Bab 5
“MASUK!” Tekan lelaki berbaju
hijau. Nadanya cuba dikawal, tak mahu ada orang sekeliling sedar akan situasi
yang sedang berlaku.
Badan
Rayhan ditolak masuk ke dalam van hitam. Rayhan cuba melawan, pun hanya
seketika bila dia terasa kulit pada bahagian pinggangnya ditembusi hujung mata
pisau. Perit! Pantas dia masuk dan duduk di bahagian belakang van. Lelaki baju
hijau turut masuk dan duduk di sebelah Rayhan, mata pisau terus-terusan diacu
pada tubuh remaja lelaki itu.
“Aku
suruh kau hantar barang pada Tam je, yang kau angkut budak-budak ni, apehal?!”
Jerkah seorang lelaki bertopi di bahagian pemandu. Lelaki itu menoleh ke
belakang dengan muka bengang.
“Remy tulah, bodoh. Bagi barang sampai kantoi kat budak-budak ni. Kalau budak-budak
ni report polis, mati kita!”
“Kau
tu yang bahlul. Aku suruh tunggu Tam kat luar, kau degil. Nak juga masuk dalam.
Dasar bangang! Dah, yang kau ni diri apa lagi? Masuklah!” Lelaki berbaju hitam
pula menolak tubuh Yusri. Hampir saja budak kurus tu tersungkur di atas lantai
van.
Tam
pula sekadar memerhati tapi bibirnya tak lekang dari senyuman keji pada Rayhan
di dalam van yang sedang memandangnya. Malang nasib juniornya itu. Boleh pula
Rayhan dan Yusri nampak waktu Mail dan Remy beri ‘barang’ berupa dadah jenis
syabu. Biasa budak-budak gelar dadah berbentuk kaca pecah tu sebagai ‘ais’
atau ‘batu’. Ya, dialah orang yang bertanggungjawab menjual barang terlarang
itu di dalam sekolahnya atau digelar sebagai tokan.
Apa
boleh buat, permintaan dari kalangan pelajar sekolah sangat luar biasa. Dan dia
hanya membantu mereka untuk mendapatkan bekalan disamping tu, dia juga ‘kaki
stone’ tegar. Dadah tu sangat membantu dalam dia mengulangkaji pelajaran, malah
pengambil mampu berjaga tanpa tidur hampir tiga hari. Sejak tahun lepas lagi
dia giat dengan aktiviti haram tu tanpa dapat dikesan oleh pihak sekolah
walaupun ada antara pelajar sekolah yang dah terkantoi sendiri. Tapi tahun ni,
boleh pula aktivitinya kantoi pada juniornya itu.
“Hei!
Semua tak boleh diharap. Menyusahkan!” bentak pemandu itu lagi. Dia menoleh ke
depan dan tika itu matanya terpandang kelibat seorang gadis berambut panjang
sedang berlari ke arah vannya.
“Duh,
masalah lagi. Siapa pula budak perempuan tu?!” Tengking si pemandu pada semua
yang ada di situ.
Yusri
tak jadi masuk, dia menoleh ke belakang walaupun dia dah terasa kulit pada
bahagian belakang pinggangnya tertusuk hujung pisau. Hampir tersembul biji
matanya bila ternampak Dara yang sudah menghampirinya. Sempat Yusri bagi isyarat
mata supaya jangan datang dekat tapi Dara seakan tak mengerti. Dahinya
berkerut, lalu terus mendapatkan Yusri.
“Korang
nak pergi mana? Ni, aku nak pulangkan dompet Ray. Mana dia?”
Dara
pandang satu-persatu wajah yang berada di sebelah Yusri, kemudian pada Tam yang
berdiri tak jauh darinya. Lalu kepalanya terjengah-jengah ke dalam van. Seorang
pemandu dengan muka ketat dan Rayhan berada di tempat duduk paling hujung dan
paling belakang van bersama seorang lelaki berbaju hijau yang dia nampak ketika
di lobi tadi.
“Ray!
Kau..” Dara terdiam bila ternampak Rayhan seakan sedang membari isyarat dengan
matanya. Mengarahkan dia supaya beredar dari situ.
“Kenapa..”
“Aku
cakap lari! Lari Dara!” Jerit Rayhan tiba-tiba sekaligus menyentak Dara.
Dan
tika itulah dia ternampak sebilah pisau dihunus pada tubuh Rayhan. Dara kalih
pada Yusri dan dia juga nampak benda yang sama. Panik, Dara mengundur.
Sayangnya, semua tu dah terlambat bila Tam bertindak memeluk tubuhnya dari
belakang. Dompet Rayhan yang dipegang, jatuh di atas jalan.
“Angkut
sekali budak tu. Boleh juga buat ‘lauk’ Black malam ni.” Arah si pemandu.
“Aku
tak nak. Lepaskan aku!” Rontaan Dara sebaliknya hanya mengundang padah bila Tam
bertindak mengeluarkan pisau yang tersisip pada tubuhnya lalu dihunus pada perut
Dara.
“Kalau
kau nak pisau ni tembus kat perut kau, melawanlah lagi.” Bisik Tam, tajam.
Bibir
Dara terketar-ketar, malah tubuhnya ikut sama menggigil. Dia ketakutan. Kenapa
tiba-tiba dia terjebak dengan sesuatu yang bahaya seperti ini? Apa yang sedang
berlaku sebenarnya? Ayah.. Dara takut.
Tubuhnya
didorong masuk ke dalam van. Dalam keterpaksaan dan ketakutan, dia duduk jua di
sebelah Yusri. Sempat Yusri berbisik meminta maaf padanya. Pasti Yusri
menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang berlaku. Dara ketap bibir, menahan
tangis. Tak mampu dia nak membalas bisikan Yusri. Sumpah, dia takut.
“Jalanlah!
Kau tunggu apa lagi?” Jerkah lelaki berbaju hitam yang duduk di sebelah Dara.
Ternaik bahu Dara, terkejut dan ketakutan.
Tatkala
van mula bergerak, Dara pandang pondok pengawal dengan mata yang sudah kabur.
Dan di situ, dia ternampak kelibat Zayn sedang berlari keluar melepasi pondok
pengawal dalam keadaan cemas. Matanya melingas ke kiri dan kanan, seakan
mencari sesuatu atau seseorang. Zayn cari dia ke?
“Zayn!!
Aku kat sini! Zayn!” Teriak Dara dan pang!! Dara jatuh pada tubuh Yusri. Pantas
Yusri menyambut kepala Dara yang sudah terkulai. Pengsan!
“Dara!!”
Jerit Rayhan dan Yusri, terkejut dengan aksi ganas lelaki berbaju hitam itu.
“Kalau
kau nak dia selamat, jangan buat benda bodoh!” Tengking lelaki itu. Sekaligus
mengunci mulut Rayhan dan Yusri.
LARIAN Zayn terhenti di
tengah-tengah jalan laluan masuk asrama, tak jauh dari pondok pengawal.
Telinganya bagai terdengar suara Dara menjerit memanggil namanya. Tapi mana
dia? Mana Dara?
Matanya
mengitari keadaan sekeliling sebelum pandangannya terkunci pada sebuah van
hitam yang sedang bergerak laju. Mata dipicingkan, cuba melihat ke dalam van
dengan menembusi kaca bertinted gelap itu, tapi pandangannya terhad. Entah
kenapa, nalurinya kuat mengatakan Dara, Yusri dan Rayhan ada di dalam van
tersebut.
Zayn
cuba mengejar van itu tapi van tu dah bergerak jauh. Sekali lagi kaki Zayn
terhenti. Kepala dipaling ke belakang, melihat di mana kemungkinan van itu
diparkir sebentar tadi. Dan di hujung sana, di tepi jalan besar dia ternampak
benda hitam terdampar. Pantas Zayn berlari ke arah tersebut dan tika itu
jugalah Fateh dan Aira muncul.
“Kau
kenapa Zayn? Asal kau cemas tiba-tiba? Dara mana?” Aju Fateh bertubi-tubi
sambil menyaingi larian Zayn.
Zayn
diam, tak menjawab. Tak, sebenarnya dia tak berani nak jawab apa-apa, dia takut
dia tersilap perkiraan. Dia takut semua tu hanya prank semata-mata. Dan
selebihnya, hati dia sedang bertingkah. Menidakkan kejadian itu sebagai satu
prank, teman-temannya dalam bahaya.
“Weh,
kau dengar tak? Dara mana? Ray dengan Yus mana? Dia ikut kawan-kawan dia, kan
tadi?” Tekan Fateh lagi dan tika itu, Zayn dah berhenti berlari.
Mata
Fateh memerhatikan Zayn yang membongkok seketika, memungut sesuatu di atas
jalan tar sebelum kembali menegak. Pantas, Fateh merampas dompet hitam dari
tangan Zayn. Dompet dibuka, terpampang sekeping i/c biru dengan nama
pemiliknya. Mohd Rayhan Anuar. Fateh pandang Zayn dengan mata melototnya.
“Zayn!
Jawablah soalan aku! Diorang mana? Ada benda buruk jadi pada diorang ke?
Jawablah!” Jerkah Fateh, garang. Bibirnya terketar. Cemas, gusar dan takut,
semuanya bersatu.
Aira
yang menjadi pemerhati sejak tadi, perlahan menarik dompet dari tangan Fateh.
Tangannya sedikit menggeletar. Dia tahu ada benda buruk sedang berlaku bila
melihatkan tingkah Zayn sejak berlari keluar dari lobi tadi. Tak, bukan sejak
lelaki tu berlari tapi sejak lelaki itu berdiri kaku selepas Yusri dan Rayhan
melepasi tubuhnya di lobi. Dia nampak perubahan pada bahasa tubuh lelaki itu.
Dan yang menguatkan lagi naluri Aira bila lelaki tu berlari laju mengejar
langkah Dara.
“Zayn,
beritahulah kitorang apa yang dah jadi sebenarnya. Saya risaukan Dara.” Pinta
Aira dengan nada lembutnya. Dompet Rayhan ni sepatutnya ada pada Dara, tapi
kenapa sekarang ianya terdampar di atas jalan raya?
Zayn
melepaskan rengusan. Marah pada diri sendiri sebab terlalu lambat untuk
bertindak. Juga gusar memikirkan keadaan teman-temannya.
“Aku
rasa diorang kena culik.”
“What?!”
Terjerit Fateh dek kerana terkejut. Aira pula tersentak, matanya merenung dalam
wajah Zayn. Tak nampak Zayn sedang bergurau. Ya, Zayn tak bergurau, dia serius.
“Macam
mana pula tiba-tiba boleh kena culik? Siapa yang..” Soalan Fateh termati bila
mindanya terimbas kejadian di lobi tadi. Yusri dan Rayhan berjalan bersama Tam
dan dua orang lelaki yang tak dikenali. Kemudian Dara mengekor jejak kumpulan
lelaki tersebut dan..
“Tam?
Tam, kan yang jadi punca?” Soal Fateh, meminta kepastian.
“Aku
tak pasti tapi kemungkinan besar, ya.” Jawab Zayn. Dia cuba berfikir, mencari
jalan untuk mendapatkan teman-temannya tapi bagaimana?
“Argh!
Patutnya masa kat lobi tadi lagi kita tegur Ray, tegur Yus. Kalau tak, tak jadi
macam ni.” Sumpah, Fateh rasa menyesal. Kalaulah dia tak terlalu fikirkan tentang
gap yang wujud antara mereka, tentu di lobi tadi lagi dia dah berjaya tarik
Rayhan dan Yusri untuk lari dari Tam dan kawan-kawannya.
Zayn
bertinggung sejenak. Apa nak buat? Apa nak buat? Mommy? Yes, mommy!
“Aku pergi report pada warden, ya.” Beritahu
Aira.
“Kejap.”
Zayn berdiri semula. Anak mata birunya menatap wajah Aira.
“Korang
pergi balik dorm dulu. Aku pergi cari jejak diorang.”
“Apesal
pula? Aku nak ikut!” Sanggah Fateh, tak puas hati.
“Bahayalah,
Zayn. Aku rasa kita patut bagitau warden je, biar warden settlekan.” Aira memujuk dan dia rasa itu jalan paling rasional yang dia dapat fikirkan.
Zayn
menggeleng.
“Aku
tak rasa cara tu sesuai. Kau ingat warden senang-senang nak percaya ke diorang
kena culik? Kat tempat awam, terang-benderang lagi. Possible ke? Kau tengok,
mana ada cctv pun untuk jadi bahan bukti. Dan kalau warden percaya pun, diorang
kena tunggu 24 jam untuk buat laporan pada polis sebab kita tak ada bukti yang
diorang kena culik. Aku sendiri tak pasti dia kena culik ke tak, so please.
Bagi aku pastikan dulu.”
“Aku
setuju. Aira, kau naik dorm dulu, tunggu sampai 24 jam. Kalau tak ada apa-apa
yang serius dan kitorang dapat cari diorang, kitorang call kau. Tapi kalau
lepas 24 jam pun tak ada berita dari kitorang, kau bagitau warden.” Tambah
Fateh.
Zayn
paling pada Fateh dengan kerutan di dahi. Lebih pula dia ni, bila masa entah
Zayn ajak Fateh sekali. Fateh yang sedar ditenung, membalas pandangan Zayn
dengan lagaknya.
“Apa?
Aku dah cakapkan tadi, aku nak ikut.” Ujar Fateh tanpa rasa bersalah.
“Tapi
Hana? Patut tak aku bagitau dia?” Yalah, Rayhana tu kembar Rayhan, kan.
“Jangan.
Aku tak nak benda ni kecoh. Dah, kau naik dulu.” Arah Zayn seraya membawa
keluar telefon lipatnya.
Tanpa
banyak bicara, Aira terus berlari masuk ke perkarangan asrama. Fateh memerhati
sehingga tubuh gadis itu hilang ke dalam bangunan aspuri.
“Helo,
abang Cak. Aku ni, Zayn. Aku nak minta tolong tapi make sure mommy tak tahu hal
ni.” Pesan Zayn siap-siap pada personal assistant merangkap penyiasat peribadi
mommy.
Dia
tahu mommy dalam diam menyuruh abang Cak menyiasat pergerakan daddy. Mungkin
mommy risau daddy ada simpan perempuan kot. Sebelum ni, dia ada minta abang Cak
carikan latarbelakang tujuh teman sekumpulannya itu, sebab tu dia mampu jawab
soalan Rayhan dengan tepat, waktu di pejabat Madam Salmah.
“Ha,
okey. Okey. Nak minta tolong apa?”
“Tolong
check nombor plat van BJK 1010. Dan kalau boleh, tolong dapatkan lokasi van tu.
Sekarang ya, abang Cak.”
Fateh
yang mendengar, dah mula sangsi. Zayn call penyiasat ke? Siapa Zayn sebenarnya
ni? Siap ada penyiasat peribadi lagi.
Tamat
talian, Zayn menoleh pada Fateh bila tersedar dirinya ditenung.
“Kau
memang suka tenung muka aku ke? Apesal? Jatuh cinta dah?” Perli Zayn dan terus
berlalu sambil berlari mendapatkan teksi yang kebetulan berhenti tak jauh dari
tempat mereka berdiri. Menyedari Fateh masih kaku di tempat dia berdiri, Zayn
menoleh.
“Kau
nak ikut ke tak?” Laung Zayn.
Fateh
buat muka sebelum berlari ke arah teksi tersebut.
SEMENTARA di dalam dorm Anggerik,
Marissa terus menatap tajam tingkah Rayhana yang tak tahu menghormati privasi
orang lain. Bukan main kuat dia buka lagu di radio. Habis terkekak sebentar
tadi, Rayhana terus keluar. Entah ke mana perginya. Bila dia masuk balik ke
dalam dorm, terus dia buka radio sekuat-kuatnya. Dasar dengki, tak boleh tengok
orang lain aman. Tahulah weekend, hari bebas menggunakan radio dan telefon
bimbit, tapi berpada-padalah sikit.
Marissa
capai bantalnya lalu diangkat tinggi sebelum dibaling kuat ke arah Rayhana yang
sedang bersandar di kepala katil sambil membaca komik. Terkejut dengan balingan
tu, Rayhana merengus lalu menjeling pada Marissa.
“Telinga
kau pekak ke? Buka radio pelan-pelan, memang tak boleh dengar, eh?” Ujar
Marissa sedikit menjerit. Macam nak tercampak anak tekaknya.
“Suka
hati akulah!” balas Rayhana dan kembali pada komiknya.
“Ishh!
Menyakitkan hatilah dia ni.” Bebel Marissa sebal lalu bangkit dari katilnya.
Kaki di hala pada katil Rayhana lalu butang off pada badan radio kecil itu
ditekan kuat, kalau boleh dia nak radio tu berkecai terus. Baru puas hati
Marissa.
“Woii!”
Jerit Rayhana sebaik lagu pada radionya mati. Komik dihempas di atas tilam.
Muka Marissa dipandang marah.
“Apa
woi, woi? Nama tak ada? Huh!” Bantal miliknya yang dibaling tadi, dicapai
semula dan terus berlalu dengan gaya kekwatnya. Kalau Rayhana buka lagi radio
tu, Marissa bersumpah akan campak radio tu keluar dari tingkap hostel. Siap!
Terhenti
sejenak langkah Marissa bila matanya terpandang kelibat Aira yang baru masuk ke
dalam dorm mereka sebelum dia membuang pandang lalu kembali melangkah menuju ke
arah katilnya.
Aira
masuk ke dalam dorm dalam keadaan yang agak longlai bersama plastik-plastik
makanan milik Dara dan Zayn. Aira letak plastik-plastik dia atas lantai, di
sebelah katil Dara sebelum dia berlalu ke katilnya. Perlahan dia menjatuhkan
punggung di atas tilam empuk bersama wajah resah dan sedihnya. Dia mengeluarkan
isi dari poket seluar sukannya lalu barang tersebut diletakkan di atas tilam
lalu ditenung lama.
Dalam
diam, setiap tingkahnya diperhatikan oleh Rayhana dan Marissa dari tempat
masing-masing dengan penuh tanda tanya. Kenapa Aira pulang sendiran sedangkan
tadi dia keluar bersama Dara? Di mana Dara? Dan kenapa wajah Aira mendung saja?
Tu, dompet siapa yang Aira tenung tu?
Pun
tanda tanya itu hanya berlegar seketika cuma bila kedua-dua remaja itu terus
kembali pada komik dan buku masing-masing tanpa ada rasa mahu bertanya pada
empunya diri.