat kejadian. Lepas Dyralahir, mama Dyra pun pergi."
            Aku tatap mata Eidlan sedalamnya. Mengharapkan apa yang dia katakan hanyalah gurauan semata. Bila dia masih tega membalas renunganku, aku kemam bibir. Cuba menahan diri dari terhambur tangisan. Sikit pun aku tak peduli pada pandangan mataku yang semakin kabur.
            "Ma.. Mama.. Papa.. Papa.." Aku menggeleng. Tak percaya. Aku tak mahu terima kenyataan tu. Eidlan sentuh lembut pipiku. Airmataku yang mengalir, disapu perlahan.
            "I'm sorry, dear. Tapi ini yang Dyra nak sangat tahu, dan inilah kebenarannya. Apa yang usu nak, lepas ni Dyra bangunlah. Tak selamanya usu dapat sembunyikan Dyra. Dyra kena belajar untuk jadi kuat. Dyra tak boleh jadi lemah lagi sebab sampai masa, Dyra perlu berdepan dengan musuh yang dah tahu tentang kewujudan Dyra. Dia sedang buru Dyra."
            "Dia orang.. tak.. tak tahu Dyra.. Dyrawujud sebelum ni?"
            "Dia orang ingat Dyradah meninggal dalam kandungan mama Dyramalam tu. Dia orang tak tahu kami berjaya sambut Dyra lahir dan daddy terus bawa kita ke sini."
            "Daddy?"
            "Ya, daddy tahu ada orang nak buru Dyra. Dia yang selamatkan kita dan dia yang sembunyikan kita selama ni. Rei dan orang-orang dia pula tak pernah berhenti mengawal kita. Sebab tu usu kawal pergerakan Dyra, pergaulan Dyra sebab daddy dah pesan awal-awal, sesiapa pun boleh jadi musuh Dyra. Dan Dyra tak tahu apa niat mereka nak rapat dengan Dyra."
            "Macam mana dia boleh tahu.. tahu yang Dyrahidup lagi?"
            "Usu tak pasti. Ada kemungkinan mereka perasan bayi yang mama Dyra kandungkan tu dah tak ada dalam perut dia waktu kejadian."
            "Malam Dyra kena serang hari tu...?" Aku tatap dalam-dalam mata Eidlan. Minta kepastian. Bila Eidlan mengangguk, aku rasa nak meraung kuat. Patutlah Rei mengamuk sakan. Dia marahkan orang suruhannya kerana cuai dalam menjaga keselamatanku. Dan yang paling penting, musuh dah berjaya menemui kedudukanku.
            "Kenapa? Kenapa dia orang buru Dyra? Apa yang dia orang nak dari Dyra?" Mesti ada sesuatu. Mesti. Kalau tak, takkan aku diburu dan.. mama aku dibunuh. Papa aku dibunuh. Kejam! Mereka kejam!
            "Sesuatu yang usu sendiri tak tahu ianya wujud atau tak."
            Aku picingkan mata yang sejak tadi tak henti-henti mengalirkan airnya. Sesuatu?

KETUKAN bertalu-talu dari luar kamar, aku biarkan tanpa ada niat untuk membalas panggilan mahupun untuk membuka pintu. Tolonglah, usu. Jangan ganggu Dyra. Tolonglah bagi Dyra masa untuk Dyra bersendirian.
            “Dyra, please. Open the door.” Suara Eidlan kedengaran memujuk, sama seperti sejak dua hari yang lalu. Sejak aku bertindak mengurung diri di dalam bilik. Shoji dicipta tanpa kunci, dan sebenarnya Eidlan boleh saja masuk walaupun aku tak benarkan. Tapi kerana Eidlan hormatkan 'ruang peribadi' yang aku miliki, dia tetap menanti aku memberikan keizinan untuk dia masuk.
            “Dyra, dah dua hari awak berkurung macam ni. Tolonglah jangan dera diri Dyra sendiri. At least, kasihankanlah cacing dalam perut Dyra tu. Nanti cacing-cacing tu mati kelaparan.”
            Aku memeluk kuat kedua belah lututku. Kepala tersemban di atas kepala lutut. Cacing mati? Aku tergelak dalam kesakitan. Kita tengok, antara aku dan cacing, siapa yang akan mati terlebih dahulu. Eloklah kalau aku yang mati dahulu, sebab aku tak nak menggalas beban sebesar ini. Dan seandainya itu berlaku, setidak-tidaknya aku dapat bertemu dengan arwah mama dan papa. Aku kemam bibir. Tak mampu lagi untukku hamburkan airmata.
            “Dyra, usu tahu Dyra kuat. Menangislah. Menangis sepuas hati Dyra. Bila Dyra dah puas lepaskan perasaan Dyra tu, usu nak Dyra bangun. Usu tak nak tengok sisi Dyrayang lemah ni lagi. Banyak benda yang Dyra perlu belajar untuk berdepan dengan musuh Dyra."
            Bangun? Tak mudah, usu. Semua tu bukan mudah. Aku hanya gadis remaja yang masih mahu mengejar dunia yang berwarna-warni. Dan tiba-tiba, aku diberikan satu beban yang sangat berat di bahuku. Dan tiba-tiba aku dapat tahu tentang musuh yang sedang memburuku. Tak mungkin semudah itu untuk aku terima semua ni.
            Sejak kecil, aku percaya bila Eidlan cerita tentang pemergian arwah mama dan papa adalah disebabkan oleh kemalangan. Hampir tujuh belas tahun aku hidup berpegang pada cerita Eidlan tu, tetapi siapa tahu semua tu hanyalah satu penipuan. Dan kebenarannya, arwah mama dan papa meninggal kerana dibunuh. Siapa mereka hingga sanggup meragut nyawa kedua ibubapaku? Siapa?
            Aku pejam mata rapat. Menahan airmata dari kembali mengalir. Patutkah aku menyesal kerana memaksa Eidlan menjelaskan semua yang tersembunyi selama ni? Aku menggeleng. Bukan salah Eidlan,. Ya, bukan salah Eidlan. Aku yang paksa Eidlan cerita semua tu dan siapa sangka kebenaran tu tak seremeh yang aku sangkakan.
            “Usu turun dulu.” Belum beberapa saat, kedengaran Eidlan menambah bicaranya.
            “Lili Eldyra, Dyra kena ingat siapa diri Dyra. Bila Dyra kecewa dan lemah macam ni, ramai yang akan bertepuk tangan dan senang-senang mereka akan tamatkan riwayat Dyra. You know what,  if the world wanna break your heart, let it be. But don’t let it break your spirits. Ingat pesan usu ni. By the way, I love you.”
            Pelukkan pada lutut, aku eratkan. Bibir aku gigit semakin kuat. Dada sebu, terasa seakan ingin pecah. Kenapa? Kenapa perlu aku berdepan dengan takdir sekejam ini? Kenapa semua ni berlaku padaku? Kenapa sebesar ini dugaan yang aku perlu hadapi?

AKU usap bulu putih Yuuri. Dia leka dengan carrot yang sedang dikunyahnya. Aku renung Yuuri, namun yang aku nampak bukan arnab kesayanganku ni. Sebaliknya, aku seakan terlihat figura mama dan papaku. Mama dan papaku pernah aku temui dan yang tak pernah aku lihat wajah mereka. Mama.. Papa..
            "Yuri... kau sedih tak, hidup tak ada mama dengan papa?" soalku bersama sendu. Pandangan dah mula kabur dengan airmata. Rupa Yuuri pun dah berbalam-balam. Pun aku terus bertinggung di tengah laman, mengusap bulu Yuuri yang lembut.
            "Kat mana parents kau sekarang ya, Yuuri? Kau tak teringin ke nak jumpa dia orang? Yuuri, by any chance.." Aku cuba menahan sendu.     
            "By any chance.. Pernah tak kau.. Kau tengok muka.. Muka mama dengan papa kau..?" Aku tutup mulutku dengan tangan kiriku. Menahan esak tangis. Yuuri sedikit tersentak bila airmataku jatuh lalu menitis di atas hidungnya.
            "Aku tak pernah tengok muka mama aku, Yuuri. Muka papa aku pun aku tak tahu.. Tak tahu macam mana." Dan aku teresak semahu hati.
            "Dyra.." aku tak hiraukan panggilan Eidlan tu. Aku terus menangis, menangis dan menangis. Yuuri aku angkat dan aku bawa dalam pelukkan. Dan aku menangis lagi dengan penuh rasa hiba. Terasa diri sangat kasihan kerana tak punya mama dan papa. Malah tak pernah tahu bagaimana wajah mama dan papaku sendiri. Sampainya hati orang yang bunuh mama dan papa. Sampainya hati..!
            "Kenapa bunuh mama Dyra? Kenapa bunuh papa Dyra? Kenapaaa??" jeritku menghambur rasa marahku, entah pada siapa. Aku mengongoi kuat. Aku tersembam dalam pelukkan entah siapa. Aku tak dapat nak fikir apa-apa lagi. Aku dikawal sepenuhnya oleh emosi. Semua yang Eidlan sampaikan malam tadi, satu kejutan yang sangat besar dan berat untuk aku terima. Siapa yang mampu terima bila dapat tahu mama dan papa sendiri dibunuh?
            "Dyra.. Jangan macam ni. Be strong, dear." Pujuk orang yang memelukku. Dia mengusap kepalaku. Penuh kasih sayang. Aku kenal pelukkan ni, aku kenal suara yang memujukku ni. Aku lepaskan Yuuri dan membalas pelukkan daddy.
            "Daddy..." Aku tersendu lagi.
            "Ya, sayang. Daddy ni."
            "Kenapa dia bunuh mama Dyra? kenapa bunuh papa Dyra? Dyra sedih."
            "Syhhh.. Dyra jangan sedih lagi. Sepatutnya, bila Dyra dah tahu semua ni, Dyra kena jadi lebih kuat. Kalau Dyra lemah, macam mana Dyra nak berdepan dengan orang yang dah bunuh mama dan papa Dyra?"
            "Tapi Dyra tak mampu.."
            "Dyra.. Tengok sini. Tengok daddy." Daddy renggangkan pelukkan. Dia pegang erat kedua belah bahuku, memaksaku menghadapnya, memandang wajahnya. Bila aku masih tersedu sambil menunduk, daddy sentuh daguku dan diangkat sedikit. Dalam terpaksa, aku tatap jua mata daddy.
            Daddy tersenyum, memberikan aku semangat. Daddy usap ubun-ubunku. Makin lebat airmataku mengalir, membasahi pipi.
            "Dyra, daddy nak Dyra tahu. Daddy sayang sangat pada Dyra. Daddy tak pernah anggap Dyra anak angkat daddy sebab pada daddy, Dyra pun anak daddy juga. Malah Dyra lebih istimewa pada daddy sebab daddy sendiri yang sambut waktu Dyra lahir tau. Anak-anak daddy yang lain pun daddy tak sambut. Sebab tu, daddy sayang Dyra macam anak daddy sendiri." Daddy senyum lagi. Aku diam menahan esak.
            "Daddy tahu, Dyra sedih. Daddy tahu, bukan senang nak terima kenyataan bila dapat tahu keluarga kita pergi dengan cara macam tu. Daddy faham apa yang Dyra rasa. Kalau daddy kat tempat Dyra pun, daddy akan down macam ni." Daddy sapu lembut airmata di pipiku. Matanya nampak memerah.
            "Bangkitlah, sayang. Bangun. Daddy nak Dyra tahu, walaupun Dyra tak ada mama dan papa, Dyra ada daddy, ada ojii-san, ada Uya, ada Sandra, ada Eid, ada Rei, ada Noah. Kami semua sayang Dyra lebih dari segalanya. Bila Dyra sedih, bila Dyra jatuh macam ni, kami rasa kesakitan tu."
            "Tapi mama dengan papa.." Aku mula teresak kembali. Daddy tarik aku kembali ke dalam pelukkannya.
            "Syhh.. No more cry, dear. Daddy nak Dyra kuat. Bila Dyra dah bersedia, daddy akan bawa Dyra melawat kubur mama dan papa Dyra kat Malaysia. For now, daddy nak Dyra cool down dulu."
            Aku tarik tubuhku dari pelukkan daddy. Wajah daddy aku cari, menangih janjinya.
            "Betul?"
            Daddy tersenyum, yakin dan jelas.
            "Janji. Kalau daddy terlupa, Dyra ingatkan daddy. Okey?"
            Aku tersenyum meski mata masih kabur dengan airmata. Mama.. Papa.. Tunggu Lili, ya. Nanti Lili pergi melawat mama dengan papa.
            "Hmm.. Tengok. Macam ni cara memujuk." Ujar daddy agak kuat. Aku berkerut dahi melihat daddy yang sudah tergelak kecil. Dia menoleh ke belakang, aku ikut pandang. Kelihatan Eidlan, Rei dan Noah duduk berjuntai kaki di engawa, memerhatikan kami.
            Aku nampak Eidlan kesat air mata. Rei tutup muka, menangis barangkali. Noah? Dia beku, sekadar merenungku. Dalam.
            "Tiga orang jejaka kacak, satu pun tak boleh nak pujuk anak daddy ni. Nak daddy juga yang pujuk, ya." Usik daddy lalu mencuit hujung hidungku. Aku tergelak bersama daddy.
            Seketika, aku menoleh pada jejaka bertiga tadi. Aku picingkan mata sebagai tanda amaran yang aku belum maafkan mereka lagi.

AKU gigit bibir sendiri dengan dahi berkerut. Ini mesej dari siapa? Sejak kejadian malam tu, aku hampir terlupa untuk hidupkan kembali telefon bimbitku. Hari ni baru teringat nak beri nyawa pada si kecil ni. Hidup saja nyawa, terus masuk pesanan ringkas bertalu-talu. Ada beberapa dari nombor yang sama. Dan lebihnya dari nombor luar negara. Nombor mana ni? Macam nombor dari Malaysia., sebab waktu Tetsuya menetap di sana, kami selalu juga berhubung.
            -Eldyra, awak okey ke? Kenapa tak balas mesej saya? Kenapa saya call tak dapat? Awak buat saya risau.
                -Eldyra, awak marah saya ke? Saya minta maaf. Bukan saya sengaja tinggalkan awak hari tu. Saya ada hal penting nak uruskan.
                -Eldyra, saya betul-betul tak sedap hati. Awak okey ke tak ni? Mana awak pergi?
                -Tolonglah, Eldyra. Maafkanlah saya. Saya ikhlas nak kawan dengan awak.
                -Eldyra, kenapa senyap aje? Is everything okay? Atau kekasih pakcik awak tu yang tak bagi awak berhubung dengan saya?
                -Eldyra..
            Dan mesej yang seterusnya, masih ayat yang sama. Minta maaf dan bertanya tentang keadaanku yang terus-terusan menyepikan diri. Aku rasa aku tahu dia ni siapa. Tentu Za'id. Bukankah waktu di Rusutsu, dia yang menemui telefon bimbitku? Dan penyambut tetamu di resort itu pun ada pesan yang Za'id akan menghubungiku sendiri.
            Baru berkira-kira nak menaip untuk membalas pesanan tu, telefon bimbitku tiba-tiba dirampas. Aku terngadah. Wajah Noah di hadapanku, aku renung tajam. Tak puas hati. Dia masukkan telefonku ke dalam poketnya lalu bersandar tenang sambil membalas renunganku. Dia tayang muka tak berjiwa.
            Aku menadah tangan dengan raut tegang. Tapi Noah sedikit pun tak hairan. Masih mampu menjungkitkan keningnya, seakan mencabar kesabaranku.
            "Bagi balik telefon Dyra tu." tekanku.
            "Tak nak." balas Noah, bersahaja. Aku picingkan mata. Aku dah berapa hari tak ada mood nak layan orang dalam rumah ni, hari ni dia nak buat aku bertambah sakit hati pula. Orang lain sibuk memujukku, makhluk satu ni aje yang tak sudah-sudah nak cari pasal denganku. Agaknya, boleh putus kot nyawa dia kalau tak buat aku marah.
            "Dyra minta baik-baik, kan. Bagi balik."
            Dia sua poketnya padaku. "Ambillah." Dia mencabar. Aku tarik nafas dalam-dalam dan aku hembus kasar. Aku tak ada mood nak bergurau sekarang ni. Okey, nak aku ambilkan?
            Aku majukan langkah mendekati Noah dan dengan pantas aku seluk tanganku ke dalam poket seluar jeansnya. Bagaikan sudah mengagak tindakkanku, Noah terus menepis tanganku. Kami bergelut, masing-masing tak mahu mengalah. Dek kerana terlalu marah dan geram, aku gigit bahu Noah. Noah terjerit. Sakit dan terkejut. Dia menolak tubuhku agak keras hingga aku dapat rasakan tubuhku hampir tersembam di atas lantai.
            Mujur Noah sempat menarik tanganku, dan aku tersembam di atas dadanya. Mungkin kerana tindakkannya yang spontan, dia tak mampu mengimbangi tubuhnya hingga dia terlentang bersama aku yang masih berada di atas dadanya.
            Seketika, aku terdiam. Aku cuba mengawal rasa terkejutku kerana hampir-hampir nak tersembam tadi. Turun naik nafasku dek kerana penat bergelut dengan Noah tadi. Eh? Noah? Bukan tadi aku jatuh atas dada dia ke? Err..?
            Aku rapikan rambut yang sedikit menutup pemandangan. Aku pandang dada Noah, seketika aku mencari mata Noah. Kami berpandangan. Sedetik, dua detik.. Aku seakan hilang dalam renungan tu. Kenapa aku tak rasa 'dingin' seperti setiap kali kami berpandangan? Bukankah renungannya mampu membekukan air yang sedang hangat? Tapi kenapa kali ni, aku rasa pandangan tu berbeza?
            "Lili.." Panggil Noah. Sedikit berbisik. Aku diam. Menahan degupan jantung yang berdegup lebih laju dari sepatutnya. Inilah buat pertama kali aku menatap mata Noah dengan jarak tak sampai dua sentimeter pun. Baru aku tahu, mata dia cantik. Bersinar-sinar. Malah, setiap helaan nafasnya, aku mampu kira. Tapi, kenapa dia suka panggil aku Lili, ya?
            "Jangan berhubung dengan orang yang kau tak kenal." tutur Noah. Kenapa pesanan dia tu kedengaran seperti alunan lagu cinta yang indah? Eh, kenapa dengan aku ni? Takkan jatuh cinta dengan gay?
            "Janji dulu kau takkan layan mesej lelaki tu, baru aku bagi balik telefon kau." tambah Noah lagi. Janji? Sejak bila Noah pandai menyimpul janji denganku?
            "Janji?" Desak Noah, menagih janjiku. Aku diam, menatap terus matanya. Dalam kepala dah mula datang macam-macam muslihat keji.
            "Noah.." Panggilku, sedikit berbisik. Aku rapatkan lagi wajah kami. Noah pandang mataku, menanti bicara dariku. Tapi dia tak mampu menyembunyikan rasa terkejutnya dengan tingkahku yang semakin berani  secara tiba-tiba. Jangan risau, dia takkan buat apa-apa padaku punya. Sebab dia punya selera hanya pada lelaki saja. Aku gelak keji dalam hati.
            "Kenapa awak kacak sangat? Awak buat Dyra melting." bisikku hangat. Percayalah, inilah buat pertama kali aku berkelakuan 'panas' macam ni. Dengan gay pula tu.
            Noah terdiam. Aku pandang matanya berselang-seli dengan bibirnya. Bagaikan memahami keinginanku, dia semakin merapatkan bibirnya padaku. Sikit lagi. Sikit lagi nak dapat telefon aku ni. Jumpa. Aku terus tarik tangan yang sejak tadi berada di dalam poket seluar Noah.  Namun tiba-tiba..
            "Ini aje ke trick yang kau mampu buat?" soal Noah tiba-tiba saat bibir kami hampir bersentuhan. Aku terdiam, terkejut. Telefon yang sudah hampir keluar dari poket, tersekat bila Noah menepis tanganku. Sepantas itu juga dia menolak kepalaku. Dia terus duduk sekaligus buat aku tertolak ke tepi. Dia pandang aku dengan senyuman sinis.
            "Kenapa? Kecewa tak dapat cium aku?" soal Noah buat aku genggam penumbukku.
            "Sayangnya, kau bukan taste aku. Jadi aku terpaksa kecewakan kau." Tambah Noah lagi. Dia bangun dan berdiri di hadapanku. Aku ketap bibir bila Noah tayang senyum kemenangan.
            "Buat sementara ni, bagi aku pinjam telefon kau ya. Oh, jangan risau. Semua mesej Za'id tu, aku akan balaskan bagi pihak kau. Apa ya yang patut aku balas untuk semua mesej dia tu?" Noah melangkah perlahan ke arah shoji. Dia menoleh padaku seketika. Sebuah senyuman yang penuh dengan muslihat, dia berikan buat tatapanku.
            "Mungkin aku patut balas macam ni. Za'id yang kacak, jangan risaukan saya ya. Saya okey cuma tadi saya baru lepas bercium dengan si Noah gay tu. Walaupun dia gay, tapi dia lebih kacak dari awak, Za'id. Dan dia dah berjaya buat saya melting. Ikhlas dari, Eldyra yang comel." Bersama ayat terakhir itu, Noah terus melangkah pergi tanpa menoleh padaku lagi. Aku tarik nafas dalam-dalam dan..
            "Noah..!!!!" Jeritku bersama rasa marah dan sakit hati. Tak guna! Dia baca semua mesej aku! Dia intai aku dari tadi ke apa, ha?
           

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post