Bab 6
AKU terus pandang ke hadapan. Bukan pemandangan indah
Odori Park yang menjadi tarikkanku, sebaliknya aku rasa itu saja cara untukku
mengelak dari memandang Rei yang baru saja duduk di sebelahku.
"Dyra
nak duduk sini sampai bila? Tak sejuk ke?"
Aku
diam.
Terdengar
Rei menarik nafas dalam sebelum dihembus keluar. Dari ekor mata, aku lihat dia
menyeluk poket jaketnya dan sebatang rokok dibawa keluar. Kazuya yang sejak
tadi setia berdiri di sebelah kiri Rei dengan pantas menyalakan lighter untuk tuan
mudanya. Aku mengerling di sekitar kawasan. Sejak aku berteleku di sini pagi
tadi, orang-orang Rei tetap setia mengawasiku.
Percaya
atau tak, rupanya selama ni, setiap kali kakiku melangkah keluar dari kawasan
rumah Eidlan, aku diawasi oleh konco-konco Rei. Kenapa hari ni baru perasan?
Sebab selama ni aku tak pernah rasa nak ambil tahu tentang kelibat-kelibat
manusia yang berada disekelilingku. Tetapi sejak aku tahu tentang hakikat yang
aku adalah buruan manusia kejam di luar sana, aku jadi alert dengan keadaan
sekeliling.
"Dari
pagi sampai ke petang Dyra duduk sini. Tadi I datang ajak makan, Dyra tolak.
Lepas tu, Eid ajak balik Dyra tolak. Dyra tak lapar ke? Tak penat ke?" Dia
cuba mencari anak mataku dengan menjengah di hadapan wajahku, aku terus kakukan
diri. Buat masa ni, aku hanya boleh berinteraksi dengan daddy saja. Malah
Tetsuya dan Casandra yang tak henti-henti menelefonku pun, aku tak hiraukan.
Aku rasa semua orang disekelilingku telah menipuku. Mereka menyembunyikan
kebenaran tentang kisah silamku. Dan itu digelar satu penipuan.
Rei
mencapai jemariku yang bersarung dengan sarung tangan. Jemariku disulam dengan
jemarinya. Aku diam. Terus membeku. Aku tak mahu percayakan Rei mahupun Eidlan.
Mereka semua sepakat menipuku. Memperbodohkanku.
"Dyra..
I tak tahu macam mana nak pujuk Dyra. I tak tahu macam mana nak yakinkan Dyra.
I tak macam daddy, yang pandai tunjuk kasih dia pada Dyra. I hanya seorang
yakuza yang selalu selesaikan masalah dengan kekerasan dan keganasan. Tapi satu
yang Dyra kena tahu, apa yang I cakap, itu yang datang dari hati I."
Ya, aku
kenal Rei. Apa yang dia cakap, sememangnya itu yang lahir dari hatinya. Jadi
yang keluar dari mulut Rei, adalah kebenaran. Pada Rei, dari dia menipu lebih
baik dia merahsiakan. Dan mungkin kerana prinsipnya itu, dia lebih selesa
mendiamkan kebenaran itu dariku selama ni. Entah kenapa, prinsipnya yang satu
itu kini membuatkan aku terasa diri sedang dipersendakan.
"Dyra,
I'm trully sorry. I tak tahu apa yang Dyra tengah fikirkan tentang I, tapi I
dapat agak semua yang Dyra fikirkan, tak ada satu pun yang baik-baik. Kan?
Pandangan Dyra pada I mungkin dah berubah. Dan I rasa sekarang ni Dyra dah mula
hilang kepercayaan pada I." Dia hisap rokoknya yang sejak tadi dibiar
berasap. Seketika, dia lepaskan asap yang berkepul, agak jauh dari wajahku. Dia
tahu, aku tak suka dia merokok di hadapanku.
"Dyra
tahu tak, 17 tahun dulu, I cuma ada Sandra sebagai adik I. I ada Uya tapi Uya
tak serasi tinggal kat sini dan daddy hantar Uya kat Malaysia. I sayang adik-adik
I tapi waktu pertama kali daddy bawa Dyra datang ke rumah oji-san, I happy.
Happy yang tak dapat I nak cakap macam mana. Sejak baby lagi, Dyra seorang yang
ceria. Dan Dyra suka buat orang sekeliling Dyra tersenyum dengan gelagat
Dyra."
"Siapa
sangkakan, baby yang I dan Eid jaga 17 tahun yang lalu, hari ni dia dah dewasa.
Dah pandai, dah cantik, dah comel. You tahu tak Dyra, bila Dyra merajuk macam
ni, I teringat waktu Dyra umur 4 tahun. Dyra nak makan bubur yang nenek masak,
tapi I bawa lari bubur tu. Dyra menangis sungguh-sungguh sampai oji-san datang
dan marah I. Bila I pulangkan balik bubur tu pada Dyra, Dyra tak nak. Sampai ke
malam Dyra tak nak makan apa-apa. Nasib baiklah daddy ada, kalau tak, entah
sampai bila agaknya Dyra tak nak makan." Dia tergelak kecil. Tapi bunyinya agak sumbang di telingaku.
Aku
sepi. Namun entah kenapa, pandangan mataku mula dikaburi dengan air. Memoriku
sejak kecil seakan terpanggil tika ini. Bagai terlihat bebayang diriku sewaktu
kecil yang sangat dimanjakan oleh Eidlan, Rei, daddy dan oji-san. Aku hanya
sempat merasa kasih sayang nenek untuk seketika saja sebelum nenek pergi
meninggalkan dunia. Namun, tiada siapa dapat menyangkal kasih mereka buatku.
Casandra yang turut membesar bersamaku sendiri tak dimanja sebegitu.
"Waktu
I umur 15 tahun, daddy dan oji-san ceritakan semua tentang Dyra pada I. Dan
waktu itu, oji-san dah letakkan harapan dia untuk I jadi ketua yakuza, mewarisi
dia. Dan tugas pertama yang I perlu galas adalah jaga Dyra. Sembunyikan Dyra.
Selamatkan Dyra. I, Eid, Noah, daddy, oji-san. Kami semua berusaha sebaik
mungkin supaya tak ada siapa dapat kesan Dyra. Supaya Dyra selamat dari
sebarang ancaman."
Tepat jangkaanku, Noah juga tahu tentang semua
yang berlaku padaku selama ni. Patut pun waktu aku hampir diculik dulu, Noah
tiba-tiba munculkan diri dan selamatkan aku.
"Sampailah
satu hari, I tanya pada daddy, I tanya pada oji-san, I tanya pada Eid. Sampai
bila kita akan sorokkan Dyra? Sampai bila kita nak protect Dyra dalam senyap?
Sampai bila kita nak rahsiakan kebenaran dari pengetahuan Dyra? Daddy tak dapat
jawab. Oji-san senyap. Cuma Eid saja yang dapat bagi I jawapan masa tu. Kata
Eid, dia akan ceritakan semuanya pada Dyra bila dia yakin yang Dyra dah cukup
matang untuk berdepan dengan hakikat sebenar."
Rei
mengait lagi jemariku. Cuba menarik perhatianku yang kini semakin tak mampu
membendung airmata yang kian memenuhi empangan. Aku cuba bertahan untuk tak
mengerdipkan kelopak mata. Aku tak mahu menangis. Di hadapan Rei.
"Mungkin
Dyra rasa Eid terpaksa cerita semua tu sebab Dyra provok dia. Tapi pada I, tak.
Eid ada pilihan untuk terus menipu Dyra malam tu, tapi dia tak pilih untuk
menipu. Dyra tahu kenapa?"
Kaku.
"Antara
Eid dan I, Eid lebih dekat dengan Dyra. Eid lebih faham diri Dyra. I sayangkan
Dyra, tapi sayang Eid pada Dyra lebih dari segalanya. Dia tahu Dyra akan upset
dan down macam ni bila dia ceritakan semuanya pada Dyra tapi dia tahu Dyra ada
sesuatu dalam diri yang akan buat Dyra bangkit untuk berdepan dengan semua ni.
Dan sebab tu dia pilih untuk tak terus sembunyikan kebenaran dari Dyra."
Ya,
kasih Eidlan padaku tak mampu untuk aku kira. Lebih dari segalanya. Dia sanggup
sediakan apa saja yang aku perlukan. Apa saja bebelan dan rungutanku, dia
dengarkan saja. Usia remaja Eidlan lebih banyak dihabiskan bersamaku. Waktu
Eidlan sambung studi dulu pun, dia pilih universiti berdekatan saja. Dia tak
nak berjauhan dariku. Temannya hanyalah Rei hinggalah dia berkenalan dengan
Noah ketika tahun kedua di universiti. Aku tahu, apa saja yang Eidlan buat
sepanjang hidupnya hingga ke hari ini, hanyalah untukku.
"Dyra,
kalau Dyra nak marah I dan Noah, marahlah. I terima. Noah pun tak ambil peduli,
I rasa. Tapi jangan buat Eid macam tu. Dia sayangkan Dyra. Dia sedih bila Dyra
ignore dia macam ni." Pujuk Rei. Aku diam lagi.
Aku
sedar, sejak kejadian malam tu, aku terus meletakkan tembok antara Eidlan
denganku. Aku tak mahu pandang muka dia, bercakap dengan dia apatah lagi. Aku
bertindak menjauhi dirinya. Setiap pelawaannya untuk berbincang, aku tolak
mentah-mentah. Aku tak peduli dengan wajah terkilannya setiap kali aku abaikan
perhatian yang dia cuba berikan.
Airmata
yang kutahan sejak tadi, dah mengalir, mengikut lekuk pipi sebelum menitis
jatuh di pehaku. Perlahan Rei senuh pipiku yang basah dengan jarinya. Sikit
piun aku tak mahu mencari matanya. Aku tak mahu nampak lemah di hadapannya.
"I
ada meeting kejap lagi. Dyra ambillah berapa banyak masa yang Dyra perlukan
untuk bersendiri. I harap Dyra tak kisah I tinggalkan orang-orang I kat sini.
By the way, kalau Dyra perlukan apa-apa, panggil Kauto ya. Dia ada kat belakang
Dyra dari Dyra duduk sini pagi tadi lagi. Dan I tak terkejut kalau Dyra tak
perasan." ujarnya panjang lebar.
Rei
menepuk lembut jemariku yang pegangnya sejak tadi sebelum diletakkan diatas
pehaku kembali. Dia cuba menjengah, mencari anak mataku. Aku mengelak. Menoleh
ke kanan. Terdengar Rei tergelak perlahan. Kecewa bunyinya.
"Kalau
Dyra rasa dengan melindungi Dyra selama ni adalah satu kesalahan besar, Dyra
bukan saja buat Eid terkilan, I pun akan rasa sama." Ujar Rei sebelum
bangkit dari duduknya.
"Kalau.."
Aku cuba kuat untuk menuturkan sepotong ayat buat Rei. Rei berdiri di
hadapanku. Aku menarik nafas dalam, aku balas renungan matanya yang sejak tadi
tak lelah menatapku.
"Kalau
betul Rei sayangkan Dyra, tolong Dyra.. Tolong Dyra dapatkan gambar mama dan
papa Dyra." Aku tak peduli dengan airmata yang terus mengalir deras. Rei
membalas renunganku dengan satu renungan sayu. Matanya memerah.
"Dyra..
Dyra nak tahu muka Dyra ikut mama atau papa Dyra. Dyra.. Dyra nak tahu, antara
Dyra dengan mama, siapa lagi cantik. Dyra.. Dyra rindu mama. Rindu papa.."
Dan aku teresak buat kesekian kalinya. Pantas aku tutup wajahku dengan kedua
tapak tangan. Aku tak mahu Rei lihat tangisanku. Tetapi tangisanku makin
menjadi-jadi bila Rei menyentuh bahu kiriku. Perlahan, Rei menarik tanganku.
Dia lap lembut pipiku yang basah. Aku cuba menahan diri dari teresak kuat. Rei
tersenyum.
"Untuk
Dyra, I akan buat apa saja. I akan cuba cari gambar parents Dyra tapi dengan
syarat, ni hanya antara kita berdua aje. Jangan cerita pada sesiapa termasuk
daddy atau Eid. Boleh?" Aku angguk saja. Rei tekap kedua tapak tangannya
yang bersarung tangan pada kedua belah pipiku. Kami bertatapan. Wajah bengisnya
langsung tak kelihatan setiap kali bersamaku.
"Dan
satu lagi, I nak Dyra janji yang Dyra takkan sedih-sedih lagi. Tak nak menangis
lagi. I nak Dyra kuat. I nak Dyra berdepan dengan masa depan Dyra dengan
berani. Boleh?" Dia menanti jawapanku bila aku sekadar menyepikan diri.
"Untuk
arwah mama dan papa Dyra, Dyra kena
kuat. Kan?"
Aku
sepi, namun kepalaku ligat berfikir. Menimbang baik buruk dan apa yang
sepatutnya aku perlu lakukan untuk berdepan dengan masa depanku. Sampai bila
aku perlu menyembunyikan diri seperti ini? Sampai bila aku harus jadi buruan
musuh di luar sana? Sampai bila aku perlu penasaran tentang asbab arwah mama
dan papaku dibunuh?
Kematian
arwah mama dan papa perlukan keadilan. Dan kalau bukan aku yang perlu lakukan
sesuatu, siapa lagi? Dan untuk lakukan semua tu, aku sendiri yang perlu kuat.
Demi arwah mama dan papa, aku bakal korbankan dunia remajaku dan menggalas
beban besar di pundakku.
"Dyra
cuba." tuturku perlahan. Masih ragu-ragu.
Rei
tersenyum, lebar. Dia menggosok kepalaku. Aku biarkan rambutku yang sedikit
berselerak.
"Macam
tulah kesayangan I. Okey, I kena pergi dulu. Jumpa Dyra kat rumah ya. Jangan
duduk sini lama sangat." Pesan Rei. Sempat dia mencuit hujung hidungku
sebelum melangkah pergi, diiikuti oleh Kazuya.
Aku menarik nafas dalam, berpeluk tubuh. Mata aku fokus ke hadapan,
lagi. Merenung kosong.
PENAT duduk berjam-jam di Odori Park, aku mengatur
langkah tanpa hala tuju. ENtah ke mana kaki membawaku, aku biarkan saja. Selagi
tak penat, selagi masih mampu berjalan, aku terus berjalan. Sedikit pun aku tak
beri perhatian pada keadaan sekelilingku. Renunganku kosong namun di dalam
kepalaku, macam-macam perkara yang bermain tapi tiada satu pun yang aku
fokuskan. Bercelaru.
Entah
berapa kali aku terlanggar bahu orang, aku sendiri tak sedar. Dan entah berapa
kali aku hampir tersungkur bila tubuh dirempuh dari belakang. Beberapa kali
juga aku dihon bila melintas tanpa memandang kiri kanan. Ah, aku tak peduli
semua tu. Kalau dah ajal aku, di mana pun aku boleh mati. Dan seandainya saat
ini musuh datang menyerangku, aku tak rasa nak melawan. Mungkin.. Mungkin aku
akan serah diri dengan rela.
Dyra,
baru tadi kau janji dengan Rei nak jadi kuat. Tapi, tak sampai dua jam pun lagi
kau berjanji, sekarang kau dah down semula? Selama bertahun-tahun, mereka
bermati-matian menyelamatkan kau, sekarang dengan mudah kau nak menyerah diri?
Jadi untuk apa usaha oji-san, daddy, Rei dan Eidlan lindungi kau selama ni?
Dyra, nampaknya mereka lebih sayangkan nyawa kau berbanding diri kau sendiri.
Aku
tergelak. Pahit. Perit. Pedih. Sejujurnya, aku buntu. Aku tak tahu apa yang
perlu aku lakukan. Rei dan daddy nak aku jadi kuat? Kuat yang macam mana?
Eidlan nak aku berubah? Berubah jadi apa? Semua tu bukan perkara mudah. Cakap
hari ni, esok dah jadi. Yang mereka mahukan itu, sesuatu yang tiada dalam diri
aku. Dan untuk mencari kekuatan tu, untuk melakukan perubahan tu, ambil masa.
Mungkin bertahun.
Bertahun?
Ya, bertahun. Apa yang ada dalam diriku hari ni, adalah diri aku. Aku yang
kalut, aku yang bersahaja, aku yang cuai, aku yang manja, aku yang sentiasa
bergantung pada orang sekeliling, aku yang lemah, aku hanya tahu bersuka ria,
aku yang buat apa-apa tanpa mahu berfikir. Dan semua yang tak sempurna ada
dalam diri aku sejak kecil lagi.
Macam ni
ke nak berdepan dengan musuh?
Aku
duduk di bahu jalan. Tak peduli dengan mata yang memandang. Aku tunduk,
merenung jalan bertar yang diselaputi salji. Kenderaan yang lalu lalang di
hadapanku, sedikit pun tak mengganggu duniaku. Rambut panjang yang entah macam
mana rupa, aku tak hiraukan. Jangan kata ikat, sikat pun asal boleh saja. Aku
dah tak pedulikan dengan penjagaan diri.
Sejak beberapa hari yang lalu.
Lemah
sangat kau, Dyra. Kau lemah sangat. Kau lemah dengan perasaan kau. Kau hilang
dalam kesedihan kau. Kau larut dengan emosi kau. Kau kalah dengan amarah kau.
Kau hilang pertimbangan dengan dugaan yang datang. Kau lemah bila diuji. Dan
layakkah kau untuk menuntut keadilan atas kematian arwah mama dan papa kau?
Layakkah kau, Dyra?
Aku
lipat kaki yang sedikit melunjur sejak tadi. Lutut aku rapatkan ke dada. Dagu
aku sangkut pada lutut. Mata mula bergenang. Lemah. Longlai. Ya, aku lemah. Aku
bukan sesiapa yang punya kekuatan untuk berdepan dengan masa depanku. Aku
hanyalah budak manja yang hanya tahu bergantung harap pada insan-insan
disekelilingku. Jadi, kenapa beri aku beban sebesar ni? Kenapa tak bagi pada
orang lain? Kenapa?
Aku
tersentak bila tiba-tiba terasa tangan kiriku dipegang dan seketika ditarik.
Aku terngadah. Fikirkan musuh yang datang cuba untuk membunuhku, rupanya si
gay. Aku tarik semula tanganku, tak mahu disentuh. Noah tak mahu lepaskan
sebaliknya dia terus menarikku hingga aku terpaksa bangun.
"Cukup-cukuplah
dengan layan emosi kau tu. Aku dah tak boleh tahan tengok muka sebek kau ni,
tahu tak?" suara si hati beku tu mula melancarkan serangan. Aku diam saja,
terus menunduk. Tak mahu layan.
"Oh
my God, kau betul-betul dah rosakkan pemandangan dalam dunia ni dengan tayang
muka tak siap kau tu. Oh my.. Sakitnya mata aku." Rengus Noah tanpa
memepedulikan keadaanku. Dasar gay tak berhati. Tak berperasaan. Bila aku terus sepi, tak melayan
provokasinya, dia terus menarikku ke arah keretanya. Pintu sebelah penumpang di
buka kasar kemudian tubuhku ditolak. Aku terduduk. Terus pintu ditutup.
Seketika, Noah turut masuk dibahagian pemandu.
Dan aku
baru terfikir, sejak bila kereta Noah terparkir di tepi jalan ni? Betul-betul
di tempatku berteleku tadi. Lama dah ke dia di situ? Dia ikut aku ke? Hmm.. Tak
mungkin. Bukankah Rei dah hantar Kauto untuk mengawasiku? Aku pandang Noah di
sebelah kiri, dia sedang bertelefon.
"Eid.
Ya. Aku dengan dialah ni. Tadi Rei dah call aku. Hmm.. Ya.. Ya.. Aku tahulah.
Kau settlekan dulu bahagian production tu. Tadi aku nak check mesin tu, Rei
call. Aku terus keluar. Kejap lagi aku singgah kilang. Hmm.. Fine. Sayang
konon. Simpanlah sayang kau tu."
Aku
tercebik dalam tak sengaja. Eidlan dengan Noah bercakap siap bersayang-sayang.
Tolonglah. Geli kot. Bila agaknya Eidlan tu nak cari kekasih yang berjantina
perempuan agaknya.
Mati
saja talian, Noah terus campak telefonnya di atas dashboard. Dia beri lampu
isyarat kanan, pasti tiada kereta baru dia mulakan pemanduan.
"Kalau
tak menyusahkan orang, tak boleh ke? Kau ingat aku tak ada kerja lain ke selain
nak melayan kerenah kau?" Apa tu? Rungutan ke?
"Berhentikan
kereta ni." Arahku, dan ianya bukan gurauan.
"Tak
sempat. Aku nak cepat. Tapi kalau kau nak turun juga, kau lompat ikut
tingkap." Noah tekan butang suis power window, tingkap sebelahku dibuka.
"Pergilah."
Arahnya. Tiada nada senda, tiada juga gaya bergurau. Dia mencabar. Dia
maksudkan apa yang dia katakan. Aku menjengah kepala, melihat keluar melalui
tingkap. Dengan kelajuan yang Noah pandu, kenderaan di luar yang bertali arus,
aku jadi kecut perut. Aku telan liur. Kembali bersandar pada kerusi.
Aku
toleh Noah. Dari sisi, aku nampak dia menarik senyum sinis sebelum butang auto
ditekan lagi, dan tingkap naik semula.
"Kalau
dah tahu penakut, jangan buat-buat berani." Tekan Noah. Bersahaja.
"Yang
awak nak marah-marah kenapa? Ada Dyra suruh awak datang ambil Dyra? Ada? Tak
ada, kan? Awak yang menyusahkan diri sendiri, kenapa nak kata Dyra pula yang
menyusahkan awak?" soalku, berani.
Noah hentak
stereng keretanya. Ternaik bahuku dek kerana terkejut. Kenapa Noah marah-marah
macam ni? Hilang dah memori Noah yang romantik semalam. Diganti dengan Noah
yang sedang mengamuk mengalahkan Incredible Hulk. Nasib tak bertukar hijau
saja.
"Sebab
kau suka buat orang risau..! Rei risau. Eid risau. Daddy kau risau. Oji-san
risau. Kau keluar dari pagi, merayap entah ke mana-mana. Berjalan tak ada hala
tuju. Duduk kat tepi jalan, menangis. Rambut serabai. Diri tak terurus. Telefon
kau, kan aku dah pulangkan. Apasal kau tak bawa? Ni, dompet pun tak bawa. Eh,
budak. Kau letak kat mana otak kau, ha?
Kau ingat dalam dunia ni, kau seorang aje ke yang ada masalah? Apa yang
kau cuba tunjukkan bila buat perangai macam ni, ha?" Si 'dingin' yang
selama ni jarang menunjukkan emosinya, hari ni berubah serta-merta. Kerana apa?
Kerana aku dah menyusahkan dia. Sedangkan aku tak minta pun perhatian dari dia.
"Susah
sangat ke kau nak terima hakikat yang kau sedang diuji? Kau sedang diduga? Just
face the facts and fight for your future. That's it..! Kau tak perlu pun nak
meratap mendayu-dayu sampai berhari-hari macam
ni. Kau tak perlu nak seksa diri kau sendiri. Itu pun susah ke?!"
Dengan kasar Noah memberikan 'nasihat'nya. Aku tekup telingaku dengan tangan.
Aku tak mahu dengar.
"Diam!
Diam!"
"Damn
it, Dyra..! Tolong berhenti buat aku sakit hati dengan perangai tak matang kau
ni, boleh tak?!" Noah membentak tiba-tiba. Terkejut. Buat julung kalinya,
si ais dari kutub utara tu mampu membentak. Aku pejam mata rapat-rapat namun
aku dapat rasa airmataku kembali mengalir.
"Stop
crying, will you?!" tengking Noah lagi.
Peliknya,
lagi dipaksa berhenti menangis, semakin kuat pula esakkanku. Bukan kerana sedih
ditengking sebegitu oleh Noah, tapi aku marah pada diriku sendiri kerana aku
tak mampu mengawal emosi. Marah pada diri sendiri kerana terlalu lemah
dihadapan Noah. Marah pada diri sendiri kerana tak mampu menepis setiap
tengkingan Noah tadi. Dan aku menangis, lagi, lagi dan lagi.
Arrrrr Miz.. mana Bab yang lain... ??
ReplyDeleteHehehe I like Noah so cool...
Hi dear.. Noah dah pun dibukukan tahun lepas dear.. Bolehlah dapatkan dikedai buku.. Tajuknya Polaris.
Delete