Friday, March 23, 2018

Lili (Bab 2)




BAB 2

AKU menongkat tangan kiri pada dagu, badan kusendengkan sedikit. Leka mendengar cerita Tetsuya tentang pengalamannya selama bertahun tinggal di Malaysia. Sambil mendengar, tangan kanan tak henti menyuap nabemono ke dalam mulut. Kukunyah lambat-lambat. Dari ekor mata, aku perasan Noah yang duduk di hadapan asyik merenungku sejak tadi. Tapi aku tak peduli. Aku dah masuk ke dalam duniaku sendiri.

            Entah kenapa, nabemono atau sup yang sepatutnya terasa nyaman dimakan waktu musim sejuk seperti sekarang ini, tak terasa kenikmatannya. Mendengar cerita Tetsuya, aku seakan sudah berada di Malaysia sana. Tidak lagi di Hokkaido. Malah, muzik latar di dalam restoran serta suara Rei, Eidlan dan Casandra yang sejak tadi tak sudah bertingkah dengan cerita Tetsuya, hanya sayup-sayup sampai pada deria telingaku.

            "Memanglah sana best. Tapi.. Tapi.. Kat sana panas sikit. Mana nak dapat musim berubah-ubah macam kat sini. Nak harap salji turun, memang tak adalah." Tambah Tetsuya lagi. Aku boleh rasakan yang gadis yang dulunya gempal dan berkaca mata tebal itu, sangat merindui suasana Malaysia. Mengikut kiraan aku, hampir dua tahun sudah dia menamatkan persekolahannya di sana dan menyambung pelajaran di Tokyo. Bila ditanya, tak mahu ke bercuti ke sana ke? Tetsuya senyum saja.

            "Tapi kat sana ada musim buah. Hmm.. Tiba-tiba rasa macam nak makan buah durian. Alamak, kalau dapat buah pulasan pun best ni." Tambah Eidlan seakan sudah terbayang buah-buahan yang sangat popular di sana.

            "Last time aku pergi jumpa daddy, aku terserempak dengan musim buah kelapa." Celah Rei, teruja. Tiba-tiba Eidlan dan Tetsuya tergelak besar. Siap tekan-tekan perut lagi. Kenapa? Apa yang kelakar sangat? Aku kerling Noah sekilas. Si mamat muka beku tu pun boleh tergelak sambil tutup mulut. Walaupun gelak dia tak sekuat Eidlan dan Tetsuya.

            Rei terpinga-pinga bila ditertawakan.

            "Kenapa?" Soal Casandra, tak mengerti. Seperti aku juga.

            Eidlan lap tubir matanya yang sedikit berair.

"Buah kelapa tak ada musim, waka (Tuan Muda). Pokok tu sentiasa berbuah. Dan musim tu bukan orang, perkataan terserempak tu tak sesuailah kau guna."

            Ooh.. Macam tu ke? Seronok sangat ke bila tiba musim buah-buahan? Meriah ke suasana musim buah-buahan di sana seperti meriahnya bandar Sapporo pada musim salji?

            "Tapi mesti ada satu makanan yang kita memang tak boleh tak makan bila dah sampai Malaysia.." Tetsuya pandang kami bersama senyuman misterinya. Makanan lagi? Malaysia memang banyak makanan aje ke?

            "Roti canai..!" Rei.

            "Rendang..!" Eidlan.

            "Lontong kering..!" Tetsuya.

            "Cendol..!" Casandra.

            Mereka pandang Noah. Noah jungkit bahu.

            "Teh tarik?" Itu jawapan ke soalan? Aku jungkit bibir, suka berlagak cool. Orang teruja macam nak terbang ke langit, dia masih juga macam tu.

            Hmm.. Dengar nama makanan yang mereka sebutkan tu saja dah buat aku teringin nak merasa. Sedap sangat ke? Ada tak rasanya macam sushi? Ataupun rasanya macam udon atau mi yang diperbuat dari tepung gandum tu? Paling tak pun macam soba, sejenis mi nipis yang diperbuat dari tepung buckwheat? Aku sudukan kepingan carrot dari sup nabemono. Tak pun rasanya macam sup ni?

            "You and your cold blooded memang tak boleh dipisahkan, ek?" Soal Tetsuya bersahaja. Nampaknya bukan aku saja yang menyampah dengan gaya Noah yang tak berjiwa tu.

            "Oh my God, Uya. Tolonglah. That cold bloodedlah yang buat dia nampak hot, okey." Celah Casandra bersama kerlingan menggodanya. Aku pandang Noah, dia pandang Casandra tanpa riak.

            "Sandra! Behavelah. Dengan gay pun nak flirt ke?" Tetsuya terjerit sedikit. Terkejut bila tengok Casandra yang kuat menggoda tu tiba-tiba bagi flying kiss pada Noah. Dan aku bagaikan boleh ternampak 'ciuman terbang' tu menuju ke arah Noah. Namun sayangnya, 'ciuman terbang' tu terus beku bila terkena renungan iceberg tu. Aku kulum senyum, nak tergelak boleh tak?

            "Who cares? Gay pun tetap hot pada I." Casandra kenyit mata. Mata Tetsuya dah nak tersembul keluar bila dengar kakak kembar dia cakap macam tu.

            "Rei..! Tengok adik you ni." Marah Tetsuya beralih pada Rei pula. Rei jungkit bahu. Dah biasa dengan perangai Casandra yang satu tu. Tak menggoda, tak sah.

            "Gay ke, cold blooded ke, biarlah dia. Dia memang sejak lahir macam tu." Rei mencelah, tak mahu adik-adiknya bertengkar disebabkan oleh Noah.

            "Ha'ah. His heart and feeling melekat kat uri, itu yang membesar jadi heartless." Tambah Eidlan tergelak-gelak bersama Rei. Noah senyum, dua saat aje! Kedekut.

            "Heartless, tapi boleh pula jadi gay." ejekku.

            Noah angkat bahu. Offhanded.

            "Dia heartless dengan perempuan aje." Tambah Rei. Belum pun sempat Rei dan Eidlan nak tergelak, Noah dah bagi sebuah jelingan. Tajam. Terus mereka berdua terdiam.

            "Uya.." Panggilku. Serentak, semua mata tertumpu padaku.

            "Sedap sangat ke makanan kat Malaysia?" Soalku, polos.

            "Seeeedaaappp.. Semua sedap." Melihatkan wajah Tetsuya yang berseri-seri tu, tahulah aku yang dia tak menipu. Aku hujung gigit sudu. Diam seakan berfikir dengan serius.

            "Kenapa Dyra?" Soal Eidlan. Hairan melihat tingkahku.

            "Uya, patutlah kau gemuk masa duduk sana." ulasku tanpa riak bersalah.

            "Oii..!!" Marah Tetsuya dengan biji mata terjegil. Seketika, ruang restoran jadi riuh dengan tawa mereka. Beberapa pengawal Rei yang sedang berjaga, mula menjenguk.

            "Balik sini baru terfikir nak jaga badan, ek?" Eidlan mencelah, mengusik gadis bermata kelabu itu. Tetsuya mencebir.

            "Tu kurus sebab banyak sangat makan hati." Jawab Rei bagi pihak adiknya.

        "Ani-san! (Abang!)" Jerit tetsuya berupa amaran. Rei tersengih bila Tetsuya dah jegil biji mata.


            
"SANDRA.." Panggilku sewaktu kami beriringan berjalan di sekitar subway. Saja melengahkan masa memandangkan janji temuku bersama Neiko masih awal lagi. Keluar dari restoran tadi, aku beritahu pada Eidlan yang aku mahu berjalan kaki saja ke Odori Park. Lagipun, tempat kami makan tadi dekat saja dengan taman yang aku nak pergi. Tiga jejaka tadi sudah kuhalau pergi jauh-jauh. Jangan rapat-rapat sebab aku takut Neiko tak selesa. Mujurlah mereka ikut saja arahanku.

            Odori Park sangat meriah terutama pada musim sejuk kerana adanya festival salji. Ditambah lagi pada waktu malam, lebih 500,000 kerlipan lampu berwarna-warni menghiasi bandar Sapporo. Bukan selalu dapat tengok kemeriahan seperti ini, dalam setahun hanya sekali saja iaitu dari bulan November hingga March.

            Dalam kepalaku, aku sudah merancang nak ke TV Tower dari Odori Park bersama Neiko sebentar lagi. Dari atas menara tu, boleh nampak keindahan bandar Sapporo dan Odori Park. Hmm.. Mesti temu janji kali ni berjaya. Mood dah cukup romantik dah.

            Dua hari lepas, janji temu dengan Taodo tak berhasil bila saat-saat akhir, Taodo menghantar pesanan ringkas padaku, mengatakan dia tak berminat untuk menjalinkan hubungan denganku. Itupun selepas setengah jam aku menantinya di tempat yang dijanjikan bersama Tetssuya dan Casandra. Mujurlah aku ni sejenis manusia yang tak pernah kenal erti serik dan kalah.

            "Kenapa?" soal Casandra. Dia merapikan sedikit lilitan skaf di lehernya sebelum beg sandangnya dibetulkan kedudukan. Casandra, walaupun dia kembar Tetsuya dan walaupun wajah mereka saling tak tumpah, tapi personaliti dan perwatakkan mereka sangat berbeza. Casandra sangat daring, nampak anak orang berada dan lebih feminin, sementara Tetsuya pula jenis selamba, pakai pun apa yang ada aje dan sedikit kasar.

            Tengoklah gaya mereka berdua sekarang. Casandra dengan winter coat merah berbulu-bulu separas peha dan berseluar leather hitam berserta high cut boots dengan corak leopard. Rambut yang diwarnakan blonde dan di perm, terurai cantik. Tetsuya pula, sekadar jeans lusuh dan winter jacket yang berhoodie dan kakinya sekadar disarung sneakers high cut. Rambut? Semua dia sumbat masuk dalam hoodie. Sejak dia masuk universiti, tiada lagi kaca mata tebalnya.

            "Kau tak rimas ke bila nak ke mana-mana ada orang ikut?" Aku kerling beberapa pengawal yang sedang mengekori kami dari jarak yang agak jauh. Meskipun jalan Tanukikoji waktu itu penuhi dengan pengunjung, namun aku masih dapat mengesan kehadiran pengawal-pengawal Rei. Tentu saja Rei yang hantar untuk mengawasi Casandra serta Tetsuya.

            Casandra dan Tetsuya ikut pandang ke arah pengawal-pengawal tadi, masing-masing di kedudukan yang berbeza. Tapi melihatkan pakaian dan penampilan mereka, senang sangat kami nak cam. Walaupun Rei tak cakap kami akan diawasi, tapi Casandra bagaikan tak kisah bila ternampak kelibat pengawal Rei tu.

            "Taklah. Aku dah biasa. Lagipun, dia orang tak ikut kita dekat-dekat. Jadi macam tak hairan sangatlah. Kenapa, kau tak selesa?" Casandra pandangku dengan mata sepetnya.

            "Jangan kata Dyra, aku sendiri pun tak selesa. Nasib baik Rei tu tak hantar pengawal dia masa aku kat Malaysia, kalau tak mesti epik." Bebel Tetsuya sedikit bengang. Yalah, dulu waktu dia di Malaysia manalah ada orang ikut dia macam ni, bila baik Jepun, dah macam kepala kongsi gelap pula. Mana-mana pergi, mesti ada aje lelaki-lelaki bersut hitam dengan raut wajah bengis.  Itu di luar, belum di rumah. Kalau di rumah daddy, kat dalam bilik ajelah yang tak ada pengawal.

            "Tapi.. Memang selalu ke pengawal yang follow kau ramai macam ni?" Sungguh, aku rasa malam ni agak keterlaluan sikit cara Rei mengawasi adik-adiknya. Dah tak pasal-pasal aku pula yang terlibat sama. Kalau tahu tadi, tak adanya aku nak heret si kembar ni sekali.

            Casandra dan Tetsuya memerhati sekeliling.

            "Entahlah. Selama ni I tak  perasan pula berapa ramai yang Rei hantar untuk kawal I. Hmm.. Tapi betullah. I macam pelik sikit. Kenapa muka-muka dia orang ni tak familiar, ek?" Casandra berkerut dahi. Sambil bercakap, bersoal, berfikir, kami bertiga masih terus melangkah. Tetsuya pula sesekali menadah tangan, berharap salji jatuh di atas tapak tangannya.

            "Kau yang selalu tengok muka dia orang, apa pula tanya kat kita orang? Manalah kita orang ingat muka pengawal Rei tu macam mana." Balas Tetsuya bersahaja dengan kepala masih mendongak ke langit. Dah malam macam ni, masih kelihatan salji yang turun.

            "Biarlah. Tak jadi masalah pun siapa yang guard kita. Yang penting kita selamat." Putus Casandra tak mahu membebankan fikirannya. Aku dan Tetsuya jungkit bahu saja.

            "Eh, tapi aku still tak puas hati. Kenapa kau tergedik-gedik dengan Noah tu? Agak kau ni tak ada taste ke?" Getus Tetsuya bila keadaan sedikit hening. Aku toleh pada Casandra di hujung sana. Tetsuya di apit oleh kami berdua.

            "Dia handsome." Puji Casandra manja, menggoda. Seakan Noah ada di hadapannya.
            Tetsuya buat lagak nak termuntah.
            "Tapi dia gay dan tak ada perasaan. Muka pun beku aje. Orang cakap apa pun, dia macam tak terasa apa. Kadang aku rasa dia ni pekak pun ya." Kutuk Tetsuya tak ada ampun. Tegak aje dia bagi. Aku dah hambur gelak tak ingat dunia.

            "Uyaaaa..!!" Marah Casandra. Mukanya cemberut. Tetsuya buat tak pandang, malah mengalih fokusnya padaku.

            "Selama dia duduk kat rumah kau, tak ada ke dia buat apa-apa pada kau?" Soal Tetsuya, memulakan sesi penyiasatan.

            Aku diam. Tak lama, aku angguk.  Casandra bulat biji mata, terkejut. Tetsuya ternganga. Macam susah nak percaya seorang lelaki yang homoseksual ada buat 'apa-apa' padaku.

            "Buat aku sakit hati dengan muka tak berperasaan dia tu." Ulasku membuatkan mereka melepaskan nafas lega. Aku tergelak-gelak bila Casandra buat muka padaku. Tak sempat Tetsuya nak buka mulut, telefonku berdering.            

            "Kejap, Neiko call." Ujarku sebelum menyambung talian. Aku berpaling ke kiri sedikit, mencari ruang peribadi untuk berbual dengan Neiko.

            "Moshimoshi, Neiko-kun." Aku memakukan langkah mendengar butir bicara Neiko dihujung talian. Hati mula tersimpul rasa hampa. Perbualan Tetsuya dan Casandra makin sayup. Aku hanya fokus pada suara Neiko saja.
           
TALIAN telefon dimatikan dengan wajah hampa. Temu janji, dibatalkan dengan jayanya. Neiko ada majlis minum teh bersama keluarganya. Hmmm.. Punyalah teruja dari saat temu janji dibuat. Boleh pula last minute canceled?

            Sambil membebel, aku simpan telefon bimbit ke dalam beg. Jambul yang sedikit berselerak, aku rapikan sedikit. Tak apalah. Dah alang-alang keluar, baik aku habiskan masa bersama Casandra dan Tetsuya. Lagipun, bukan selalu Tetsuya dapat lihat pemandangan bandar Sapporo yang super indah macam ni.

            Eh? Mana si kembar tu pergi? Aku picingkan mata. Sayup-sayup aku terlihat figura si kembar. Lah? Mereka dah tinggalkanku? Aku berdecit. Apalah, bukan nak tunggu. Dengan muka cemberut, aku buka langkah. Pun belum sempat buka langkah ketiga, tiba-tiba aku terasa pinggangku dirangkul dari belakang dan mulutku ditekap dengan telepak tangan. Cemas. Takut. Siapa yang buat aku macam ni? Aku cuba menjerit, tapi gagal.

            Tubuh kecilku diheret dari arah belakang. Aku semakin menjauh dari Odori Park. Semakin menjauh dari Tetsuya dan Casandra. Aku pandang kiri kanan. Berharap orang awam yang sedang menjadi penonton, cuba untuk membantuku. Tetapi semua nampak takut dan hanya mampu menayang wajah simpati. Ada yang cuba menelefon polis, tapi sia-sia bila dia dihadiahkan tumbukan di perut. Telefonnya pula dihempas diatas timbunan salji.

            Namun tiba-tiba tangan yang menekup mulut dan merangkul tubuhku terlepas. Aku terjatuh di atas jalan sementara lelaki yang menekup mulutnya tadi terdorong sedikit akibat pukulan dari... Aku pejam celikkan mata. Lelaki tu...

            "Noah! Belakang!" Jeritku bila ternampak dua lelaki ingin menyerang Noah dengan sebilah pedang samurai. Spontan Noah berpusing lalu mengelak serangan yang datang bertali arus. Hampir saja salah satu dari pedang itu berjaya mencantas kepala Noah, mujur Noah pantas menunduk lalu menangkis kaki kedua-dua penyerang. Dua-dua jatuh terlentang.

            Aku ternganga! Noah si gay ke tu?
            Noah ambil peluang itu berlari mendapatkanku yang masih terduduk sejak tadi. Tanganku dicapai lalu ditarik supaya aku mengikut dia lari meninggalkan kawasan ini. Setidak-tidaknya hingga kami berdua selamat dari sebarang serangan.

            "Noah..!" Panggilku mula tercungap-cungap. Aku menoleh belakang, tiga lelaki tadi masih mengejar mereka.

            "Apa?" Noah menoleh seketika.

            "Siapa dia orang tu?" Soalku, ingin tahu.

            "Dia orang nampak macam kawan aku ke?" Noah serang balik dengan soalan. Aku mendengus. Masa kecemasan macam ni pun nak kerek. Dasar mamat cold blooded!

            "Nak lari sampai mana ni? Takkan lari aje? Tak ada plan?" soalku lagi. Aku tayang sengih bila Noah pandang semacam. Tajam.

            "Plan A, lari. Plan B, lari. Kau nak pilih plan yang mana satu?"

            "Plan C?" Sengaja aku nak bagi Noah naik marah. Jarang-jarang si mamat cold blooded ni nak tunjuk ekspresi kat muka dia.

            Noah menoleh dengan muka garang.

            "Sampai Z pun, plannya masih sama." Tekan Noah. Sebal.

            "Macam tak ada pilihan aje." Dalam hati aku nak tergelak pun ada. Garang juga si gay ni.

            "Memang kita tak ada pilihan pun sekarang ni. Berhenti bagi soalan bodoh kau tu. Now, run..!!" Arah Noah seraya melajukan larian. Aku pula mengikut sedikit terhuyung-hayang. Semput!


KENAPA? Apa sebenarnya yang berlaku tadi? Sumpah, aku tak faham. Tak boleh nak fikir apa-apa pun sekarang ni. Dahlah penat berlari. Ikutkan plan si mamat gay tulah. Lari punya lari, aku sendiri tak sedar berapa jauh aku lari dan tahu-tahu aku dah sampai di deck TV Tower. Punyalah laju Noah bawa aku lari, sampai tak perasan kami dah menyelinap di antara pengunjung yang berpusu-pusu di situ.

            Aku duduk memeluk lutut di satu sudut. Agak jauh dari pengunjung lain. Lagipun, Noah yang suruh aku duduk di situ memandangkan mereka sendiri tak pasti sama ada mereka masih diekori atau musuh dah pun hilang jejak kami.

            Aku melepaskan keluhan. Penat. Penat kena lari. Nasib baik boot yang aku pakai tak bertumit macam selalu. Kalau tak, jenuh! Dan nasib baik aku pakai seluar, kalau skirt? Mahu Noah heret aje aku tadi. Tadi pun berapa kali aku hampir tersungkur. Noah bukan nak tolong ke apa, lagi dia tarik supaya lari, adalah. Heartless.

            Aku sembam kepala di atas lutut. Rasa nak menangis pun ada. Agak-agak Eidlan tahu tak keadaan aku sekarang ni? Mungkinkah Noah dah maklumkan pada Eidlan? Eidlan marah tak? Huk.. Huk.. Huk.. Dahlah temu janji dengan Neiko dibatalkan disaat-saat akhir, plan nak hang out dengan Uya dan Sandra pun lingkup. Sekarang, aku tersangkut dekat TV Tower bersama Noah pula!

            Mana Noah? Entahlah dia. Dia suruh aku duduk kat sini, aku duduk sajalah. Nak betulkan nafas yang dah nak terputus dulu. Noah hilang ke apa, aku tak mahu ambil pusing. Aku tiba-tiba terbejat bila terasa sesuatu yang sejuk menyentuh lenganku. Biarpun berlapis dengan lengan baju tebal, masih juga terasa. Aku pantas angkat kepala. Cuak.

            "Apasal buat muka macam tu?" Soalan seakan ejekan itu buat aku rasa nak sangat ketuk kepala lelaki tu dengan air tin yang sedang dia hulurkan. Bila aku masih tak mahu menyambut hulurannya, terus saja Noah letak tin tersebut di sebelahku sebelum dia turut duduk di situ. Satu tin lagi di buka lalu di teguk.

            "Noah.." Panggilku sedikit berkeluh bunyinya.

            Noah diam, menoleh pun tidak. Mata terus fokus pada pengunjung yang sedang menikmati pemandangan dari TV Tower. Ada juga yang sibuk mengabdikan gambar mereka sebagai kenangan untuk musim sejuk tahun ini.

            "Kenapa dia orang serang saya? Mereka tu siapa?"

            "Mungkin musuh Rei." Balas Noah. Sekali lagi air diteguk.

            Aku pandang Noah dari sisi tepi. Muka tak puas hati aku tayang. Konon nak bagitau pada Noah yang aku tak puas dengar jawapan dia tadi tu. Tapi bila tengok Noah tayang muka tak ada perasaan, aku terus mencebik.

            "Bencinya.. Saya dah plan macam-macam nak buat untuk malam ni. Last sekali, satu pun tak menjadi. Sandra dengan Uya pula hilang entah ke mana."

            "Phone ada buat apa? Tak boleh call?" Noah toleh sekilas. Dia pandang saja aku yang sudah memuncungkan bibir.

            Aku ambil beg sandang lalu kubuka zip. Telefon bimbit berlipat itu aku capai kemudian aku campak atas pangku Noah. Noah pandang telefon sekejap sebelum pandangku dengan satu renungan tajam. Aku angkat kening.

            "Hidupkanlah kalau boleh." Suruhku, mencabar. Sudahlah baterinya dari tadi tinggal nyawa-nyawa ikan, bila waktu kecemasan macam ni boleh pula mati terus.

            "Sampai bila nak duduk sini? Dahlah sejuk." Aku merungut pula. Walaupun aku tahu, bila bercakap dengan Noah ni macam bercakap dengan tunggul, tak mengapa. Aku dah reda. Apa boleh buat, dah memang Noah dilahirkan sebegitu. Jadi, anggap sajalah aku sedang bercakap seorang diri.

            Aku buka hoodie di kepala, seperti yang dijangka, hoodie dan rambutku sudah diselaputi dengan salji. Aku mengibas sedikit hoodieku.

            "Kenapalah wujud orang macam awak dalam dunia ni. Disebabkan awaklah dunia jadi sepi, tahu tak? Jadi membosankan." Tambahku lagi. Tak puas hati selagi Noah tak buka mulut. Mamat ni, betul-betul 'berdarah sejuk'. Kalau dua jam duduk sini, dengan aku sekali boleh 'beku' agaknya.

            "Dunia tu merujuk pada diri kau ke?" Balas Noah, macam biasa. Tak sah kalau tak sinis. Tak sah kalau tak buat aku bengang. Aku muncungkan bibir. Menyampah.

            Aku kali mata ke hadapan semula. Namun tiba-tiba, aku menoleh pada Noah, pantas. Sebab aku perasan Noah menjangkau tangannya di atas kepalaku. Aku pandang Noah dengan satu pandangan tajam tanda amaran.

            "Berani awak sentuh kepala Dyra? Dyra suruh Rei patahkan tangan awak nanti." Tekanku, garang. Tapi rasanya tak nampak garang pun pada Noah sebab Noah buat selamba saja. Tak semena, aku terjerit bila Noah mengetuk dahiku.

            "Ingat aku nak sangat sentuh? Kepala kau dah nak jadi macam kepala snowman, tahu? Pakai hoodie kau tu. Skaf tu betulkan, dah macam apa aje aku tengok." tekan Noah, tegak saja nadanya.

            Aku jungkit bibir. Mamat heartless, cold blooded, tak ada jiwa, tak ada soul, mamat gay, mamat berlagak.. Semua yang buruk-buruk bagi pada Noah. Semua hak milik Noah. Dalam pada merungut dan mengutuk, aku sarungkan juga hoodie. Skaf dililit rapi sebelum aku membetulkan rambut.

            "Malang betul nasib tersangkut dengan awak kat sini. Malam ni sepatutnya saya dating dengan Neiko, jalan-jalan kat Odori Park, tengok lampu, main salji, cuci mata kat Tanukikoji, ambil gambar dengan dia..."

            "Ni plan ke angan-angan?" celah Noah.

            "Planlah. Malangnya, Neiko canceled the date last minute." Aku sangkut dagu pada lutut. Air tin yang masih belum dibuka, aku ambil lalu aku golek-golekkan diatas lantai.

            "Back up plan?" Noah teguk lagi airnya.

            "Plan B, nak berpoya-poya dengan Uya, dengan Sandra. Nak jalan-jalan sambil jadi gossip girls, cari teman lelaki baru dan buat temu janji.."

            "Kejinya plan." Ulas Noah.

            "Semua salah gengster tadi tu..! Kalau tak, mesti malam ni akan berakhir dengan momen yang indah-indah." Tambahku tanpa mempedulikan komen dari Noah yang berbaur provokasi. Entah macam mana, tin yang aku golek-golekkan sejak tadi, boleh terlepas dari tangan.  Tanpa fikir apa-apa, terus aku merangkak, mengejar.

            "Dyra..!" Panggilan Noah aku tak hiraukan. Terus ikut jejak tin sampailah aku perasan tin tu dah berhenti bergolek kat kaki yang bersarung kasut kulit. Tengok dari kilat kasut tu, macam kasut Rei. Aku capai tin dan terus mendongak dengan muka teruja. Siap senyum lebar lagi, sebab dalam fikiran aku tentu Rei datang nak selamatkan aku dan Noah. Tapi...

            Senyumanku hilang bila mataku tertancap pada pemilik kaki tadi. Boleh tak kalau aku nak ketuk tin tu kat kepala aku? Malunya!

            "You okey?" soal lelaki berkumis nipis dan berambut kemas itu. Pakaiannya menggambarkan dia bukan orang biasa-biasa.

            "Errr..?" Alamak, dah kenapa aku blur pula tiba-tiba ni?

            Lelaki budiman yang tak penat melempar senyjman itu, menghulurkan tangan. Membantu aku bangun. Teragak-agak aku menyambut hulurannya namun saat tanganku hampir melekap di atas telapak tangannya, aku terasa tanganku disentak. Aku pandang tangan aku. Eh?

            "Jom balik." Aku kalih ke arah kananku. Noah? Tangan Noahlah ni yang sambut tangan aku tadi? Kacau betullah. Aku bangun bila Noah menarik tanganku. Aku berpandangan dengan lelaki tadi.

            "Dari Malaysia ke?" soal lelaki itu. Sopan saja suara dia.

            Aku angguk kemudian cepat-cepat menggeleng. Eh, apa kena dengan aku ni? Lelaki tu tergelak melihat aksiku yang sedikit lucu padanya. Malunya.

            "Saya Za'id." Dia hulur tangan pada Noah. Sebaliknya Noah hanya pandang Za'id tanpa apa-apa riak di wajah. Seketika, aku perasan mereka saling berpandangan. Ada senyuman nipis di wajah lelaki bernama Za'id tu. Tapi senyumannya sedikit pelik padaku. Mereka ni saling mengenali ke?

            "Err.. Maaf ya Encik Za'id. Perangai dia memang macam ni. Haa, nama saya Eldyra." Aku mencelah bila suasana di sekelilingku seakan terasa membahang. Dalam musim sejuk macam ni, tiba-tiba boleh rasa panas. Pelik tak?

            Za'id berkalih padaku semula. Dia senyum. Aku senyum balik.

            "Tak apa, Eldyra. Saya tak ambil hati pun."

            Aku senyum melebar. "Oh, by the way. Awak kenal ke dengan Noah ni? Atau awak salah seorang kekasih songsang dia? Err.." Aku ketap bibir bila terasa cengkaman pada tanganku yang Noah pegang sejak tadi.

            Za'id pandang Noah, tak percaya. Dia kulum senyum. Noah dah menyinga. Aku tak pasti dia menyinga padaku atau pada Za'id.

            "Don't worry, Eldyra. Saya straight. Saya ingatkan dia boyfriend awak."

            "Eh.. Tak. Tak. Takkanlah saya ada boyfriend kayu macam ni. Dia ni kekasih pak cik saya." Laju-laju aku menepis. Menggelabah kot bila kena skandalkan dengan si gay ni.

            Noah melepaskan nafas, agak kasar sebelum membuang pandang ke arah lain. Tengah tahan sabar ke apa tu?

            "Dah?" Soal Noah padaku tiba-tiba. Sekali lagi aku blur.

            "Belum. Kejap ya, Encik Noah." Sambut Za'id, pantas. Dia pandang aku.

            "Eldyra, can I have your number? Mana tahu, nanti boleh jum.."

            "Let's go." Potong Noah, terus menarik tanganku. Sikit pun tak bagi aku peluang menamatkan perbualan dengan cara yang sopan. Eei, Mr.Gay ni. Potong line betullah.

            Sebelum berlalu, sempat aku menoleh pada Za'id. Dia masih di situ, berpeluk tubuh bersama sebuah senyumannya.

            "Jumpa lagi!!" Jeritku siap melambai tangan padanya sebelum menjauh.
           


No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post