27
AKU melepaskan beban tubuh
diatas tilam empuk. Letih, terlalu letih. Malah dah cukup lelah dengan bermacam
benda yang berserabut dikepala. Dah terasa berpintal semua urat saraf dalam
otak aku ni sampai dah tak boleh berfikir macam orang bijak pandai lagi dah.
Huuuu... Sadisnya bunyi.
Boleh tak kalau aku nak buat tak tahu dengan apa yang
tengah berlaku sekarang ni? Nak buat macam aku masih tak tahu siapa si perogol
tu. Dan nak buat macam tak pernah berlaku apa-apa malam tadi. Nak buat jugak
macam aku tak ada apa-apa hubungan dengan Syazlan. Boleh tak?
Aku sengih tepi sambil garu kepala. Boleh sangat, Lis. Pi
hantuk kepala tu kat bucu almari kuat-kuat. Dah hilang ingatan kau tu,
menjadilah apa yang kau nak tadi. Adehlah.. Tak satu, satu hal jadi. Si Maya ni
pun satu, mulut macam langsuir. Mengilai tak kena masa. Ikut rasa hati, memang
nak ganyang-ganyang bibir yang sentiasa merah tu. Huh..
Bersama
rengusan, aku duduk dibirai katil. Sungguhlah tak tenang hati ni. Isya. Betul
jugak, Isya mana? Senyap aje lepas breakfast
tadi. Rasanya dia tak keluar ke mana-mana. Aku membawa langkah ke bilik Isya. Sebelum
mengetuk, sempat aku menjengah ruangan mini library
dihadapan bilik gadis sempoi tu. Yalah, Isyakan lagi suka bertapa dalam
perpustakaan dari duduk dalam bilik dia. Pintu bilik perpustakaan yang terbuka
memberitahuku Isya tiada disitu.
Aku
pantas mengetuk pintu kamar Isya. Lama menanti, tapi tak ada pun suara Isya
melaung mengarahkan aku masuk. Senyap sunyi aje. Dengan rasa ragu-ragu, aku
memulas tombol pintu. Mata meliar disegenap ruang kamar yang tenang berlatarkan
warna tanah.
Ternampak
Isya sedang meniarap diatas katil sambil menatap sesuatu ditangannya. Tak pasti
apa. Aku merapati Isya, jelas dia masih tak menyedari kehadiranku.
“Sya..”
panggilku perlahan, tak mahu dia terkejut. Tapi nampaknya Isya terkejut jugak,
malah terburu-buru menyimpan benda yang dipegangnya tadi dibawah bantal. Sempat
aku menangkap Isya mengelap airmatanya sebelum duduk dibirai katil.
Aku
berkerut dahi. Kenapa dengan Isya? Apa yang disorokkan tu? Dan, benarkah apa
yang aku lihat ni? Isya menangis? Gadis yang aku kenali cukup tabah dan kental
semangatnya hari ni kantoi menangis depan aku? Susahnya nak percaya.
“Boleh
aku duduk?” takut-takut pula aku melabuhkan punggung disisinya.
“Kau
ni dah kenapa? Nak mintak izin segala. Macam tak biasa. Kaki nak?” aku senyum
sikit, tak terasa nak gelak seperti biasa sebab Isya pun luar biasa sangat pada
mata kasar aku sekarang ni. Nampak sangat dia nak sorok yang dia menangis tadi,
tapi dengan aku jangan nak kelentong. Suara dah sengau macam tu, hidung pun
merah, mata sembab. Cehh.. ingat kita ni budak kecil ke?
“Kau
okay ke ni? Lain macam aje?”
Isya
tersengih besar. Jemarinya diangkat tanda ‘peace’.
“Gila kalau aku okay time-time macam
ni. Berselirat kepala otak aku dengan masalah si Maya tu. Sekarang ni kan, aku
tak tahulah nak fikir guna apa dah. Kepala otak aku ni, dah tepu tau. Tinggal
ni haa.. kepala lutut aje yang ada. Tu pun aku tak tahu boleh berfungsi ke
tak.” Isya mendengus lalu menumbangkan badannya diatas tilam. Memantul sedikit
dek kerana beban tubuhnya.
Aku
melepaskan keluhan. Perlahan-lahan, aku turut berbaring tetapi dengan selamba
aku meletakkan kepala aku kat perut Isya. Saja nak bermanja.
“Weh,
kau ingat kepala kau seringan dan selembut kapas? Berat tahu?” bebel Isya tapi
sedikit pun dia tak menolak.
“Ala,
sekali-sekala. Kau ni janganlah kedekut sangat. Akukan adik kau.” aku terkekeh
kecil, terus selesa dengan keadaan sebegini.
Isya
berdecit. Kemudian kami senyap, tak tahu apa yang ada difikiran Isya tapi aku
amat pasti apa yang ada dalam kepala aku. Rasanya, inilah kali pertama aku
merasa dimanjakan. Harapkan abah, hangat kasihnya pun aku tak pernah rasa sebab
abah pergi waktu aku mencecah dua tahun lagi. Emak pula? Pedihnya, emak sendiri
pun aku tak kenal apatah lagi hendak merasa dibelai manja begini. Arwah nenek
dan arwah atok sajalah yang sudi membelaiku, tapi tetap tak sama dengan hangat
kasih ibubapa sendiri.
“Sya..”
panggilku.
“Hmm..”
“Kau..
kau pernah tak baring kat perut mama kau?”
“Kau
gila aku nak baring macam ni kat mama? Mati hidup semula pun aku tak ingin
bermanja dengan perempuan tu.” marah Isya tanpa dapat ditahan-tahan.
Aku
tepuk dahi. “Sya, maksud aku mama betul kau, bukan mama Su. Kalau mama Su aku
tak tanya pun aku tahu. Cettt..” aku menepuk perlahan pahanya.
“Ooh..
Lain kali cakap bagi terang. Dah kau kata mama, mama mana lagi? Kalau kau kata
ibu tu, aku tahulah kau tanya pasal ibu aku. Apa daa..” jarinya menekan kuat
batang hidungku. Aku pantas menepuk tangan Isya. Dia tersengih.
“Mana
aku nak tahu kau panggil mak kau ibu. Dah kau panggil papa tu papa, mesti mak
pulak mama.” Balasku masih mahu membela diri. Selama ni pernah ke Isya sebut
perkataan ibu? Mana pernah. Jadi manalah aku nak tahu dia menggelar wanita yang
melahirkannya itu ibu.
“Aku
tak panggil ibu kandung aku mama, aku panggil ibu. Rasanya panggilan tu lebih
manis, lembut. Menggambarkan sifat seorang wanita yang melahirkan dan
membesarkan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang. Betul tak? Itu pada
akulah.”
Aku
mengangguk saja, menghormati pendapat tersendiri Isya tentang makna panggilan
seorang anak kepada ibu mereka. Entahlah, pada aku pulak? Semuanya sama, tak
memberi apa-apa kesan pun. Aku ada emak, tapi tak pernah aku menggunakan
panggilan itu pada emak sebab sejak aku pandai bercakap, emak tiada disisiku.
“Habis
tu kalau mama tu apa maksud dia pada kau? Hmm.. emak, umi, mummy. Lagi apa ya?
Haa.. bonda.”
“Mama
tu nampak rock sikit. Emak pulak, cool sentiasa. Umi ni rasanya agak
Islamik. Mummy pulak.. hmm.. lebih trendy
and stail. Bonda ya? Rasanya lebih klasik dan ayu.”
Kami
berpandangan seketika, kemudian terletus tawa besar.
“Ikut
suka kau aje kan. Okay, kalau kau ada anak nanti kau nak dia panggil kau apa?”
aku tersengih nakal. Isya mengetuk dagunya, seakan berfikir.
“Mestilah
ibu. Nanti tiap-tiap tahun dapat hadiah tau, anak-anak aku bagi.” Dengan muka
berlagaknya tu, dia menjawab. Aku pula berkerut, tak faham.
“Hadiah
apa pulaknya?”
“Hadiah
Hari Ibu lah, tiap-tiap tahun sambut seluruh dunia tau. Kau pernah dengar orang
sambut hari emak? Tak pun hari mama? Tak ada, kan?” dia menjungkit-jungkit
keningnya. Banggalah tu dapat kenakan aku. Cettt, hidup-hidup Isya pekena aku.
Mangkuk punya kawan.
“Yalah..
yalah.. Tak kisahlah tu semua. Aku tanya tadi, kau pernah tak baring kat perut
ibu kau?”
Dia
diam seketika. Matanya menatap siling diatas. Seakan mengimbau kenangan bersama
arwah ibunya iaitu isteri kepada papa.
“Mestilah
pernah Lis, semua orang pun mesti pernah. Lagi-lagi aku anak bongsu, ibu memang
sayang sangat kat aku. Setiap kali tengok TV, mesti aku baring kat paha ibu,
kadang-kadang ibu tengah menjahit baju pun aku mengada-ngada baring kat paha
dia. Kalau ibu baring nak tidur, aku mesti tidur kat bawah ketiak dia.
Entahlah, bila ingat balik rasa rindu sangat. Aku rasa akulah orang yang paling
malang sebab ibu meninggal sebelum sempat tengok aku berjaya.” Dia melepaskan
keluhan beratnya.
Aku
tersenyum pahit. “At least kau pernah
jumpa ibu kau, Sya. Bersyukurlah.” Tegurku perlahan. Terasa sebak menghimpit
dada.
Isya
mengangkat sedikit kepalanya, mencari wajahku. “Maksud kau?”
Aku
menjungkit bahu. “Aku tak pernah jumpa mak aku. Lepas aku lahir, dua tahun
lepas tu abah aku meninggal. Mak pulak pergi dari rumah, tinggalkan aku pada
arwah atok dan arwah nenek aku belah abah aku. Sampai sekarang, aku tak tahu
apa jadi pada mak aku. Setidak-tidaknya Sya, kau pernah panggil ibu kau ibu.
Tapi aku? Dari kecil, orang yang aku kenal atok dengan nenek aje. Kau patutnya
bersyukur, kau pernah jugak tatap muka ibu kau.”
Isya
bangkit dari pembaringan sekaligus memaksa aku turut bangun. Kami berpandangan
seketika. Tiba-tiba saja airmata yang bergenang menitis dipipiku.
“Lis..
a.. aku tak tahu pasal tu. Papa tak ada cerita pun kat kami. Tapi aku puji kau
Lis, kau kuat. Kau tabah. Sampai ke sini kau melangkah Lis. Arwah atok, nenek
dan abah kau mesti bangga dengan kau.” jemariku digenggamnya kuat. Memberikan aku
semangat agar terus bangkit. Memang sejak aku tinggal disini, Isyalah yang
sentiasa mengalirkan semangat padaku.
Aku
tersenyum. Airmata yang menitis, aku sapu perlahan.
“Sorry, tiba-tiba teremosi pulak.” Ucapku
lantas tertawa kecil. Isya tersenyum, seraya menggosok-gosok kepalaku. Dia
memang suka buat macam tu, kata Isya nampak cute. Aku pun biarkan aje.
“Kau
agak, apa jadi lepas ni pada kita? Maksud aku, apa papa akan buat kat kita?
Agak-agak dia lepaskan kita tak?” aku bertanya, mengubah topik perbualan.
Isya
kembali baring, kali ni aku berbaring disebelah dia pulak. Kepala bertemu
kepala.
“Gila
kau papa nak lepaskan kita? Mimpi ajelah. Kau tahu tak, rasanya awal tahun ni,
kita orang berempat gaduh teruk. Siap calar-calarkan kereta lagi. Papa bengang
sangat, dia hantar kita orang bercuti, seminggu kau tahu.” Besar biji mata Isya
bersama tujuh jari tangannya yang dikembangkan.
“Wah,
best gila. Cuti kat mana? Mesti oversea kan? Kalau macam tu, tiap-tiap
hari gaduh pun aku rela, boleh pergi oversea.”
Teruja benar dah rasa hati ni. Dah terbayang-bayang Eiffel Tower yang berdiri
gah.
“Oversea? Kau aku hantar kat under
sea kang. Papa hantar kita orang bercuti kat Fraser Hills, duduk situ
seminggu. Tak ada kereta, tak ada apa-apa. Papa cuma bekalkan kita orang
makanan cukup-cukup untuk seminggu. Tapi makanan tu, sangatlah mampu
mengeratkan silaturahim, kau tahu.” Hilang terus bayangan percutian aku ke
Paris.
“Ha?
Makanan apa pulak tu?”
Isya
sengih tak rela. Macam tak sampai hati nak ingat pengalamannya yang lepas.
“Papa bagi Syaz sebatang sudu dengan sepaket gula pasir. Raff dapat hitter air dengan jem blueberry. Maya dapat empat belas uncang
teh Lipton dengan jug. Aku pulak papa
bagi sebiji cawan dengan tiga bungkus roti Gardenia. Cuba kau bayangkan macam
mana kita orang yang tak pernah sebulu ni kena bertoleransi berkongsi
barang-barang tu untuk survive perut
selama seminggu. Hooo.. ingat balik pun aku dah meremang bulu roma.”
“Gilalah.”
Aku berteriak terkejut. Kejamnya.
“Memang
gila. Kalau ikutkan, aku baik dengan Syaz aje. Tapi tak boleh jugak hidup
berdua aje dengan dia dalam banglo yang tak ada apa-apa tu. Aku ada roti dengan
cawan, Syaz ada sudu dengan gula. Takkan kitorang nak makan roti aje, mestilah
nak air. Raff pun tak boleh nak buat air walaupun Maya ada teh uncang sebab
diorang tak ada gula. Lainlah kalau jem blueberry dia orang tu boleh tukar jadi
madu, kan.”
Aku
angguk. “Lepas tu apa jadi?” pantas aku bertanya waktu Isya sedang menarik
nafas.
“Dua
hari jugak tahan ego masing-masing. Raff dengan Maya sanggup goncang air teh
dalam jug sebab nak kacau tak ada sudu. Sanggup minum teh tak ada gula. Aku
dengan Syaz pulak, dok melantak roti sampai habis sebuku, lepas tu mata
terbeliak. Tercekik. Dua hari macam tu, last-last
kita orang angkat bendera putih sama-sama, rela dalam terpaksa berkongsi
makanan. Dari situ kita nampaklah yang papa memang nak kita orang hidup
sama-sama. Saling memberi dan menerima. Tapi itulah, dah balik rumah semula,
bercekau balik. Haru betul.”
Aku
terdiam mendengar cerita Isya. Papa memang mementingkan keakraban dalam
keluarga, kalau tak, tak kan papa suka-suka biarkan anak-anaknya berlapar dalam
rumah kat Bukit Fraser tu.
“Kau
orang gaduh pasal apa sebenarnya?”
Isya
mencebir bibir. “Ala, sebab aku terblok kereta Maya kat kolej. Bukan apa pun.” bersahaja
Isya membalas
Aku
dah berkerut semula. Tak kan sebab tu aje sampai gaduh teruk? Musykil ni.
“Takkan
sebab tu aje?” soalku tak puas hati.
Isya
merengus. “Betullah, aku terblok kereta Maya, yalah nak cepat masuk library. Bila aku keluar tengok-tengok,
kereta aku calar teruk. Memang aku syak betina tu ajelah yang buat, siapa
lagikan. Balik rumah, aku calar pulak kereta dia, entah macam mana aku tergarit
sekali kereta Ferrari lanun tu. Over
sangat nak balas dendam kot, tu yang tak perasan. Hehehe.. Lepas tu Raff
bengang, dia ingat Syaz yang buat sebab malam sebelum tu dia orang gaduh
berebut parking. Raff pun calarkan kereta Syaz. Settle. Memang complete,
semua kereta jadi mangsa. Kantoi kat papa, memang papa mendidihlah.”
Aku
beristighfar dalam hati. Sebab benda kecil macam tu pun boleh jadi gaduh besar.
Raff dan Syazlan pulak, masing-masing dah kategori dewasa pun bergaduh hanya disebabkan
parking? Betullah, dia orang ni memang tak pernah sebulu, sekepala jauh sekali.
Tapi..
Angkat kepala, renung muka Isya.
“Kalau
sebab benda tu aje papa hantar korang ke rumah kat bukit tu, kita yang dah
malukan papa depan kawan-kawan papa malam tadi macam mana pulak? Kau tak rasa
ke lagi teruk apa yang bakal kita dapat?” aku bertanya berdasarkan rasional
dalam diriku. Logiklah kan, lagi teruk kesalahan tu, lagi teruklah hukumannya.
Isya
tiba-tiba mengucap panjang, dahinya ditepuk. “Mampuslah kita Lis, teruklah kita
kena. Jangan papa bagi roti dengan cawan lagi kat aku dahlah, memang aku
cawan-cawankan mulut si Maya tu.”
Dan
dalam kepala aku dah boleh bayangkan sesuatu yang tak baik bakal berlaku.
Bagus, pandai buat perangai, terimalah balasan. Hu hu hu..
Taaaaraaa!!! Isya & Mai pict 2gther.. knp Isya lg cntik dr Mai? sbb sy dah terlalu biasa dgn heroin yg perfect serba-serbi..cantik.. sexy..menggiurkan..putih..kulit bersih..comel.. klau pndg tu smpai bleh terlanggar tiang lampu n etc lah.. kalau semua heroin mcm tu, hbis yg muka biasa2 ni x boleh jd heroin ke? see.. thts the point.. in creating imagination, u shld knw whre's the facts.. peacee!!!
Biasa dan mcm jadi trend kan....hero mesti kacak handsome kaya...heroin plak mesti cantik jelita menarik sehingga membuaikan perasaan pembaca..letak plak pic model handsome cantik jelita..so pembaca pun berimaginasi la dgn sifat watak tersebut...hehehe...apa2 pun...itu hanya la khayalan di novel sahaja...dan sebagai menghiburkan hati pembaca...
ReplyDeletehaha.. nira.. agree.. lepas tu mula la brangan, kalau la ada lelaki dlm novel tu melamar aku, kan bagus.. lepas tu lelaki yg kurg kriteria dlm watak novel, reject awl2.. tu yg den single trus.. hahaha...
Deletetp klau muka hero mcm pecah rmah, haruslah novel kena bakar.. hehehe..
yup, sbg mhiburkn hti pmbaca dgn imaginasi pnulis.. tp xsemua tu rekaan, tgk Haydar in 13jam a380, wujud kot.. hehehe